Dwilogi Padang Bulan (2011) karya Andrea Hirata diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn. Bhd. merupakan kesinambungan dari siri terakhir Maryamah Karpov dalam himpunan tetralogi Laskar Pelangi. Dwilogi ini mengandungi dua novel iaitu Padang Bulan dan Cinta Di Dalam Gelas. Kedua-dua novel ini menghimpunkan pemerhatian langsung Andrea terhadap aspek sosiologi budaya masyarakat Melayu di Pulau Belitong. Walau bagaimanapun, novel ini mengangkat Enong atau Maryamah sebagai subjek utama yang menjadi perhatian Ikal (a.k.a Andrea) di dalam kedua-dua novel ini. Andrea mengangkat persoalan gender yang meletakkan wanita dalam kelas yang lebih rendah berbanding lelaki dalam hirarki masyarakat Melayu.
Setelah kematian bapanya Zamzami, Enong bertanggungjawab bekerja untuk menafkahi ibu dan adik-adiknya. Bermula dari saat ini, Enong telah memecahkan tradisi budaya Melayu Belitong yang berteraskan sistem patriarki - pekerjaan mendulang timah dan bermain catur didominasi oleh kaum lelaki, dalam kedua-dua hal ini, tidak ada tempat untuk wanita. Hukum syariat dalam agama turut menjadi alat untuk mengukuhkan tradisi dan budaya masyarakat yang berteraskan sistem patriarki. Pertandingan catur di pulau itu diadakan setiap tahun pada 17 Ogos untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia. Bagi Enong pula memasuki pertandingan catur adalah bertujuan untuk menegakkan kembali harga dirinya dengan cara mengalahkan lawannya yang telah menyebabkan berlaku pelbagai musibah dalam kehidupannya. Oleh itu, Enong berhasrat mengalahkan bekas suaminya (Matarom) yang handal bermain catur sebagai cara untuk membalas kelakuan buruk Matarom terhadap dirinya. Lelaki yang berada dalam lingkungan masyarakat yang berteraskan sistem patriarki merasa malu apabila mereka dikalahkan oleh wanita.
Watak Enong telah memberi aku inspirasi di mana Andrea mengetengahkan Enong sebagai wanita yang istimewa dan memiliki jiwa yang kuat berdasarkan kata-kata yang diucapkan oleh Enong iaitu:
"Kalau aku susah...," katanya dengan sorot mata yang lucu, "cukuplah kutangisi semalam. Semalam suntuk. Esoknya, aku tidak mahu lagi menangis. Aku bangun dan tegak kembali!" (halaman 41).
"Beri aku pelajaran yang paling sulit sekalipun, boi. Aku akan belajar." (halaman 101).
Andrea menggelarkan Enong sebagai guru kesedihan. Falsafah yang diketengahkan oleh Andrea mengenai kesedihan dan kekuatan semangat untuk belajar masing-masing berpandukan dua petikan di atas iaitu:
Maryamah adalah peribadi istimewa yang tidak punya tabiat mengasihani diri. Dia tidak pernah berhiba-hiba. Kupandang guru kesedihan itu. Hari ini aku belajar satu hal penting daripadanya bahawa jika tidak bersedih atas sebuah kehilangan menimbulkan perasaan bersalah, hal itulah adalah kesalahan baru, sebab kesedihan sepatutnya menjadi sebahagian daripada kebenaran.
Pertemuan dengan Maryamah hari ini meletupkan semangatku. Aku telah melihatnya belajar Bahasa Inggeris dengan susah payah, tanpa berasa ragu akan usia dan segala keterbatasan, dan dia berhasil. Sekarang, dia nekad menguasai catur, dengan tekad mengalahkan seorang juara seperti Matarom. Dia tidak dapat disurutkan oleh bimbang, tidak dapat dihalang oleh ketakutan. Daripadanya, aku mengambil falsafah bahawa belajar adalah sikap berani menentang semua ketidakmungkinan; bahawa ilmu yang tidak dikuasai akan menjelma dalam diri manusia menjadi sebuah ketakutan. Belajar dengan keras hanya dapat dilakukan oleh seseorang yang bukan penakut. (halaman 101).
salam..
BalasPadamsaya biasa dengar trilogi.. dwilogi ni first time dgr
Wa'salam.
PadamSesebuah buku, permainan dan filem yang mengandungi beberapa siri menggunakan istilah yang tersendiri di mana sebutan nombor yang digunakan adalah berasal dari Bahasa Latin yang diikuti dengan penambahan -logy dihujungnya.
1 - Unology (jarang digunakan dalam Bahasa Inggeris)
2 - Duology (Bahasa Melayu: dwilogi)
3 - Trilogy (Bahasa Melayu: trilogi)
4 - Tetralogy/Quadrilogy (Bahasa Melayu: tetralogi)
5 - Penttalogy
6 - Hexalogy
7 - Heptalogy/Septet
8 - Octalogy
9 - Ennilogy
10 - Decalogy
novel indon ke malaysia ni?? untung beli satu dpt 2 cerita...
BalasPadamantologi tu berapa??
Novel Dwilogi Pandang Bulan dari Indonesia yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Antologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kumpulan karya prosa (seperti cerpen) atau sajak/puisi atau kedua-duanya yang dihasilkan oleh berlainan pengarang, kumpulan karangan pilihan seseorang pengarang, bunga rampai; mengantologikan menghimpunkan atau menyusun sesuatu karya seperti cerpen untuk dijadikan sebagai antologi: karya-karya mereka telah pun diantologikan oleh penerbit untuk tatapan umum.
Padam