Aku sudah berusia pertengahan 30-an selalu disergah dengan soalan cepu emas, "bila nak kahwin?". Biasanya apabila aku rasa malas hendak menjawab maka aku mengambil tindakan untuk mendiamkan diri. Aku hairan dengan sikap masyarakat yang memandang seolah-olah golongan yang lambat atau tidak berkahwin itu merupakan satu dosa besar. Mungkin menjadi dosa besar kepada masyarakat dan negara kerana insan yang tidak atau lambat berkahwin menyebabkan kadar kelahiran dan pertumbuhan penduduk menurun.
Hidup zaman sekarang ini berlandaskan material. Kenyataan yang klise, sebuah perkahwinan tidak hanya memadai dibajai dengan cinta dan kasih sayang tetapi perlu juga dibumbu dengan material untuk melengkapkan sebuah kehidupan. Namun begitu, kenyataan tersebut diiringi dengan ungkapan apolegetic bahawa material itu penting tetapi bukan perkara yang paling utama. Aku yang tergolong dalam kalangan generasi X turut menerima klise dan apolegetic tersebut sebagai sebahagian dari proses pemodenan di dalam masyarakat dan negara. Malah, pemodenan tersebut turut dikaitkan dengan sebahagian dari elemen pembaratan. Oleh itu, aku ingin mengetengahkan isu ini menurut perspektif Barat kerana kini masyarakat Timur (terutama yang beragama Islam) tanpa disedari sedang menyerap sebahagian dari gaya hidup (ideologi dan pemikiran) Barat. Aku perturunkan di sini kenyataan Prof Morrie (dalam Mitch Albom 2011:130-131):
"... Memiliki harta benda memang baik. Duit yang banyak juga baik. Hartanah banyak juga baik. Perniagaan itu baik. Lebih banyak itu baik. Lebih banyak itu baik. Kita berulang kali menyebutnya dan didengarkan kepada kita berkali-kali. Berulang-ulang sehingga tiada siapa pun ambil peduli memikirkan sesuatu yang bertentangan dengannya. Golongan pertengahan yang telah dikaburi dengan stigma ini akan hilang pertimbangan dalam menentukan apa yang lebih penting dalam kehidupan mereka."
"Saya menemui ramai orang yang mempunyai tabiat gopoh dengan sesuatu yang baru. Gopoh membeli kereta baru. Gopoh membeli hartanah baru. Gopoh membeli mainan baru. Kemudian mereka akan bertanya kepada kamu, 'Cuba teka apa yang saya ada? Cuba teka apa yang saya ada?' "
"Kamu tahu apa yang saya tafsirkan orang seperti itu? Mereka adalah orang yang kehausan kasih sayang dan mereka menerima benda-benda yang dibeli secara gopoh itu sebagai pengganti. Mereka memuja perkara-perkara kebendaan dan mengharapkan sesuatu balasan hasil dari pemujaan itu. Semua usaha mereka itu tidak berkesan. Kamu tidak dapat menggantikan benda dengan kasih sayang, kelembutan, kemesraan ataupun rasa persahabatan".
"Duit bukan pengganti kasih sayang, begitu juga dengan kuasa".Aku kemukakan petikan di atas untuk menjelaskan hubungan di antara wang dan hubungan perkahwinan yang perlu dibajai dengan kasih sayang. Adakah insan seperti aku dan golongan yang sama seperti aku sebenarnya tanpa disedari telah meletakkan material itu sebagai pengganti kasih sayang (membina perkahwinan) di dalam kehidupan? Mungkin aku dan golongan yang sewaktu dengannya perlu mempermudahkan cara untuk berfikir bahawa perkahwinan itu sesuatu yang mudah dalam erti kata lain "jangan memilih, terima saja seadanya". Walaupun biasanya orang berkata "jangan memilih", realitinya hidup ini dihidangkan dengan pilihan. Dalam hal ini, Mitch Albom (2011:154) menyatakan pandangannya iaitu:
"Perkahwinan. Hampir semua orang yang aku kenali menghadapi masalah dengannya. Ada yang bermasalah hendak masuk ke dalam dunia ini, dan ada yang bermasalah apabila mahu keluar daripadanya. Generasi aku seperti bergelut dengan komitmen, seolah-olah ia seperti buaya ganas dari paya lumpur".Terdapat pelbagai pandangan di dalam masyarakat yang bersifat apolegitic dan berupaya dikaitkan dengan kepentingan material. Di antaranya, keperluan untuk bekerja agar keluarga (ibu bapa & adik-beradik) dapat menikmati hasil pendapatan yang diperolehi sebagai balasan atas segala pengorbanan keluarga. Selain itu, memenuhi keperluan diri sendiri untuk mengumpul harta kekayaan seperti kereta, rumah dan hartanah. Persoalan sukar untuk memberi komitmen terhadap rumahtangga dalam kehidupan yang mementingkan kerjaya. Isu mencari pasangan yang mempunyai kerjaya dan pendapatan yang stabil sama ada dalam kalangan wanita atau lelaki. Kos perkahwinan yang semakin tinggi; bersusah-payah mengumpul wang tidak dapat dibayangkan apabila berpuluh-puluh ribu boleh dihabiskan dalam masa sehari, tidak menghairankan jika ada bakal pengantin yang terpaksa berhutang. Kos mendidik dan membesarkan anak-anak yang semakin tinggi ekoran perkembangan kehidupan yang semakin kompleks. Namun begitu, aku ingin perturunkan di sini pandangan ortodox Prof. Morrie untuk renungan kita bersama:
"... Saya rasa perkahwinan adalah penting yang perlu dilalui, dan kamu dalam kerugian sekiranya tidak mencubanya".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan