Jumaat, 3 Ogos 2012

Penerbitan Tesis Pelajar Di UKM

Aku sudah lama hendak menyambung perbincangan entry yang kutulis bertajuk (sila klik) Penerbitan Tesis PhD Di UKM baru kini aku mempunyai kelapangan fikiran untuk menulis. Sebelum aku meninggalkan UKM pada 12 Jun 2012 kerana pengajian PhD aku telah tamat, aku sempat berbual dengan seorang pegawai penerbitan yang bertugas di Penerbit UKM di Kedai Buku Penerbit UKM. Pegawai penerbitan tersebut menyatakan kepadaku bahawa 
Bermula tahun 2011, jumlah penerbitan buku di UKM telah merudum. Penerbit UKM mengambil inisiatif untuk menerbitkan kembali buku-buku lama yang telah diterbitkan oleh penerbit UKM dan menerbitkan kembali buku-buku yang telah diterbitkan oleh fakulti di UKM untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku di UKM.
Setelah mendengar kenyataan pegawai penerbitan tersebut, aku teringat kenyataan yang ditulis oleh penulis blog (sila klik) Albangi  yang membincangkan persoalan IPTA di Malaysia yang dikatakan telah kehilangan arah kerana kerana permainan “politik perniagaan” Barat dan kekalutan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menurut rentak tarian Barat. 
Beberapa pihak di Barat memulakan dengan permainan SENARAI 100 Universiti terbaik dunia, SENARAI 100 universiti Asia terbaik dengan mengemukakan beberapa kriteria.
Kemudian kriteria ini berubah-ubah dari masa ke semasa dan kemudian kriteria baru diwujudkan dengan permainan SCOPUS dan ISI di mana setiap penerbitan jurnal di dalam SCOPUS dan ISI dibayar dengan harga tinggi. Yang menerbit juga diberikan ganjaran wang antara RM1000 hingga RM10,000 bagi setiap artikel. Maka penerbit jurnal kaya mengutip yuran dari penulis untuk menerbit artikel; penulis juga kaya mengaut wang dari majikan universiti kerana bejaya menerbit artikel dalam senarai jurnal SCOPUS dan ISI.
Kini, penilaian KPI (Key Performance Index) pensyarah yang berkhidmat di IPTA turut meletakkan keutamaan kepada penerbitan artikel jurnal di dalam SCOPUS dan ISI sehingga penerbitan buku tidak dinilai dalam kenaikan pangkat di universiti. Hal ini menyebabkan ramai pensyarah UKM malah di serata IPTA di Malaysia meletakkan syarat kepada para pelajar di bawah seliaan mereka agar memasukkan nama mereka sebagai penulis bersama  artikel yang merupakan hasil kajian tesis pelajar untuk diterbitkan di dalam jurnal.  Para pensyarah IPTA lebih menekankan penerbitan di dalam jurnal berbanding menghasilkan buku. Situasi inilah yang membelenggu penurunan penerbitan buku di UKM. Hal ini menyebabkan pelajar siswazah (termasuk pelajar PhD) di UKM digesa menerbitkan tesis di bawah Penerbit UKM untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku. Gesaan ini dinyatakan dalam sesi viva (tesis) pelajar. Selain itu, UKM turut mengeluarkan pekeliling kepada pensyarah UKM agar pelajar memasukkan nama penyelia tesis sebagai penulis bersama. Aku telah membincangkan kelemahan idea memasukkan nama penyelia sebagai penulis bersama dalam entry Penerbitan Tesis PhD Di UKM. Dalam hal ini, kelihatan UKM memanipulasi para pelajar siswazahnya.

 
Walau bagaimanapun, Pengarah ISDEV (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam), Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh di dalam artikelnya yang bertajuk Satu Tulisan Ramai Pengarang (Majalah Milenia Muslim keluaran Julai 2012) menyatakan:
... Enrico Fermi di Universiti Chicago. ... mensyaratkan pelajar-pelajar PhD memilih persoalan kajian, menyelesaikan dan menyerahkan hasil untuk penerbitan atas nama pelajar itu sahaja. (Halaman 73).
Amalan di Universiti Chicago ini wajar dicontohi oleh IPTA di Malaysia untuk mendidik keikhlasan di dalam hati setiap pensyarah yang bertanggungjawab menyelia para pelajar untuk menghasilkan tesis yang berkualiti.

2 ulasan: