Entri perkahwinan di dalam blog aku ini telah masuk siri ketiga. Pada kali ini, aku hendak menceritakan pengalaman peribadi dan pandanganku mengenai isu poligami. Kebiasaannya, isu ini racun kepada para wanita tetapi madu kepada kaum lelaki. Ironinya, hubungan di antara isteri-isteri yang berbagi suami digelar sebagai madu.
“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” (An-Nisa : 3).
Ayat al-Quran di atas jelas Islam mengharuskan poligami di dalam perkahwinan Islam namun ayat tersebut lebih bersifat ancaman berbanding galakan kepada lelaki untuk berpoligami. Aku tidak menentang apa yang telah disyariatkan di dalam Islam. Setiap perkara yang telah ditentukan hukumnya di dalam Islam pasti ada hikmahnya. Namun begitu, isu poligami ini luas malah yang diutamakan ialah persoalan keadilan di antara isteri-isteri yang telah dinikahi oleh seorang lelaki yang bergelar suami.
Pengalaman peribadiku ini hanya mempunyai sedikit hubung-kait dengan isu poligami. Pada Disember 2005, aku mengambil keputusan untuk membeli sebuah kereta untuk memudahkan aku bergerak terutama atas urusan pengajianku. Terlebih dahulu, aku membuat survey mengenai harga dan model kereta. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk membeli sebuah Kancil model EX850 (walaupun pada peringkat awal aku bercadang untuk membeli model EX660) - kereta manual: harganya lebih murah dan untuk menjimatkan bahan bakar memandangkan harga minyak petrol pasaran Malaysia sentiasa meningkat walaupun Menteri Perdana Malaysia Ke-5 pernah menurunkan harga minyak petrol setelah menaikkan harga sehingga mencecah RM2.70 seliter. Harga minyak petrol paling mahal di dalam sejarah Malaysia.
Aku berurusan dengan cawangan syarikat Perodua di Putrajaya memandangkan salesman menurunkan harga kereta Kancil model EX850 sebanyak RM1,000 sempena promosi hujung tahun. Survey yang aku lakukan menunjukkan harga yang ditawarkan oleh cawangan syarikat Perodua di Putrajaya merupakan harga yang paling rendah. Aku berurusan dengan salesman yang aku namakan sebagai Mr. MZ. Dalam tempoh urusan jual-beli, Mr. MZ sangat menjaga etikanya sebagai salesman - sopan, mesra yang berpada-pada dan caring.
Setelah selesai urusan jual-beli termasuk urusan permohonan pinjaman bank, aku menghubungi Mr. MZ hanya untuk bertanya beberapa perkara yang aku tidak faham tanpa menyimpan sebarang niat yang lain. Dia berusaha untuk memasukkan jarum kerana aku perempuan bujang yang belum pernah berkahwin dengan cara menefon bertanyakan khabar dan mesej SMS. Bahasa SMSnya tinggi bermadah tetapi isinya kosong. Dia berterus-terang mengatakan apabila 'melihat aku, tiba-tiba hatinya terdetik'. Mr. MZ bijak menjual 'minyak', tetapi aku bukan bodoh dan rasa terdesak hendak berlaki.
Aku hanya mendengar apa sahaja yang diceritakannya (dalam hatiku, pastinya aku menilai dirinya). Dia bersungguh-sungguh agar aku mengetahui latar belakang dirinya tetapi dia tidak bersungguh-sungguh hendak mengetahui hal-ehwal diriku. Pengalamannya berumah-tangga - telah berkahwin dua kali, perkahwinan pertama dia bercerai dengan isterinya dan perkahwinan kedua dia kekal bersama isterinya (mudah-mudahan kekal sehingga ke akhir hayat). Pengalamannya bercinta - pernah bercinta beberapa kali walaupun dia telah berumahtangga. Satu persoalan yang dia timbulkan kepadaku ialah "Kenapa perempuan tak suka ramai emak?" - maksudnya poligami. Selain itu, dia dengan tulus ikhlas (kedengaran seperti sangat ikhlas) berkata kepadaku, "Saya tidak ada apa-apa harta. Awak tanyalah semua lelaki, mereka semua akan jawab mereka ada cita-cita untuk menikahi lebih dari seorang wanita dalam seumur hidup."
Aku tidak pernah menghubunginya melainkan dia sahaja yang menelefon dan mesej SMS aku. Katanya kepadaku, "Kita ni bukan kawan biasa-biasa saja". Aku hanya menasihatinya, "Jika berlaku sesuatu kepada seseorang perempuan ketika dia keluar dengan lelaki yang bukan mahramnya maka perempuan itulah yang patut dipersalahkan. Awak ada ramai anak perempuan, sepatutnya awak lebih faham". Katanya, "Saya faham" tetapi masih tidak berputus asa. Aku hanya menasihatinya lagi, "Awak baliklah rumah, tolong isteri jaga anak, itukan lebih baik".
Nasihatku itu kerana aku tahu dia tidak serius denganku, hanya menjadikan aku sebagai pengisi masa senggangnya. Selain itu, aku tahu 'madu' itu adalah 'racun' kepada kaum wanita yang bergelar isteri. Jika hendak menukarkan 'racun-madu' kepada 'madu-penawar', ia menuntut mujahadah yang tinggi dalam kalangan para isteri. Kepada lelaki yang bergelar suami, firman Allah di bawah ini menjadi peringatan dan renungan yang sangat berguna:
“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isterimu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian…” (An-Nisa:129)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan