Sumber: Uncle Google |
Entri aku kali ini berkenaan dengan alam sekitar. Apabila anda melihat gambar di atas, perkara yang menjadi isu di dalam fikiran kita ialah mengitar semula sampah untuk menjaga kepentingan alam sekitar. Setiap isi rumah merupakan pengguna output di dalam sesebuah aliran kitaran pasaran dan menghasilkan sisa pepejal yang dikenali sebagai sampah. Menurut Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), jumlah sisa pepejal yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada 2005. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat kepada 30,000 tan sehari pada tahun 2020. Secara puratanya, pada masa ini seorang warga Malaysia menjanakan sebanyak 0.8 kilogram sisa pepejal sehari. (Sumber: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan 2008). Kadar komposisi penghasilan sisa pepejal adalah berbeza di antara kawasan kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti sosio-ekonomi dan gaya hidup. Secara puratanya komposisi sisa pepejal isi rumah di Malaysia adalah seperti berikut:
Sumber: Rancangan Malaysia Kesembilan |
Kini, kerajaan Malaysia sedang berusaha mendidik masyarakat untuk memelihara alam sekitar melalui program kitar semula sisa pepejal di samping mengurangkan penggunaan output yang berupaya membebankan alam sekitar seperti beg plastik yang mengambil tempoh untuk proses penguraian secara semula jadi selama 400 tahun. Walau bagaimanapun, masyarakat Malaysia terbahagi kepada tiga kelas iaitu golongan elit, pertengahan dan bawahan. Kebiasaannya, golongan bawahan mudah menerima saranan kerajaan di dalam program kitar semula kerana mereka menilai sampah sebagai wang. Mereka mengumpul dan mengasingkan sampah menurut kategori yang telah ditentukan iaitu plastik, kertas, kaca dan logam.
Kesedaran golongan elit dan pertengahan di dalam isu ini amat dipengaruhi oleh proses pendidikan kerana mereka tidak memandang sumber pendapatan yang boleh diperolehi melalui sampah sebagai penting; jika diusahakan oleh sesebuah isi rumah yang tidak terlibat di dalam perniagaan sisa pepejal secara besar-besaran maka pendapatan yang diperolehi hanya dalam lingkungan 0.1%-1% setiap kali jualan sisa pepejal dilakukan namun bergantung kepada bilangan isi rumah, sosio-ekonomi dan gaya hidup. Contohnya, di Bangi, satu kilogram kertas berharga 15 sen dan satu kilogram plastik berharga 90 sen. Walau bagaimanapun, harga pasaran sisa pepejal turut bergantung kepada kedudukan ekonomi negara. Jika ekonomi negara merudum maka harga pasaran sisa pepejal turut menjunam. Selain itu, kedua-dua golongan ini turut memiliki sindrom bahawa perkara mengumpul dan menjual sampah hanya sesuai dilakukan oleh golongan bawahan. Pengalamanku menyatakan demikian walaupun tidak semua golongan elit dan pertengahan berfikiran begitu. Aku merupakan golongan pertengahan yang terkecuali dari pandangan tersebut.
Aku turut menyahut saranan kerajaan untuk mengitar semula sisa pepejal yang aku hasilkan sendiri. Aku mengumpul surat khabar, kertas-kertas yang tidak digunakan, barang-barang plastik (setelah dicuci bersih) dan kemudian aku menjual di pusat pengumpulan kitar semula sampah. Hasil jualan yang aku perolehi 1% dari keseluruhan jumlah pendapatan bulanan setelah aku mengumpul sisa pepejal selama enam bulan; sekurang-kurang aku memperolehi sedikit wang berbanding aku membuang sisa pepejal begitu sahaja tanpa memperolehi apa-apa walaupun satu sen. Aku juga berhasrat ingin menyumbang kepada pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar. Namun begitu, tindakan aku mengumpul dan menjual sisa pepejal dipandang rendah oleh seorang teman lama yang terpelajar (aku mengkategorikannya di dalam golongan pertengahan) yang datang melawat aku di asrama KAIZ, UKM. Kata teman lamaku apabila melihat longgokan sisa pepejal yang kukumpul rapi "Apa ni? Sampah?".
Oleh itu, pendidikan merupakan medium yang perlu digunakan dengan maksimum untuk mendokong program ekonomi yang bersifat hijau. Semoga kita semua menjadi sebahagian dari warga dunia yang bersama-sama menyahut seruan 'Save Our Earth' seperti yang terkandung di dalam al-Quran:
“Janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan” (Al-Qasas: 77).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan