Isnin, 13 Ogos 2012

Amina @ A Novel: Amina

Sumber: sila klik di sini [...]

Buku Amina merupakan karya Mohammed Umar telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu daripada A Novel: Amina dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2011. Buku ini berkisar mengenai perjuangan wanita di Bakaro, Nigeria, Afrika yang digerakkan oleh Amina dan para mahasiswa (segelintir golongan yang berpendidikan tinggi) melalui Persatuan Wanita Bakaro untuk membasmi ketidakadilan dan penindasan  terhadap wanita. Faktor budaya, politik dan salah faham dalam pentafsiran hukum syariah Islam menjadi sebuah lingkaran yang membelenggu kehidupan wanita di Nigeria. Budaya masyarakat Nigeria meletakkan keutamaan kepada kaum lelaki berbanding wanita sehingga wujud perbezaan dari aspek hak bekerja, hak memperolehi upah yang setara dan hak memperolehi pendidikan. Anak-anak perempuan lazimnya dibesarkan untuk dikahwinkan menyebabkan berlaku perkahwinan paksa dan bawah umur dalam kalangan wanita. Perkahwinan bawah umur turut menyebabkan berlaku kerosakan pundi kencing dalam kalangan ibu-ibu muda ketika proses melahirkan anak secara normal. Mohammed Umar menyatakan kedudukan wanita dari sudut pandangan kebanyakan budaya Afrika:
Majoriti budaya tradisional di Afrika ini merupakan budaya yang didominasi oleh kaum lelaki sehungga menyebabkan kita, kaum wanita, dinafikan hak untuk bersuara walaupun ke atas perkara yang melibatkan diri kita sendiri. (halaman 132). 
..., wanita menjadi objek untuk keseronokan dan juga sebagai buruh domestik atau sebagai komoditi untuk jualan dan mesin pembuat anak. Majoriti wanita Afrika ketika ini menjadi hamba kepada lelaki pada waktu siang dan kemudiannya menjadi ratu mereka pada waktu malam (halaman 132).
Dalam politik, kaum wanita Nigeria tidak mempunyai pemimpin wanita yang bertindak sebagai wakil dalam kerajaan sebaliknya penglibatan mereka dalam politik hanya terhad sebagai pengundi dalam pilihan raya. Selain itu, buku ini juga mengetengahkan para pemimpin politik Nigeria yang korup dan kelemahan sistem ekonomi kapitalis (diwarisi dari zaman kolonial) sehingga muncul perdebatan kelas dalam masyarakat. 

Justeru, Mohammed Umar mentengahkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat Nigeria dalam konteks kelas menurut perpektif Karl Marx. Hal ini menyebabkan perdebatan kelas dalam masyarakat Nigeria adalah berasaskan ketidaksetaraan pengagihan peluang ekonomi. Para pemimpin agama di Nigeria memanipulasikan agama untuk kepentingan kelas pemerintah yang kaya melalui hasil merampok harta rakyat dan menggelapkan wang kerajaan dengan menyatakan bahawa kewujudan kelas kaya dan miskin dalam masyarakat merupakan takdir Allah yang perlu diterima oleh rakyat. Agama turut digunakan sebagai alat untuk menindas dan menafikan hak wanita dalam masyarakat:
Di Nigeria ini, agama Islam yang sepatutnya dijadikan landasan untuk pembebasan wanita, telah ditafsirkan mengikut kepentingan pemimpin agama kita dalam usaha menekan dan menakluki kita semua.
Buku ini turut menyatakan hasrat Mohammed Umar terhadap masa depan Nigeria melalui perbualan di antara Amina (watak utama dalam buku ini) dengan Bilkisu:
Amina: "Kita perlu meletakkan sesuatu pada haknya dan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya itu, kita perlukan revolusi."
Bilkisu: "Revolusi yang bagaimana?"
Amina: "Revolusi yang boleh mengubah keseluruhan struktur masyarakat dan membantu ke arah pembinaan cara hidup baharu, membawa keadilan, kebebasan dan kesamaan, kasih sayang, persefahaman dan rasa hormat antara kita semua. Revolusi sebenar ialah revolusi yang dapat memenuhi kehendak rakyat; yang boleh memberikan tanah, makanan dan kehidupan lebih baik kepada petani dan keluarga mereka, kerja dan kehidupan yang lebih baik kepada golongan pekerja, harapan dan pendidikan kepada golongan muda, peluang untuk kaum wanita terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat. Dan paling penting, kita memerlukan satu revolusi untuk memodenkan masyarakat kita". (halaman 372).

2 ulasan:

  1. Salam...rasanya boleh lg kut ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'salam.

      Hehehe. OK. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir & batin juga untuk En. Shaiful.

      Padam