Khamis, 26 Julai 2018

Novel/Filem Pulang







Penulis: Lily Haslina Nasir
Tajuk: Pulang
Tahun Terbit: Mei 2018
Penerbit: Penerbitan Karya Seni Sdn. Bhd.
Muka Surat: 512
Harga: RM25.00











Novel Pulang diolah dan diadaptasi dari filem Pulang. Sebelum aku menonton filem Pulang, aku sudah selesai membaca novel Pulang. Hal ini untuk mengelakkan aku menonton filem Pulang dalam keadaan kosong tanpa sebarang maklumat mengenai latar belakang filem ini. Aku menonton filem Pulang pada 26 Julai 2018 di Golden Screen Cinemas (GSC), Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah. Berdasarkan pemerhatian aku semasa menonton filem Pulang, aku melihat promosi filem ini dalam saluran TV milik Media Prima Berhad telah menarik warga emas untuk menonton filem Pulang bersama-sama dengan pasangan masing-masing. So sweet.

Khas untuk naskah Pulang, jika dibandingkan di antara membaca novel dan menonton filem, bagi aku lebih seronok membaca novel Pulang. Kelemahan novel ini ialah di penghujung kisah dalam bab 57 halaman 506. Ahmad bertanya kepada neneknya Che Thom, "Nek Thom tak pernah kahwin lagi ke?" Jawab Che Thom, "Ya, nenek terima lamaran Cikgu Hassan." Perbualan ini tidak menggambarkan dengan jelas situasi Che Thom adakah sehingga akhir hayatnya ia masih menunggu kepulangan Othman kerana pertanyaan Ahmad tersebut menggunakan ayat negatif yang mengandungi perkataan "tak" manakala jawapan Che Thom pula menggunakan ayat positif walhal dalam bab 47 halaman 436, Omar (anak Othman dan Che Tom) bertanya kepada ayahnya Othman, "Abah tak kesian mak? Sampai sekarang mak masih tunggu abah."



Aku memperolehi jawapan mengenai kekeliruan penghujung novel ini setelah menonton filem Pulang melalui bahasa badan Che Thom kepada Cikgu Hassan. Dalam babak Che Thom sedang menari dengan Cikgu Hassan pada malam majlis pertunangan mereka, Che Thom terbayangkan Othman berada di hadapannya sedang menari bersamanya. Setelah Che Thom tersedar bahawa Cikgu Hassan berada di hadapannya sedang menari bersamanya, Che Thom menggelengkan kepala dan berlalu meninggalkan Cikgu Hassan. Babak ini memberikan jawapan bahawa Che Thom tetap setia menunggu Othman pulang ke Serkam, Melaka sehingga akhir hayatnya. 




Novel/fiem Pulang adalah berasaskan kisah epik melangkaui tiga generasi yang menyedihkan tetapi indahnya aturan takdir menjadi sebab-akibat (sunnatullah) yang ditetapkan Allah.


P/S: Aku tidak mampu memberi bintang sepenuh di langit seperti Hazrena Kassim dan Uyaina Arshad yang menyatakannya semasa mengacara rancangan Wanita Hari Ini setelah mereka menonton filem Pulang khas untuk golongan media. Aku hanya memberi empat bintang dari lima bintang untuk novel Pulang manakala filemnya pula aku memberi tiga bintang dari lima bintang. 

2 ulasan:

  1. Hm..Jadi dia tak kahwin la dengan cikgu hassan tu.?

    BalasPadam