"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya" (Al-Baqarah:172).
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Baqarah:173).
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki" (Al-Maidah:1).
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."
"Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Maidah:3).
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu) dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya" (Al-Maidah:4).
"Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)" (Al-Maidah:5).
Ayat-ayat al-Quran di atas menjelaskan persoalan penentuan hukum dan tatacara dalam persoalan memilih makanan khusus bagi golongan yang beragama Islam. Pemilihan makanan tidak hanya merujuk kepada status halal tetapi juga dari aspek keselamatan; pengambilan makanan yang selamat dan halal berupaya menjamin kesihatan pengguna. Keselamatan makanan turut meliputi aspek kesucian (taharah) yang digariskan oleh syariat Islam. Persoalan makanan halal ini merupakan isu yang bersifat sejagat yang dihadapi oleh seluruh umat Islam. Kerajaan berusaha menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluaran makanan halal antarabangsa untuk memenuhi keperluan umat Islam di seluruh dunia. Sehubungan itu, kerajaan menjadikan pengeluaran makanan halal sebagai sumber pertumbuhan baru untuk memajukan sektor pertanian dengan cara memajukan industri hiliran. Perusahaan kecil dan sederhana merupakan di antara pemangkin yang berperanan untuk membangunkan industri hiliran. Kini, ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia menceburi perusahaan kecil dan sederhana untuk memajukan industri makanan halal. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kerana secara tidak langsung ia berupaya mengatasi isu syubhah dalam 'makanan halal' yang dihasilkan oleh pengeluar bukan Islam walaupun mereka memiliki sjiil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Isu syubhah ini turut melibatkan penggunaan bahan kimia yang berfungsi sebagai penstabil dan perisa di dalam pembuatan makanan yang berupaya menjejaskan kesihatan pengguna."Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik" (Al-An'am:121).
Walau bagaimanapun, isu utama yang hendak aku kemukakan di sini ialah harga barang makanan halal yang dikeluarkan oleh pengeluar perusahaan kecil dan sederhana amat mahal. Contohnya, berdasarkan tinjauan aku di gerai makanan sempena MAFEK di mana harga satu paket maruku seberat 90 gram ialah RM4. Tawaran yang diberikan kepada pelanggan ialah 'beli tiga bungkus harga RM10'. Produk maruku tersebut dikeluarkan oleh syarikat Melayu-Islam bumiputera yang berpangkalan di Pulau Pinang. Namun begitu, seperkara yang menarik ialah produk maruku dikeluarkan dalam pelbagai perisa iaitu ikan, sotong dan udang walaupun aku hampir tidak dapat membezakan rasa di antara ketiga-tiga maruku tersebut kerana sumber perisa yang dimasukkan (ikan, sotong atau udang) amat sedikit.
Harga produk makanan halal yang dikeluarkan oleh perusahaan kecil dan sederhana amat mahal kerana skala ekonomi bidangan yang kecil malah terdapat sesetengah produk yang dikeluarkan secara home made seperti coklat. Hal ini adalah kerana skala pengurusan yang kecil menyebabkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pengusaha adalah tinggi. Jika dibandingkan harga maruku tersebut dengan produk-produk makanan ringan yang lain seperti sebungkus keropok Mister Potato (75 gram) hanya berharga RM1.70 (harga semasa). Syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan keropok Mister Potato menggunakan skala ekonomi bidangan yang besar. Dalam menganalisis kos sesuatu produk, kos yang ditanggung oleh pengeluar terbahagi kepada dua iaitu kos tetap dan kos semasa. Pengusaha yang menjalankan operasi berskala besar, kos tetap dibahagikan kepada produk yang dihasilkan dalam kuantiti yang besar menyebabkan kos per unit adalah lebih rendah. Penurunan kos membawa kepada peningkatan keuntungan.
Produk makanan halal yang dikeluarkan oleh pengeluar Islam melalui perusahaan kecil sederhana lebih baik berbanding perusahaan berskala besar. Hal ini adalah kerana nilai tambah perusahaan kecil dan sederhana yang diusahakan oleh pengusaha Islam kurang menggunakan penstabil dan perisa tambahan yang boleh menjejaskan kesihatan jika dibandingkan dengan perusahaan berskala besar yang dimiliki oleh pengusaha bukan Islam walaupun mereka memiliki sijil halal; pengusaha Islam yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana di dalam pengeluaran makanan sedaya-upaya memenuhi standard makanana halal yang ditetapkan di dalam Islam.
Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk memajukan industri makanan halal oleh pengeluar Islam, isu harga produk memainkan peranan yang penting. Dalam hal ini, perusahaan kecil dan sederhana perlu meluaskan pasaran agar perusahaan tersebut dapat ditingkatkan kepada perusahaan berskala besar. Dalam hal ini, kerajaan juga memainkan peranan penting melalui badan tertentu untuk menyediakan kursus dan latihan kepada para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana. Di samping itu juga, pihak bank turut memainkan peranan menyediakan pinjaman modal kepada para pengusaha yang berminat mengembangkan perniagaan mereka ke arah perusahaan berskala besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan