Jumaat, 25 Mac 2011

Facebook

Sekarang ini setiap orang mesti ada facebook untuk memudahkan perhubungan dan mengetahui perkembangan semasa kawan-kawan. Kawan-kawan yang sedia lama kenal di dunia realiti turut menjadi kawan di dalam facebook sebagai tanda sayang dan ingatan  yang mendalam sama ada kawan-kawan yang sukar atau mudah untuk dihubungi sama ada dari segi masa atau tempat (jarak). Atas faktor sayang dan ingatan yang mendalam juga aku rasa terlalu sedih apabila kawan-kawan facebook yang telah lama aku kenali di dunia realiti memutuskan persahabatan dengan aku di dalam  facebook. Selain itu, facebook menjadi medium untuk menjejak kasih kawan-kawan lama di samping menambah kenalan dan kawan-kawan baru. Walau bagaimanapun, facebook juga memiliki pelbagai fungsi seperti mencari pelanggan, kempen pilihan raya, menyebarkan info yang berguna dan lain-lain. 

Dalam laman sosial ini juga, pelbagai perkara boleh berlaku tambahan lagi komunikasi hanya melalui aksara, perkataan dan ayat yang kadang-kala boleh menimbulkan salah faham apatah lagi komunikasi tanpa paparan emosi. Komunikasi dua hala secara bersemuka jelas tertera emosi penutur pada wajah, bahasa badan, nada suara dan pemilihan perkataan yang digunakan oleh seseorang penutur. Bahasa yang kasar, ayat yang tidak sesuai, penggunaan tanda baca yang tidak tepat seperti tanda seruan yang digunakan untuk ayat yang jelas hanya menyatakan sesuatu perkara tanpa perlu menjerit boleh menimbulkan ketegangan emosi di antara pengguna facebook. Oleh itu, facebook juga boleh menimbulkan pergaduhan sehingga memutuskan persahabatan di dalam facebook malah boleh menjejaskan persahabatan di dunia realiti.

Selain itu, facebook juga berfungsi sebagai medium untuk memberitakan hal-hal yang terkini sama ada diri sendiri, anak, suami, ibu bapa atau apa-apa saja. Namun begitu, status terkini yang dinyatakan kepada kawan-kawan facebook bergantung kepada Jendela Diri Yang Tersembunyi yang terkandung di dalam Jendela Johari*  iaitu tahap keterbukaan diri sendiri untuk berkongsi sebahagian dari perkembangan terkini diri sendiri dan keluarga - sesuatu yang bersifat peribadi. Berkenaan diri aku sendiri, di dalam facebook aku tidak suka berkongsi sesuatu yang bersifat peribadi kecuali perkara yang tidak menimbulkan kontroversi - sesuatu yang terlalu biasa-biasa. Aku mempunyai ramai kawan-kawan facebook dari pelbagai latar belakang, mantan pengetua kolej, mantan guru aku, penyelia tesis PhD, rakan-rakan sejawat, kawan-kawan semasa belajar di sekolah dan universiti serta kenalan baru. Oleh itu, aku perlu menjaga hati semua kawan-kawan facebook aku. Hal ini menyebabkan status aku cuma biasa-biasa atau gitu-gitu saja sehingga kadang-kala aku tidak tahu hendak tulis apa. Aku tulis info tertentu sahaja apabila aku rasa sudah lama tidak kemas kini status aku. Secara tidak langsung, aku juga menuntut perkara yang sama daripada kawan-kawan facebook aku agar tidak komen perkara yang tidak sepatutnya di dinding facebook aku.

*Nota tapak kaki:
Jendela Johari ialah sebuah teori. Nama Johari ialah gabungan di antara dua orang pakar yang mencipta teori ini iaitu Joseph Luft dan Harry Ingham. Jendela melambangkan semua maklumat, sikap, perasaan, keinginan, dorongan dan idea-idea. Jendela ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Jendela Diri Yang Terbuka, Jendela Diri Yang Buta, Jendela Diri Yang Tersembunyi dan Jendela Diri Yang Tak DiketahuiApabila teori ini diaplikasi di dalam penggunaan face book, jendela yang  sesuai digunakan ialah Jendela Diri Yang Tersembunyi iaitu maklumat mengenai diri sendiri yang diketahui oleh tuan punya diri tetapi tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Namun begitu, di dalam face book Jendela Diri Yang Terbuka yang melibatkan maklumat diri yang diketahui oleh semua orang seperti bangsa, wajah, agama, hobi, pendidikan dan pandangan politik boleh juga diaplikasikan di dalam penggunaan facebook namun ia bergantung kepada individu. Contohnya, seperti wajah tidak semua orang sedia berkongsi sehingga meletakkan gambar sebenar sebagai sebahagian dari profil peribadi.            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan