Khamis, 19 Disember 2013

My Home

Aku memberi tajuk entri kali ini dalam bahasa Inggeris iaitu 'My Home', jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ialah ‘Rumah Saya’ atau 'Rumahku'. Entri ini bukan berkisar mengenai kisah aku telah membeli dan memiliki rumah sendiri.  My ‘Home’ ialah berkisar mengenai kejayaanku mendapat ‘tokens of love’ yang menjadi isu utama katalog MPH 2013/2014.


Sumber: Diubah suai daripada http://www.mphclick.com/page/2/

Token didifinisikan secara literal ialah kepingan logam atau plastik berbentuk duit syiling yang digunakan sebagai bayaran untuk menjalankan mesin tertentu. Token dalam entri ini merujuk kepada cinta di mana ia merupakan alat atau perkakas yang diperlukan untuk pembinaan sesebuah keluarga. Walau bagaimanapun, untuk memperolehi dan mengekalkan token cinta perlu kepada alat atau perkakas asas pembinaan coming together as one dalam sesebuah keluarga. Dalam hal ini, token cinta dalam sesebuah keluarga perlu memiliki tempat perlindungan yang dikenali sebagai rumah untuk menikmati kehidupan, beristirahat dan bergembira bersama keluarga. Rumah berperanan menjamin kepentingan setiap ahli keluarga, memberi ketenangan, kesenangan, kebahagiaan, dan kenyamanan.

Oleh itu, moto MPH ialah menjadi "Kedai Buku Keluarga Anda". Sesebuah rumah bukan hanya sebuah bangunan yang dilihat dari aspek struktural malah ia juga merupakan kediaman yang perlu memenuhi syarat-syarat kehidupan yang layak dan dipandang dalam kehidupan bermasyarakat. Selain itu, rumah juga menampilkan suasana kehidupan yang turut berperanan dalam pembentukan watak setiap peribadi dan memupuk pembinaan hubungan di antara peribadi [extended family (keluarga luas)].  

Justeru, aku telah berjaya mengumpul semua empat reka bentuk kotak memo (memo box) yang menyatakan ejaan perkataan 'HOME'. Setiap pembeliaan RM150 dan ke atas dalam satu resit memperolehi kotak memo percuma di semua kedai MPH Bookstore. Aku memperolehi kotak memo ini dari MPH Bookstore Tesco, Sungai Petani dan MPH Bookstore Amanjaya Mall, Sungai Petani masing-masing dua kotak memo.


Di bawah ini, aku kutip kata-kata hikmah dan ilmu berkenaan kepentingan keluarga (walapun kata hikmah yang ke-12 tidak berkaitan dengan isu keluarga) yang terkandung di dalam katalog MPH di bawah isu coming together as one: tokens of love catalogue 2013-2014:
  1. "In every conceivable manner, our family is linked to our past, bridge to our future" - Alex Haley.
  2. "Family is not an important thing, it is everything" - Michael J. Fox.
  3. "Have you ever noticed how parents can go from the most wonderful people in the world to totally embarrassing in three seconds?" - Rick Riordan, Red Pyramid.
  4. "These people make my family look easy to get along with" - Megan Whalen Turner, The King of Attolia.
  5. "On average, a 4-year-old child asks 437 questions a day."
  6. "A three-year-old boy's voice is louder than 200 adults in a crowded restaurant."
  7. "Fathers tend to determine the height of their child and mothers their weight."
  8. "The oldest board game in the world is checkers."
  9. "The word toy comes from an old english word meaning 'tool'."
  10. "What can you do to promote world peace? Go home and love your family" - Mother Theresa.
  11. "Other things may changes us, but we start and end with the family" - Anthony Brandt.
  12.  "One out of every eight letter you read is the letter 'e'."

Sabtu, 30 November 2013

Orang Malaya Di Sabah #2

Sudah lama aku ingin menyambung entri Orang Malaya Di Sabah #1 tetapi baru kini aku berkesempatan untuk menulis. Entri ini dan sewaktu dengannya lebih kepada pendapat dan pengalaman peribadi aku ketika tinggal di Sabah. Selepas 50 tahun pembentukan Malaysia, isu prejudis orang Sabah terhadap orang Malaya yang tinggal di Sabah tetap ada. Prejudis ini bukan sahaja dalam kalangan orang Sabah yang berpendidikan tamat sekolah rendah atau sekolah menengah tetapi turut wujud dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi termasuk graduan PhD. Isu ini menunjukkan pendidikan di Malaysia masih belum dapat mendakap erat rakyat Malaysia dalam konteks perpaduan. 

Isu nama ‘Malaya’ yang terdapat pada maskot ‘Harimau Malaya’ yang digunakan oleh Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia malah digunakan juga sebagai gelaran kepada pasukan itu turut menjadi isu kepada segelintir orang Sabah yang menyatakan “Kenapa mesti Malaya?, Kenapa bukan Malaysia?”. Isu utama pada ‘Harimau Malaya’ ialah perkataan ‘Malaya’ merupakan sebahagian dari nama harimau itu. ‘Harimau Malaya’ atau nama saintifiknya ialah Panthera tigris malayensis merupakan sub spesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, tidak ada sub spesies harimau yang bernama ‘Harimau Malaysia’. 

Pemilikan tanah di Sabah dalam kalangan orang Malaya turut menjadi isu besar bagi orang Sabah. Aku mempunyai seorang sepupu berasal dari Kedah yang berkahwin dengan orang Sabah yang berturunan Kadazan Dusun. Sepupu aku membeli tanah di Sabah, maka menjadi persoalan besar bagi rakan-rakan sekerjanya yang berasal dari Sabah, “Macam mana orang Semenanjung boleh beli tanah di Sabah?” Jawapan sepupu aku “Kenapa aku bukan orang Malaysiakah?”, walhal tanah itu atas nama suami dan anak-anaknya. Kedudukan orang Malaya di Sabah menjadi isu yang besar, menjadikan orang Malaya sebagai ancaman kepada orang Sabah. Hal ini menghairankan apabila kaum bumiputera Sabah tidak rasa terkesan pula jika bangsa Cina memiliki aset tanah di Sabah asalkan bangsa Cina itu orang Sabah. Peluang pekerjaan hatta guru sandaran keutamaan diberi kepada orang Sabah walaupun ada anak-anak orang Malaya yang menetap di Sabah mempunyai kelayakan yang lebih baik.

Di Sabah, aku merasakan orang Indonesia yang menetap di Sabah lebih akrab-istimewa berbanding orang Malaya yang berstatus warganegara Malaysia. Kedudukan geografi negeri Sabah yang hampir dengan kepulauan Indonesia di samping bahasa yang lebih kurang sama menjadikan bangsa Indonesia lebih bersaudara dengan orang Sabah berbanding dengan orang Malaya yang berasal dari Semenanjung Tanah Melayu. 

Aku bersekolah sepenuhnya di Sabah dari tadika, sekolah rendah sehingga sekolah menengah. Aku generasi X yang lahir dalam tahun 1970-an pastinya zaman itu kerajaan Malaysia belum menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan mykad kepada seluruh rakyat Malaysia. Ketika aku berada di sekolah menengah, aku mempunyai seorang kawan berketurunan Bugis suku Bone dilahirkan di Sabah mempunyai kad pengenalan berwarna merah (status pemastautin tetap). Dia mempunyai adik-beradik yang ramai, maka seorang kakaknya (juga dilahirkan di sabah) telah dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga bumiputera Sabah tanpa didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara seperti yang terkandung dalam Ordinan Pengangkatan Negeri Sabah 1960. Ketika kakaknya berusia 12 tahun, maka kedua-dua ibu bapa angkat kakaknya telah membawa kakaknya ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses memperolehi kad pengenalan. Proses yang mudah, penjaga menunjukkan kad pengenalan biru yang dimilikinya maka satu keberuntungan apabila kakaknya layak memperolehi kad pengenalan berwarna biru dengan status warganegara Malaysia tanpa menyiasat dan mengambil kira latar belakang sebenar pemohon. Pada ketika itu, kelahiran rakyat Malaysia hatta di Sabah sekalipun hanya mempunyai surat beranak sebagai bukti pendaftaran tanpa cacatan nombor kad pengenalan ibu bapa memadai dengan hanya menyatakan butiran bangsa anak, tempat lahir, nama dan bangsa ibu bapa serta pekerjaan bapa.

Dalam zaman 1990-an, seseorang yang berstatus pemastautin tetap (mempunyai kad pengenalan berwarna merah) tidak layak memasuki institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan menggunakan saluran kelayakan warganegara Malaysia. Semasa aku bersekolah Tingkatan 6 Atas, aku mempunyai beberapa orang kawan yang berstatus pemastautin tetap. Seorang cikgu aku berkelulusan universiti berketurunan Bugis warganegara Malaysia telah memberi panduan kepada para pelajarnya yang mempunyai kad pengenalan berwarna merah agar boleh memasuki institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan menggunakan saluran kelayakan warganegara Malaysia. Caranya mudah iaitu ketika mengisi borang kemasukan universiti, hanya nyatakan tidak mempunyai kad pengenalan. Pada ketika itu, cara ini dikira sebagai kaedah paling berkesan untuk memboloskan diri para pemegang status pemastautin tetap agar memperolehi keistimewaan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Aku bersyukur kerana kini rakyat Malaysia meggunakan mykad sebagai kad pengenalan rasmi di mana kerajaan Malaysia telah menggunakan kaedah biometric dan centralized database untuk merekodkan identiti setiap rakyat Malaysia. Walaupun mutaakhir ini banyak berita yang dipaparkan di dada-dada akhbar mengenai kegiatan ‘orang dalam’ bahagian Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia yang melakukan pecah amanah membuat dan menjual mykad palsu kepada warganegara asing, namun kini lebih mudah mengenal pasti sama ada mykad tersebut palsu atau tidak.



                                                                              Bersambung... sila klik Orang Malaya Di Sabah #3 

Ahad, 27 Oktober 2013

Kedudukan Barang Yang Disedekahkan

Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu Ali r.a. mengenai kedudukan barang yang disedekahkan selepas ia berpindah daripada tangan tuannya. Ketika barang yang disedekahkan sampai kepada tangan penerima, barang tersebut menyebut lima perkara kepada pemberi sedekah iaitu:
  1. Aku adalah barang yang kecil dan sedikit nilainya. Namun, engkau membesarkan aku di hadapan Allah s.w.t. dengan bersedekah.
  2. Pada asasnya, aku hanya barang yang sedikit. Namun, engkau menjadikankan aku sesuatu yang banyak pada pandangan Allah s.w.t.
  3. Aku adalah musuhmu. Namun, kini engkau menjadikan aku sebagai teman rapat.
  4. Aku adalah barang yang mudah rosak. Namun, kini engkau menjadikan aku kekal abadi.
  5. Engkau menjaga aku daripada pencuri. Namun, kini aku menjaga engkau daripada api neraka.
Sumber:
Muhammad Hasan Al-Basri.  2013.  Nikmatnya Bersedekah: Zakat, Infak, Sedekah.  Batu Caves: PTS Millinnea Sdn. Bhd.

Ahad, 13 Oktober 2013

Bencinta: Enough Versi Timur




Apabila tengok iklan mengenai filem Bencinta di TV3, aku rasa teruja hendak menonton filem itu terutama bahagian Fathia (lakonan Nora Danish) berlatih tinju untuk berhadapan suaminya (lakonan Farid Kamil) yang membenci dirinya. Aku jadi tertanya-tanya “kenapa seorang suami boleh benci isterinya sendiri?”.

Hari minggu 6 Oktober 2013, aku menonton filem Bencinta di Golden Screen Cinemas, Amanjaya Mall, Bandar Amanjaya, Sungai Petani. Aku tengok filem itu pukul 2.30 petang. Walaupun hari Ahad bukan hari minggu bagi negeri Kedah tetapi harga tiket tetap RM10.00. Selepas menonton filem itu, aku sudah dapat jawapan kepada pertanyaan “kenapa suaminya benci dia?”. Jawapannya ialah sifat suami dia yang panas baran, pantang isteri marah dan meninggikan suara setelah isterinya tahu dia mempunyai hubungan kayu tiga dengan Rose.

Malam pada hari yang sama pukul 12.00 tengah malam TV2 menayangkan Enough yang difilemkan pada 2002 lakonan Jennifer Lopez dan Billy Campbell. Aku terkejut dengan jalan cerita yang hampir menyamai 90% dengan filem Bencinta. Perbezaan di antara kedua-dua filem ialah Bencinta memaparkan lokasi dan latar ceritanya telah diubah menurut versi Timur ala Malaysia di samping latar masa dan zaman yang telah ke hadapan menyebabkan alat telekomunikasi yang digunakan dalam filem Bencinta lebih canggih berbanding filem Enough. Pada aku, lakonan Farid Kamil memukul Nora Danish agak keterlaluan berbanding Billy Campbell memukul Jennifer Lopez dalam Enough. Aku rasa puas apabila Nora Danish berjaya mengalahkan Farid Kamil; "Ambik kau!".

Oleh yang demikian, pada hari yang sama aku dapat menonton kedua-dua filem di mana Bencinta merupakan hasil plagiat daripada Enough. Sungguh mengecewakan! Aku rasa kecewa dengan Bencinta!

Ahad, 6 Oktober 2013

Haji: Adab dan Akhlak


Pada 16 hingga 22 September 2013, aku berada di Kajang – Bandar Baru Bangi saja melawat ‘kampung-halaman’ yang hampir setahun aku tinggalkan. Aku menggelarkan kawasan pekan Kajang-Bandar Baru Bangi sebagai ‘kampung-halaman’ kerana aku telah mendiami daerah ini hampir 14 tahun sepanjang melanjutkan pelajaran di UKM, Bangi dari peringkat sarjana muda, sarjana (Masters) dan PhD. 

Dalam tempoh 16 hingga 22 September 2013, aku menginap di Hostel Anjung Rumbia.  Di sini, aku boleh menonton TV Al-Hijrah khususnya slot 30 Minit Bersama Ustaz Don. Di Sungai Petani, jika hendak menonton TV Al-Hijrah mesti ada ASTRO. Aku sempat menonton slot 30 Minit Bersama Ustaz Don yang membincangkan perkara-perkara yang berkaitan ibadah haji. Ada dua perkara yang dinyatakan oleh Ustaz Don yang memberikan kesan kepada aku iaitu:

  1. Kata Ustaz Don mengenai kewujudan sesetengah jemaah haji yang menggunakan pakej haji berharga RM135,000.00 membincangkan di antara sesama mereka soal “helikopter U parking di mana?” Hal ini sungguh berbeza dengan taraf kita (kelas pertengahan bawah) yang saling bertanya “kereta U parking di mana”. Dalam perkara ini, Ustaz Don mengingatkan walau bagaimana hebat hotel dan pakej haji yang kita ambil, tapi apabila keluar daripada hotel mewah tempat menginap, semua orang sama saja.
  2. Kata Ustaz Don, ketika buat haji kena bersabar (jaga akhlak) “walau macam mana orang buat, dok sengaaap ja” (sambil menunjukkan aksi mengepit badan sambil menundukkan kepala).
Apabila saya mendengar kedua-dua perkara di atas, saya tertanya-tanya pada diri sendiri “Allah, mampukah aku dok sengaaap ja” walau apa pun yang orang lain buat pada aku? Hal ini berkaitan rapat dengan ego yang ada dalam setiap individu. 

Walau bagaimanapun, dalam berhadapan situasi yang sesak, maka jemaah haji dituntut menjaga adab dan akhlaq dengan sebaik-baiknya. Nabi s.a.w. adalah contoh terbaik. Usamah bin Zaid r. a. berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمشي عنقا فإذا وجد فجوة نص

"Rasulullah s.a.w. berjalan tidak terlampau laju atau terlampau perlahan, apabila ada tempat yang luas, maka baginda mempercepatkan perjalanannya" [Shahih Bukhari]. 

Baginda s.a.w. tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak. Malah, baginda s.a.w. memerintahkan para sahabat r.a. berjalan dengan tenang apabila bertolak dari Arafah. Katanya:

عليكم بالسكينة

"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang" [Muttafaqun Alih].


Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. maka semua perjalanan akan teratur. Pepatah Arab ada menyatakan:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها
ولكن أخلاق الرجال تضيق

"Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya; (tetapi kerana) sikap (akhlak) penghuni yang menyempitkannya."

Rabu, 2 Oktober 2013

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Syawal 1434H Sehingga 30 Sya'ban 1435H



Ibadah puasa mengandungi faedah dan manfaat yang besar, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan elok juga melakukan puasa sunat yang terdapat dalam sepanjang tahun hijri.  Di bawah ini, aku sertakan Takwim Puasa Sunat (1 Syawal 1434H - 30 Sya'ban 1435H) sebagai panduan kita bersama:



Puasa Sunat
Tarikh
Puasa Enam
(Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)


9 Ogos 2013 – 6 September 2013
Puasa 1-8 Zulhijah
6 – 13 Oktober 2013
Puasa Hari Wuquf (Bagi yang tidak menunaikan haji)
  
14 Oktober 2013
Puasa 1-9 Muharam
5 – 13 November 2013
Puasa Hari Asyura 
(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya) 
atau
(Pada 10 Muharam beserta sehari selepasnya)

13 – 14 November 2013
atau
14-– 15 November 2013
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·     Hari  Raya Aidilfitri 1 Syawal  (8 Ogos 2013 bersamaan hari Khamis)
·    Hari Tasyrik 12 Zulhijah (17 Oktober 2013 bersamaan hari Khamis)
Puasa Hari Putih 
(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·     Syawal (20 – 22 Ogos 2013)
·     Zulkaedah (19 – 21 Sept. 2013)
·     Zulhijah (19 – 20 Oktober 2013)***
·     Muharam (17 – 19 Nov.  2013)
·     Safar (16 – 18 Disember 2013)
·     Rabiulawal (15 – 17 Januari 2014)
·     Rabiulakhir (13 – 15 Februari 2014)
·     Jamadilawal (15 – 17 Mac 2014)
·     Jamadilakhir ( 13 – 15 April 2014)
·     Rejab (13 – 15 Mei 2014)
·     Sya’ban (11– 13 Jun 2014)
Puasa Sunat Sya’ban
30 Mei – 27 Jun 2014

*** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1434H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 18 Oktober 2013.