Sabtu, 16 April 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Sumber: Uncle Google



Aku sudah tengok filem Hikayat Merong Mahawangsa. Inilah filem pertama aku tengok di panggung wayang (Alamanda Putrajaya) setelah kali terakhir aku masuk panggung wayang semasa aku berusia lapan tahun bersama-sama mak abah dan adikku. Abah aku dapat tiket free cerita kartun Walt Disney. Sebenarnya ketika usiaku sekitar tiga hingga empat tahun, mak abah pernah membawa aku menonton wayang tetapi selepas beberapa minit berada di dalam panggung, aku menangis sebab aku takut gelap dan bunyi suara filem yang kuat.  Aku pasti mengajak mak abahku pulang ke rumah.

Semasa usia remaja, aku tidak pernah menonton filem di panggung wayang kerana Ustaz Mohd. Yatim yang mengajar aku mata pelajaran agama Islam Tingkatan 1A di SMKE telah berpesan kepada semua pelajarnya, "sesiapa yang membeli tiket masuk ke panggung wayang maka dia telah menempah tiket untuk ke neraka". Sebut fasal neraka siapa tidak takut; perasaan takut kepada neraka kerana ada iman di dalam hati. Pesanan itu melekat kuat di dalam hati dan fikiranku sehingga roommate aku Kak Niza (semasa aku menyewa rumah di Seksyen 16 Bangi selepas aku menamatkan pengajian peringkat sarjanamuda) pernah mengajak aku menemankannya menonton wayang dengan teman lelakinya tetapi aku tidak bersetuju lantas aku menyatakan pesanan Ustaz Mohd. Yatim kepadanya. Akhirnya, Kak Niza terpaksa mengajak seorang dari housemate kami untuk menemankannya.

Kali ini aku menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa selepas kawanku Aca mengajak aku agar kami mengambil tahu sebahagian dari sejarah negeri Kedah yang telah difilemkan oleh KRU. Al-maklumlah kami sama-sama dari negeri Kedah. Pesanan Ustaz Mohd. Yatim masih kukuh dalam benak fikiranku, tapi dalam usiaku yang telah mencecah 36 tahun, aku lebih rasional dalam menilai pesanan itu. Bagi aku, filem ini sangat menarik walaupun banyak pengubahsuaian telah dilakukan jika dibandingkan dengan apa yang terkandung di dalam buku. Perkara biasa apabila sesebuah kisah di dalam buku hendak difilemkan pasti berlaku pengusuaian. Di dalam buku, garuda dinyatakan sebagai burung yang besar tetapi di dalam filem garuda dinyatakan sebagai sekumpulan lanun. Sifat kisah hikayat - menampilkan kisah hero yang luar biasa. Keluarbiasaan ini menyebabkan kisah hikayat dicampuradukkan dengan unsur-unsur perkara yang tidak dapat diterima akal (mitos). R. O. Winstedt menganggap Hikayat Merong Mahawangsa sebagai cerita khayal yang disadur daripada Hikayat Ramayana, Khatha Sarit Sagara dan Jataka. Hal ini juga dapat dilihat di dalam Hikayat Hang Tuah di mana penulis mengisahkan Hang Tuah boleh bertukar kepada harimau dan sebagainya. Bangsa Melayu mengaitkan susur-galur keturunan rajanya dengan Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan seorang raja yang hebat. Hal ini turut dinyatakan di dalam karya agung Sejarah Melayu atau tajuk sebenarnya ialah Sulalatus Salatin* yang mengaitkan Parameswara (Sultan Melaka) berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. 

Di dalam filem ini, ada sebuah pantun yang amat menarik yang diajar oleh Lang kepada anaknya Merong Mahawangsa yang mempunyai makna yang amat mendalam iaitu:
Sampai masa tibanya waktu,
Redup hati kamu berdua;
Bila dua jasad bersatu,
Hidup mati jadi bersama.
 Nota tapak kaki:
* Sulalatus Salatin bermakna peraturan segala raja-raja. Namun begitu, penjajah Inggeris (versi Shellabear) yang menjajah negeri-negeri Tanah Melayu telah bertindak menukar tajuk Sulalatus Salatin kepada Sejarah Melayu. Kini, cendiakawan Barat pula mempertikaikan Sejarah Melayu sebagai sebuah karya sastera sejarah kerana sifat Sulalatus Salatin yang mengandungi unsur mitos. Contohnya pandangan Prof. Hoesein Djajadiningrat, Branders Rasser dan Pigeaud umpamanya menganggap Sejarah Melayu sebagai buku dongeng kerana tidak mempunyai penanggalan. Oleh itu, wajar sekali tajuk Sejarah Melayu dikembalikan kepada yang asal iaitu Sulalatus Salatin.

Penanggalan merujuk kepada maksud yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Empat iaitu 1. daftar hari bulan, alma­nak, kalender, takwim; 2. perihal mem­bu­buh tang­gal; 3. tarikh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan