Sabtu, 15 September 2012

Cara Terindah Untuk Mati


Buku Cara Terindah Untuk Mati (2011) ditulis oleh Rachmat Ramadhana al-Banjari dan diterbitkan oleh PTS Milinnea Sdn. Bhd. Semasa aku membaca dan apatah lagi selepas selesai aku membaca buku ini, aku terasa tersentak seperti masa hendak balik kepada Pencipta semakin hampir. Aku berdoa dan mengharap kepada Allah agar aku diberi kesempatan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh yang wajib aku melaksanakannya sepanjang hayatku; untuk menyelesaikan semua perkara itu juga menuntut masa dan kesihatan yang baik walaupun aku tahu firman Allah di dalam surah Yunus (10: 49) iaitu:
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".
Kematian itu merupakan kiamat kecil yang dihadapi oleh setiap manusia  bagi memasuki alam kubur dan alam barzakh. Cara yang terindah untuk mati yang dinyatakan di dalam buku ini ialah husnul khatimah. Oleh itu, Rachmat Ramadhana al-Banjari (2011: 173-202) membincangkan keperluan untuk menyiapkan bekalan bagi menghadapi kematian iaitu:
  • Bekal Takwa
Bertakwa kepada Allah bermaksud takut dan tunduk dengan sepenuh jiwa dan raga, serta melindungi dan memelihara segala hak Allah sama ada hubungan dengan Allah atau hubungan dengan manusia. Takwa itu mengandungi tiga unsur iaitu pertama, memelihara diri daripada perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Kedua, memelihara diri daripada perbuatan yang dapat merosakkan diri sendiri dan ketiga, memelihara diri daripada perbuatan yang dapat merosakkan individu lain atau makhluk-Nya yang lain.
  • Jadikan Dunia Sebagai Jambatan Menuju Akhirat
  • Sempurnakan KeIslaman Diri - Islam secara menyeluruh.
Doa Nabi Yusuf kepada Allah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran surah Yusuf (12: 101) iaitu "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengurniakan aku sebahagian daripada kekuasaan pemerintahan dan mengajarku sebahagian daripada ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau penguasa dan perlindunganku di dunia dan akhirat. Sempurnakankan ajalku apabila mati dalam keadaan Islam dan hubungkan daku dengan orang-orang yang soleh".
  • Taubat Nasuha - proses mengembalikan kewujudan diri kepada rohani yang suci di hadapan Allah dengan cara memohon ampun daripada semua dosa dan kesalahan yang melekat di dalam jiwa, kalbu, akal, pancaindera dan anggota badan. Taubat nasuha perlu memilki dua unsur iaitu pertama, berazam tidak mengulangi lagi perbuatan dosa dan maksiat yang pernah dilakukan dan kedua, memperbanyakkan amal kebaikan bagi menebus dosa-dosa yang lalu.
  • Berwasiat - tindakan berwasiat mempengaruhi keadaan individu yang telah meninggal dunia apabila berada di hadapan Allah. Wasiat tidak hanya berkaitan dengan harta benda, tetapi berkaitan dengan kemaslahatan dirinya dan keluarga yang ditinggalkannya. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Aku bermimpi melihat dua orang wanita. Salah seorang daripada mereka bercakap, manakala seorang lagi tidak. Mereka berdua adalah penghuni syurga. Kemudian aku bertanya kepadanya, "Engkau bercakap sedangkan temanmu tidak." Wanita itu menjawab, "Aku meninggal dan berwasiat. Manakala, dia meninggal dunia tetapi tidak meninggalkan wasiat sehingga tidak dapat berbicara sampai hari kiamat". (Riwayat ad-Dailami). 
Selain itu, tuntutan berwasiat turut dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran iaitu "Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa" (Al-Baqarah 2: 180).
  • Menyiapkan bekalan tiga amalan yang tidak akan putus pahala yang dapat mengangkat darjat di sisi Allah sama ada di dunia atau di akhirat seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakannya.
Sesungguhnya kematian itu pasti, hidup itu Insya-Allah. Senarai daftar kematian ditetapkan oleh Allah dalam setiap bulan Sya'ban. Daripada Aisyah menyatakan, "Nabi berpuasa selama sebulan Sya'ban. Kemudian aku bertanya berkenaan hal itu. Beliau menyawab, "Sesungguhnya Allah menetapkan setiap jiwa yang mati pada bulan itu. Aku mahu ajalku datang kepadaku apabila aku dalam keadaan berpuasa". Walau bagaimanapun, dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Jarir dinyatakan bahawa "dihapuskan daripada Malaikat Maut nama individu yang meninggal dunia pada saat lailatul qadar". Moga ayat al-Quran di bawah menjadi zikrul maut (peringatan kematian) bagi kita semua:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (Ali-Imran 3: 185).

4 ulasan:

  1. as salam sha....
    post yg best...n mmg mgunakn BM dgn betul...lama x b'fb?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'salam.

      Terima kasih. Saya tutup FB buat sementara waktu. Insya-Allah, saya akan kembali berFB selepas konvokesyen 20 Oktober 2012.

      Padam
  2. salam kenal..

    thanks sudi tinggal link..

    BalasPadam