Jumaat, 21 Disember 2018

Kasyaf Ain






Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tajuk: Kasyaf Ain
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: RAM Typewriter Ventures
Muka Surat: 393
Harga: RM40.00 (Pre-Order termasuk bayaran pos)








Buku Kasyaf Ain (2018) merupakan novel terbaharu Ramlee Awang Murshid yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan beliau sendiri iaitu RAM Typewriter Ventures. Buku ini hanya boleh dibeli dengan cara menghubungi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) Store dalam facebook. Aku beli buku ini ketika RAMFC Store menawarkan harga pre-order.  

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kasyaf sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui kalbu (pandangan mata hati secara batin). Kasyaf merupakan perkataan Arab dan melibatkan ahli sufi manakala ain juga merupakan perkataan Arab yang bermaksud mata. Setelah aku membaca novel ini, aku memahami Kasyaf Ain sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati secara batin dan pandangan mata secara zahir.

Kisah Kasyaf Ain bermula dari Kampung Lembah Beringin pada tahun 1830 apabila Mansur (imam Kampung Lembah Beringin) dan keluarganya diusir dari kampung tersebut setelah Liau Guantua yang merupakan seorang dukun telah menggunakan ilmu hitam bersubahat dengan Suaka (jembalang) untuk berkuasa dan menjadikan penghulu kampung tersebut sebagai boneka; Suaka telah membunuh penduduk kampung dengan cara merobek dada dan mengeluarkan jantung mereka. Mengapa jantung? Pada pendapat aku, organ jantung secara zahir diperlukan untuk menyingkapi kasyaf.  

Pada tahun 1848, Kampung Buana Senandung yang diketuai oleh Jais telah dilanda musibah apabila para marganya telah dibunuh dengan cara yang sama seperti penduduk Kampung Lembah Beringin kira-kira 18 tahun yang lalu.  Dalam bahagian ini, aku tertipu kerana aku menyangka Kampung Buana Senandung merupakan perkampungan yang didiami oleh manusia. Aku menyedari Kampung Buana Senandung didiami oleh golongan jembalang setelah aku mula membaca bab 28. Pembunuhan marga Kampung Buana Senandung telah dilakukan oleh Adi anak lelaki Mansur. Kesilapan Adi membiarkan Cindai anak Jais hidup telah mengundang malapetaka sehingga ke zaman ini dek kerana dendam Cindai kepada keturunan Adi. 

Sebelum meninggal dunia, Adi telah menulis buku bertajuk Cindai dan melakarkan wajah Cindai sebagai rujukan anak cucu keturunannya. Bahagian ini seperti wujud pengaruh dari drama bersiri Supernatural yang pernah ditayangkan dalam TV suatu masa dulu namun disesuaikan dengan alam Melayu. Hal ini memandangkan Cindai spesies jembalang pontianak telah dipakukan di belakang tengkuknya boleh bertukar wajah menjadi manusia dan hidup dalam dunia manusia. Cindai berupaya melindungi drinya dari penyingkapan ain secara zahir.

Kedua-dua kisah di Kampung Lembah Beringin dan Kampung Buana Senandung dihubungkan sehingga ke zaman ini melalui watak-watak utama iaitu Syamel, Rosman, Anita dan Hanum Saskia. Syamel dan Rosman merupakan jurai dari keturunan Adi. Syamel mencintai Hanum Saskia namun setelah menyedari Hanum Saskia merupakan jembalang dan menyangka Hanum Saskia adalah Cindai maka Syamel telah membunuh Hanum Saskia. Watak Rosman dan Anita pula merupakan pegawai polis yang bertanggungjawab menyiasat pembunuhan Hanum Saskia dan pembunuhan bersiri yang berlaku di sekitar ibu negara. 

Walau bagaimanapun, setelah Hanum Saskia dibunuh, watak Anita yang merupakan pegawai polis telah menimbulkan persoalan kepada aku. Dalam halaman 393:
Tangisan Anita semakin mengesak rancak apabila kenangan memilukan itu menjengah ruang ingatannya di benak. Hanum Saskia telah mati di tangannya sendiri. Sekalian membangkitkan kebenciannya pada Rosman dan Syamel. Sedangkan dia gigih berusaha bertahan di sini dan nyaris terbakar mendengar ayatul Kursi dikumandangkan Syamel.
Anita menyeka air matanya. Sedari tadi dia membendung kepiluannya disebabkan tega membunuh Hanum Saskia. Anita menghela nafas panjang sambil bangkit dari katil secara beransur-ansur. Dia menapak ke meja solek. Menatap wajahnya yang indah meskipun baru sahaja diwarnai kemuraman yang membuatkan rautnya tergugah kelam.
"Mereka menyangka... Hanum Saskia adalah Cindai," bisik Anita.
Anita merenung seraut wajahnya lagi di cermin meja solek. Sejurus melirikkan seulas senyuman yang dipenuhi muslihat. Senyuman kejahatan yang berusaha disembunyikan daripada penglihatan semua orang selama ini. Sinar matanya berubah galak.
"Ya. Hanum Saskia bukan... Cindai."
Senyuman Anita terus melebar sungguhpun berduka dan berbelasungkawa atas kematian jajarannya di sini.

Siapakah Anita? Adakah Anita sebenarnya Cindai? Aku pasti Anita merupakan jembalang. Watak Anita berupaya melindungi dirinya dari penyingkapan kasyaf dan ain secara zahir. Novel Kasyaf Ain seperti akan ada sambungannya. Aku tunggu dan lihat :)


P/S: Sehingga hari ini, aku memiliki semua novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid kecuali Mitos.

12 ulasan:

  1. Wah...novel baru RAM. Wajib cari ni

    BalasPadam
  2. Saya tak dapat lagi novel Kasyaf Ain. Susah nak dpt naskhah ni di kedai buku

    BalasPadam
    Balasan
    1. Naskah Kasyaf Ain tak dijual di kedai buku, cuma ada dijual di page facebook RAMFC.

      Padam
  3. Salam admin..Kasyaf Ain..cerita lebih kurang sama dlm novel Antologi Mistik Jembalang terbitan Grup Buku Karangkraf(2015).mengunakan tajuk Tetamu Siang tulisan en.RAM juga.Cuma diolah sikit nama watak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'alaikum salam. Saya dah check. Betullah komen En. Wan tu :)

      Padam
    2. Bila saya baca kasyah ain ni... Seperti pernah saya membaca tulisan RAM sblm ni... Bila baca komen en.wan.... Iya... Persoalan minda saya terjawab...

      Padam
    3. Cuma beza di antara Kasyaf Ain dengan Tetamu Siang dari segi penghujung plot cerita. Plot akhir Tetamu Siang tamat tetapi tidak kepada Kasyaf Ain yang menunjukkan masih ada persoalan yang tidak terjawab dan perlu ada sambungan sehingga novel Kasyaf Ain benar-benar tamat.

      Padam
  4. harap2 kasyaf ain ada sambungan..baru je habis baca novel tu td..b'teka-teki sampai skrg..mungkinkah anita tu cindai? 😱😱😱😱😱 x sabar nk tggu sambungan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, sama-sama kita tunggu sambungan novel Kasyaf Ain :)

      Padam
    2. Kalau Anita Cindai..siapa pulak Hanum Saskia..mak Cindai(Jinah) dah mati...masih berteka teki...hanya RAM ada jawapan

      Padam