Isnin, 5 Mei 2014

Masa Depan Masa Kita!

Entri ini turut diberi label 'politik' walaupun ia adalah sinopsis buku yang merupakan himpunan tulisan Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai yang diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian. Aku menulis entri ini dari sudut pandangan academician.





Tajuk: Masa Depan Masa Kita!
Penulis: Nurul Izzah Anwar
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.









Aku masih ingat isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998 rentetan dari krisis kewangan yang melanda negara-negara di Asia Tenggara. UMNO lebih selesa mengaitkan pemecatannya dengan jenayah liwat seks di luar tabi'i berbanding kesalahan jenayah "liwat politik". Krisis Kewangan 1998 merupakan tajuk tesis aku yang dikemukakan untuk memenuhi sebahagian daripada syarat memperolehi ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999. Aku tidak lupa selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, peristiwa Nurul Izzah anak perempuan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu berusia 18 tahun berusaha menemui pemimpin utama negara-negara jiran Malaysia seperti Presiden Filipina, Joseph Ejercito Estrada untuk membantu ayahnya. Krisis kewangan yang akhirnya mencetuskan krisis politik. 

Buku ini suara anak muda yang membangkang Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional yang mengandungi fakta tetapi bernada sinis, berusaha mereformasikan politik dan ekonomi Malaysia. Namun, seperkara yang tidak wajar dinafikan ialah transformasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia adalah idea-idea yang diutarakan oleh pembangkang:
Transformasi yang dijanjikan Perdana Menteri malangnya bukan inisiatif yang baru, tetapi meniru daripada Buku Jingga seperti Dasar Gaji Minimum dan BR1M (muka surat 104).
Aku suka artikel dalam buku ini yang bertajuk "Pesanan Doktor: Mestikah Dipatuhi" yang diakhiri dengan pertanyaan 'Sekarang apa pula kata doktor yang ada di dalam rumah kaca?'; sindiran sinis buat Doctor in The House

Pelbagai kritikan terhadap ekonomi dan politik Malaysia yang berupaya membuka mata rakyat bahawa apa sebenarnya yang dilakukan oleh pemimpin yang telah diberikan mandat mewakili rakyat untuk memerintah Malaysia. Contohnya penjualan stesyen minyak Esso kepada syarikat arak San Miguel dari Filipina yang kini diberi nama Petron. Selain itu, isu jutawan ciptaan kerajaan melalui dasar-dasar kerajaan iaitu:
Dalam diam, berapa jumlah jutawan dicatat di Malaysia, yang kini mencecah 39,000 - antara yang tertinggi di Asia Tenggara sedangkan negara berhadapan dengan hutang beratus billion, bagaimana negara mencipta jutawan sedangkan berjuta-juta rakyat sengsara memikirkan setiap hari mencari sesuap nasi (muka surat 150).
Siapa menjangkakan rakyat Malaysia menangung kenaikan harga barang berpunca tindakan kerajaan? Hal ini dinyatakan dalam muka surat 76 iaitu:
..., bagaimana harga barang naik disebabkan keputusan parti pemerintah menarik balik subsidi minyak kepada industri pengangkutan yang merupakan penyebab utama kenaikan harga barang.
Politik Malaysia dalam rangka demokrasi memerlukan pembangkang yang berkualiti dan berperanan sebagai pemerhati serta pengimbang (check and balance) dalam setiap tindakan kerajaan; pembangkang yang mencetuskan pembaharuan dalam konteks protes itu patriotik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan