Ahad, 6 November 2011

Tahniah Dr. Bubbles


Buku ini karya John Wood (2011) terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. berkisar keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh Room to Read di negara-negara membangun yang mengalami kekurangan sumber terdiri daripada Nepal, India, Sri Langka, Kemboja, Vietnam dan Afrika. Room to Read mengutip dana di bandar-bandar maju di dunia untuk membina sekolah, perpustakaan, makmal komputer dan makmal bahasa. Projek-projek amal yang dilaksanakan menuntut penglibatan komuniti setempat agar turut serta menyediakan sumber dalam usaha membangunkan sesebuah projek. Melalui kaedah ini sesebuah komuniti yang terlibat lebih menghargai pembangunan yang disediakan untuk mereka di samping sebagai usaha untuk memperkasakan komuniti. Selain itu, Room to Read turut memberi biasiswa jangka panjang kepada kanak-kanak dan remaja perempuan agar berpeluang menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya pada peringkat sekolah menengah. Pendidikan merupakan cara terbaik membanteras kemiskinan pada peringkat global. 
Sekiranya kita mendidik seorang kanak-kanak lelaki, kita hanya mendidik dirinya seorang. Sekiranya kita mendidik seorang kanak-kanak perempuan, kita mendidik sebuah keluarga, dan juga generasi yang akan datang.
Kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan remaja perempuan memerlukan kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa. Tina Sciabica, ketua sukarelewan cawangan Room to Read di Chicago menceritakan kisah peribadinya:
Saya sudah pergi ke merata tempat di dunia membangun. Apa yang saya lihat semasa berada di sana membuka minda saya bagi menghargai betapa besarnya perubahan yang dapat dijana oleh pendidikan dalam hidup seorang wanita. Saya juga bersyukur kerana mempunyai keluarga yang menghargai nilai pendidikan. Salah satu keutamaan paling besar dalam hidup bapa saya adalah memastikan beliau mampu menghantar saya ke universiti. Saya berjaya memasuki universiti dan kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.
Sejak itu, saya mempunyai kemampuan kewangan yang tidak pernah mereka impikan saya mencapainya. Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, saya mempunyai kebebasan tanpa batasan. Saya mempunyai karier saya sendiri, memiliki rumah dan saya hanya berkahwin apabila saya benar-benar mahu mendirikan rumah tangga, dan bukannya kerana memerlukan seseorang bagi menyara hidup saya. Sekiranya saya ditakdirkan menjadi seorang wanita yang tidak mempunyai sebarang pelajaran di dunia membangun, kemungkinan besar saya tidak dapat menikmati kebebasan ini.
Buku ini turut mendedahkan ilmu pengurusan yang diperolehi oleh John Wood semasa beliau masih bekerja di Microsoft. Gabungan ilmu pengurusan dalam badan amal Room to Read telah menghasilkan kos pengurusan yang rendah dan acara mengutip dana bagi pelaksanaan sesebuah projek amal diketengahkan sebagai program keusahawanan sosial. Hasilnya Room to Read menekankan data berasaskan angka sebagai alat pengukuran bagi sebuah pencapaian. Justeru, buku ini mendendangkan wira-wira yang terlibat dalam usaha membangunkan projek amal Room to Read termasuk para penyumbang dana dan rantaian cawangan sukarelawan di seluruh dunia. Buku ini yang berkisar projek-projek amal maka tidak menghairan apabila Iskandar Syah Ismail a.k.a Dr. Bubbles menterjemahkan buku ini memandangkan beliau turut terlibat secara aktif dalam projek-projek amal seperti mengutip dana, menubuhkan perpustakaan di rumah anak-anak yatim dan sekolah di Malaysia termasuk menghiburkan kanak-kanak di hospital melalui badan amal Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Red Bubbles. Ternyata buku ini telah memberikan inspirasi kepadaku untuk turut terlibat dalam aktiviti amal dan kebajikan.

Book Signing daripada penterjemah
Tahniah Dr. Bubbles kerana menterjemahkan buku ini dalam bahasa Melayu.          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan