Isnin, 7 Februari 2011

Perkahwinan #2

"Antara tanda kekuasaan dan rahmat Allah ialah Dia menciptakan kamu isteri yang sesuai dengan diri kamu. Dia menyenangkan hatimu dan kamu juga dapat bermesra dengannya. Maka, wujudkanlah perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama kamu kerana hanya orang yang berfikir dapat memahaminya" (Surah ar-Rum: 211).
"Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah yang menciptakan kamu. Pada diri kamu, Dia ciptakan pasangan. Dari kamu yang berpasangan, dikembangkan menjadi keturunan. Bertakwalah kepada-Nya yang dengan nama-Nya kamu saling meminta; lalu terpeliharalah ikatan keluarga. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasimu" (Surah an-Nisa':1)
Entri aku kali mengenai perkahwinan di dalam Islam. Apabila perbincangan berkaitan dengan Islam, maka gaya penulisan aku turut berubah ala berkhutbah.  Islam amat mementingkan perkahwinan malah berkahwin itu merupakan satu ibadah. Sabda Rasulullah s.a.w. "Perkahwinan adalah sunnahku. Sesiapa yang tidak suka mengikuti sunnahku, maka dia bukanlah umatku" (Riwayat Ibn Majah). Walau bagaimanapun, Islam menggariskan hukum berkahwin kepada umatnya untuk memelihara tatanan kehidupan manusia.
  • Harus: Hukum asal perkahwinan yang telah ditetapkan oleh agama Islam.
  • Sunat: Bagi mereka yang berkemampuan dan berkeinginan untuk berkahwin.
  • Wajib: Bagi seorang yang berkemampuan dan bimbang dirinya dari terjerumus ke lembah maksiat seperti perbuatan zina.
  • Makruh: Bagi mereka yang tidak berminat untuk berkahwin serta bimbang sekiranya perkahwinan boleh menjejaskan kualiti ibadahnya kepada Allah.
  • Haram: Sekiranya dijangka berlaku kezaliman terhadap isterinya atau memudaratkan dirinya kerana ketidakmampuannya dari segi tanggungjawab zahir atau batin.

Oleh itu, sekiranya masyarakat memahami dengan jelas hukum berkahwin di dalam Islam maka tidak akan timbul pandangan serong terhadap individu muslim yang lambat atau tidak berkahwin. Bersangka baik mungkin individu tersebut mempunyai sebab yang tersendiri. 
 
Berkenaan hubungan di antara rezeki dan perkahwinan, Allah s.w.t. berfirman “Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32). Selain itu, Ibnu Mas’ud pernah berkata,“carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan.” 

Di samping itu juga, Allah menjamin rezeki setiap anak dan semua hamba-hambanya. Allah berfirman di dalam al-Quran, "Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu...". (Al-Isrâ': 31). Selain itu, Allah telah berfirman di dalam al-Quran maksudnya, "... Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka..." (Al-An'âm: 151).

Walau bagaimanapun, firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 32 tidaklah merujuk seolah-olah perkahwinan itu berupaya memberikan kekayaan harta kerana realitinya ramai juga yang berkahwin tetapi tidak menjadi kaya-raya malah ada yang mati di dalam kemiskinan. Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa” (al-Bukhari 6446). Di bawah ini, aku perturunkan petikan dari blog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil entrinya yang bertajuk Nikah, Nafkah, Mukjizat dan Karamah! iaitu:

"Justeru, janji Allah untuk membantu memberikan kekayaan kepada orang yang bernikah itu mesti dilihat daripada dua sudut. Sudut pertama, kekayaan yang dikurniakan itu berupa kekayaan jiwa dalam bentuk sifat Qana’ah. Al-Samarqandi pernah menyebut berkenaan ayat 32 Surah An-Nur itu bahawa, “kekayaan mempunyai dua keadaan. Pertama, kekayaan harta dan itu adalah selemah-lemah makna kekayaan. Kedua adalah sifat Qana’ah dan itu adalah sekuat-kuat makna Qana’ah”. Malah al-Qurtubhi juga pernah memberikan ulasan bahawa yang dikatakan nikah itu mengurniakan kekayaan kepada si miskin ialah kerana si miskin itu dianugerahkan pilihan yang HALAL iaitu NIKAH berbanding ZINA. Oleh yang demikian, untuk mengambil Surah al-Nur ayat 32 itu sebagai jawapan simplistik bahawa kemiskinan boleh dirawat dengan nikah, seorang anak muda yang datang melenggang dengan hajat meminang, mestilah mempunyai jawapan yang jelas tentang ASBAB berupa IKHTIAR dirinya untuk mengambil alih tugas bapa yang memberi nafkah kepada perempuan yang mahu dipinangnya itu".
RAWATAN KEMISKINAN
“Mengapa kamu belum bernikah?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Aku fakir” jawab pemuda itu.
“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda menyoal lagi.
“Aku fakir” pemuda itu memberikan jawapan yang sama.
“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda mengulang soalan yang sama buat kali yang ketiga.
Pemuda itu tidak berani mengulang jawapan yang sama.
“Ya Rasulallah. Aku memang mahu bernikah. Carikanlah buatku seorang isteri!” jawab anak muda itu.
“Kamu pergilah ke sebuah kampung di sana. Nyatakan kepada orang kampung itu bahawa Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu denganmu” arah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.
Pemuda itu pergi ke kampung tersebut, menyatakan mesej yang dibawanya kepada penduduk di situ. Dia kemudiannya kembali kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebuah persoalan.
“Aku tidak punya apa-apa untuk dijadikan mas kahwin” adu beliau.
“Carilah sebentuk cincin besi!” Baginda mengajar.
Sungguh unik. Seorang anak muda yang miskin, diperintahkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam supaya bernikah. Tidakkah nikah itu memerlukan perbelanjaan? Bukankah selepas nikah, lelaki fakir itu memikul tanggungjawab memberi nafkah. Apa yang mahu disumbat ke mulut isteri?
TELADAN
Kisah pemuda itu tidak harus dipandang mudah pada sekadar bermaksud gesaan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam agar bernikah.
Bagaimana Baginda berulang kali bertanya soalan yang sama mengapa beliau belum berkahwin? Jawapan yang diberi adalah kemiskinan. Tidak berkahwin dan miskin bukanlah masalah paling utama dalam situasi anak muda tersebut. Sebaliknya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu menolak anak muda itu KELUAR DARI ZON SELESA beliau agar pertama, usahakan mencari calon dan kedua, usahakan mas kahwin walaupun sekadar sebentuk cincin besi
Kata kuncinya, BERUSAHA.
Lelaki itu kelihatannya selesa dengan keadaan dirinya yang miskin. Benar sekali dalam hidup ini, ada yang lebih susah daripada susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada manusia yang lebih rela untuk terus hidup susah berbanding membuat perubahan. Di dalam kes anak muda ini, NIKAH menjadi DORONGAN untuk memaksa pemuda itu membuat perubahan. Usaha cari calon. Usaha dapatkan cincin besi. Pokoknya, kamu kena bangkit berusaha.
Demikianlah perkahwinan mampu mengubah ‘nasib’ seseorang. Jika semasa bujang dia boleh membiarkan dirinya miskin melarat, bekerja bila mahu dan berhenti kerja sesuka hati, pilihan itu tidak ada bagi seorang yang bernikah dan sedar akan tanggungjawabnya. Ada mulut yang mahu disuap, justeru dia tidak sewenang-wenang membuat keputusan mudah bekerja atau menganggur, sabar dengan karenah di tempat kerja atau berhenti.
Begitulah nikah mencetus perubahan diri. ... Sekali lagi, memahami nas secara kaku menjadi sumbatan minda yang membelenggu!
Oleh itu, isu perkahwinan di dalam Islam perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. yang meliputi hikmah dan hukum. Perkahwinan itu adalah nikmat namun setiap nikmat yang diberikan oleh Allah kepada manusia menuntut pertanggungjawaban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan