Selasa, 9 Mac 2021

Kuliah Online Pengajian Fekah: Kitab Matan Abi Syuja'







Penulis: Imam Abu Syuja' Ahmad bin Al-Hussain bin Ahmad Al-Asfahani
Tajuk: 24 Jam Dipayungi Syariat
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: PTS ISLAMIKA SDN.BHD.
Muka Surat: 260
Harga: RM30.00











Buku bertajuk 24 Jam Dipayungi Syariat merupakan terjemahan Kitab Matan Abi Syuja' (fekah Mazhab Syafie). Aku sudah lama beli buku ini dalam tahun 2014. Aku beli buku ini melalui laman web penerbit PTS dengan harga pre-order diskaun 20%. 

Setelah aku terima buku ini, aku terasa menyesal membeli buku ini sebab buku ini hanya ada butiran-butiran penting tanpa sebarang huraian. Aku terus simpan buku ini di dalam rak buku perpustakaan mini milik aku. Pada pandangan aku, buku tersebut perlu disyarahkan oleh seseorang yang berkelayakan; maksud perkataan matan dalam bahasa Arab jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah ringkasan teks untuk disyarahkan.

Dalam hidup ini tidak ada yang berlaku secara kebetulan maka dalam bulan November 2020, aku masuk kumpulan whatsapp Soal Jawab Fiqh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak @ Ustaz Bin Sahak. Beliau merupakan pegawai di Jabatan Mufti Negeri Perlis. Ada ahli kumpulan whatsapp tersebut mencadangkan agar ustaz mengadakan kuliah online pengajian fekah. Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak memilih Kitab Matan Abi Syuja'. Bagi sesiapa yang tidak menguasai bahasa Arab, disarankan menggunakan kitab yang sudah diterjemahkan bertajuk 24 Jam Dipayungi Syariat. 

Oleh itu, setelah tujuh tahun pada tahun 2021, aku mencari kembali buku tersebut. Aku terus terasa ada gunanya aku membeli buku ini. Sebagai manusia biasa, aku hanya dapat mengetahui hikmah sesuatu perkara setelah aku melalui perkara tersebut.

Matlamat aku mengikuti kuliah online ini adalah kerana aku masih mahu terus belajar menuntut ilmu sehingga ke liang lahad. Tambahan lagi pegangan aku dalam hal ini, tidak sepatutnya seseorang Muslim berhenti belajar ilmu agama apatah lagi jika seseorang Muslim itu tidak mempunyai latar belakang pengajian agama secara formal. Seperkara yang paling utama ialah selidiki terlebih dahulu latar belakang guru yang mengajar, jangan belajar daripada guru yang mengajar ajaran sesat.


Perjalanan Kuliah Online Pengajian Fekah Kitab Matan Abi Syuja'

Kuliah online ini diadakan pada hari Sabtu bermula pukul 9.30 malam menggunakan Google Meet sebagai medium pengajian; tanpa dikenakan sebarang yuran. Ustaz Mohamad Abdul Kadir akan mensyarahkan kitab ini ayat demi ayat dalam tempoh satu jam.

Sehingga entri ini ditulis, kuliah ini telah berjalan selama empat minggu dan masih mensyarahkan bab satu tajuk bersuci (Kitabun Taharah); kitabun merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud himpun dan gabung manakala taharah bermaksud bersuci. Ada tambahan ilmu yang aku pelajari berkenaan perihal bersuci walaupun perkara berkaitan dengan bersuci ini sudah dipelajari semasa tingkatan satu sekolah menengah dalam subjek agama Islam. Namun, ilmu berkenaan perihal bersuci semasa sekolah menengah diajar menurut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan sesuai dengan tahap pelajar tingkatan satu. Aku mula belajar sekolah menengah pada akhir 1980-an dan masih menggunakan Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM). 

Oleh itu, aku menghadiri kuliah online pengajian fekah ini sebagai pelajar dewasa di mana pengajian yang ada diadakan adalah lebih mendalam membincangkan pelbagai pendapat ulama yang turut meliputi pelbagai mazhab sesuai dengan tahap orang awam.


Alhamdulillah Aku Belajar Sesuatu Yang Baru

Aku hendak kongsikan satu perkara baru yang aku pelajari dari kuliah online ini ialah jenis-jenis air dan pembahagiannya. Dalam pengajian fekah, jenis-jenis air dibahagikan kepada tujuh kategori di mana pembahagian ini jika diterjemahkan merujuk kepada air hujan, air laut, air sungai, air telaga, air mata air, air salji dan air embun. Para ulama membahagikan air kepada tujuh jenis yang merangkumi air dari langit dan air dari bumi. Jenis-jenis air dan pembahagiannya jika merujuk kepada terjemahannya adalah sama seperti yang telah dipelajari semasa aku berada di sekolah menengah tingkatan satu. 

Namun begitu, ada satu kesilapan terjemahan sama ada di dalam buku 24 Jam Dipayungi Syariat atau dalam sukatan mata pelajaran agama Islam Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM); aku tidak pasti sukatan mata pelajaran agama Islam yang menggunakan kurikulum baru dan terkini.  


Kesilapan tersebut ialah pada terjemahan maa ul barad yang merujuk kepada air embun. Terjemahan yang tepat untuk maa ul barad ialah air ketul batu (ais) yang turun dari langit. Hal ini adalah kerana di negara-negara Arab memang berlaku hujan air ketul batu (ais). 
Oleh itu, adalah tidak tepat menterjemahkan 
maa ul barad kepada air embun. Jika difikirkan secara logik, persoalan yang timbul ialah bagaimana hendak menadah dan menghimpunkan air embun yang turun pada waktu malam sehingga boleh digunakan untuk bersuci?



P/S: Aku harap buku ini dapat disyarahkan sehingga habis. Aku simpati dengan beberapa orang ahli group whatsapp dan telegram yang membeli buku ini semata-mata untuk mengikuti kuliah ini secara online. Sekiranya buku ini tidak bersifat matan dan tidak disyarahkan sehingga habis, mereka masih boleh membaca dan menela'ah buku itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Komen