Jumaat, 27 Jun 2014

Adakah Habbatus Sauda' Penyembuhan Bagi Segala Penyakit?







Tajuk: Rahsia Perubatan Habbatus Sauda'
Pengarang: Doktor Hassan Syamsi Baasya
Tahun Terbit: 2012
Penerbit: Al-Hidayah Publications









Nama saintifik bagi habbatus sauda' ialah Nigella Sativa malah turut dikenali sebagai The Black Seed, Black Cumin, Jintan hitam dan Habbah Barakah. Buku ini mengetengahkan habbatus sauda' dari aspek perubatan memandangkan pengarang buku ini Hassan Syamsi Baasya merupakan doktor dalam bidang perubatan. 

Pengarang mengetengahkan khasiat perubatan yang terkandung dalam habbatus sauda' berdasarkan hadis yang bermaksud "Hendaklah kamu mengambil berat mengenai habbatus sauda' kerana sesungguhnya pada habbatus sauda' terdapat penyembuhan bagi setiap penyakit kecuali mati." Hadis ini bersifat umum tidak mengkhususkan kategori penyakit yang boleh dirawat menggunakan habbatus sauda'. Adakah habbatus sauda' penyembuhan bagi segala penyakit? Pengarang mengambil pelbagai pendapat para ulama iaitu:
Al-Khitabi berkata: "Sabda Rasulullah s.a.w. "... penyembuhan bagi segala penyakit ..." adalah lafaz yang bersifat am (umum) dan maksud yang dikehendakinya ialah berbentuk khusus justeru secara semulajadi sesuatu tumbuhan itu tidak mempunyai semua perkara yang sesuai dengan tabi'at semulajadi (manusia) dalam merawati penyakit." (halaman 114)
Abu Bakar bin Al-Arabi berkata: "Di kalangan para doktor, madu lebah lebih hampir untuk menjadi penyembuh bagi semua penyakit berbanding dengan habbatus sauda'. ... terdapat juga beberapa jenis penyakit sekiranya pesakit minum madu maka ia dimudharatkan oleh madu itu. Jika itulah yang dimaksudkan dengan madu sebagai penyembuh bagi segala penyakit, maka habbatus sauda' dalam kebanyakan hal untuk tidak menjadi penyembuh bagi segala penyakit." (halaman 114)
Doktor An-Nasimi memberi komentar terhadap hadis habbatus sauda' iaitu, "Sesungguhnya hadis mengenai habbatus sauda' tidak dilafazkan di dalam suatu khutbah umum dan tidak juga di dalam satu majlis ilmu di mana Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat-sahabatnya, justeru ilmu perubatan bukanlah satu noktah penting dalam risalah wahyu yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. tetapi ucapan baginda itu dilakukan bersesuaian dengan keadaan seorang pesakit. Maka lafaz (yang bermakna) "Hendaklah kamu ..." menunjukkan hadis itu ditujukan kepada si pesakit dan jenis penyakitnya. Semua ubat yang diberi petunjuk mengenainya oleh Rasulullah s.a.w. untuk setiap penyakit adalah bersesuaian dengan penyakit dan keadaan si pesakit tersebut melainkan maut. ... apabila ajal itu datang maka ia tidak akan dapat dielakkan, dipercepatkan atau dilambatkan. Tiada satu ubat pun dapat menghalang maut tersebut". (halaman 116-117)
Al-Fadhilah As-Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni berkata, "Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyatakan makna disebalik sabda baginda mengenai habbatus sauda' sebagai satu bentuk umum (iaitu habbatus sauda' dapat merawat semua penyakit) maka baginda tidak akan menentukan jenis ubat-ubat yang tertentu bagi orang yang datang bertanya kepadanya. Contohnya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. telah berkata "berikanlah dia madu untuk diminum" kepada lelaki yang bertanya mengenai sahabatnya yang sedang sakit perut. Dalam kisah yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada lelaki yang sedang mengalami demam panas yang bermaksud "Demam panas adalah bara api neraka, maka sejukkanlah ia dengan air" (hadis riwayat Al-Bukhari). Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud "Penyembuhan itu ada tiga perkara (iaitu) meminum madu, berbekam dan mencelur dengan api (hadis riwayat Al-Bukhari)." (halaman 117-118)
As-Syeikh Ali At-Thantawi dan Syeikh Ali As-Sabuni serta ulama-ulama selain daripada mereka berdua berkata, "Bahawasanya pengkhususan lafaz am (bermaksud khusus) terjadi dengan banyak dan ia adalah perkara biasa seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahqaf ayat 25 mengenai kebinasaan kaum 'ad yang bermaksud "... yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya ... ." Ayat 25 dalam surah Al-Ahqaf menjelaskan angin memusnahkan manusia dan rumah-rumah kediaman tetapi tidak memusnahkan gunung-ganang, sungai-sungai, matahari dan bulan; ayat ini adalah lafaz am yang bermaksud khusus." (halaman 118)
Oleh itu, Al-Khitabi menyatakan habbatus sauda' sesuai digunakan untuk merawat penyakit yang mengandungi ciri-ciri kesejukan. Walau bagaimanapun, buku ini menyenaraikan hasil penyelidikan ilmiah mengenai potensi habbatus sauda' untuk menyembuh penyakit-penyakit berikut: 
  1. Ghout 
  2. Asthma (asma)
  3. Selsema
  4. Tekanan darah tinggi
  5. Alahan (allergic) 
  6. Hempedu
  7. Thrombosis (pembetukan darah beku di dalam salur darah)
  8. Imuniti badan yang rendah
  9. Barah (cancer)
  10. Ceret-beret berpunca daripada e-coli, strep fecalis, bacillus subtilis dan lain-lain
  11. Kencing manis (diabetic)
  12. Rheumatisme
  13. Ibu yang mengalami masalah susu badan yang kurang

8 ulasan:

  1. habatus sauda mmg byk manfaatnya .

    BalasPadam
  2. May your blessings be too many to count... And your worries too few to matter... May your days be filled with Sunshine... And your nights in comfort.. May you never go hungry... And be able to share your bounty... May God bless and protect you... And strengthen your faith..

    SELAMAT RAMADHAN AL MUBARAK

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thank you. Insya-Allah, you will obtain all of what you pray for me. Amin.

      Padam
  3. memang banyak khasiatnya, apa-apa pun dengan izin Allah jua.salam ukhuwah :)

    BalasPadam
  4. perkongsian yg baik.. habatus sauda mmg terkenal dalam dunia islam disebabkan hadis nabi tersebut.. apa2 pun, x kira ubat konviensional ataupun ubat herba, yg menyembuhkan segala penyakit hanyalah Allah.. ubat hanyalah sebagai alat dan medium penyembuhan, yg x akan berkesan tanpa izinNya.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya setuju dengan kenyataan Pha Is. Namun, kesan sampingan ubat allopathy (konvensional) itulah yang tidak tertanggung malah menjerumuskan diri pesakit ke arah kebinasaan terutama bagi pesakit yang mengambil ubat dalam jangka panjang. Perkara ini menyebabkan terdapat pesakit yang beralih kepada perubatan alternatif. Bukankah kita diminta agar "... janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan" (Al-Baqarah 2: 195) ?

      Padam