Jumaat, 2 Mac 2012

Penerbitan Tesis PhD di UKM

Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi mula mengkategorikan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia di bawah dua klasifikasi iaitu universiti penyelidikan dan universiti pengajian sepanjang hayat memberi pelbagai implikasi. Terdapat tiga universiti di Malaysia yang dikategorikan sebagai universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia manakala Universiti Sains Malaysia dikategorikan sebagai universiti APEX. 

Tahun 2012 merupakan tahun penerbitan bagi UKM yang telah menerima sejumlah peruntukan yang besar dari kerajaan. Namun begitu, apabila pensyarah-pensyarah UKM tidak mencapai tahap penerbitan buku seperti yang ditetapkan oleh UKM maka UKM memutuskan untuk mewajibkan pelajar PhD UKM menerbitkan tesisnya dalam bentuk buku di UKM iaitu dengan cara memasukkan nama penyelianya sebagai sebahagian dari penulis buku. 

Dalam proses penyeliaan pelajar PhD, bukan semua pelajar PhD diselia oleh pensyarah yang berada dalam bidang yang tepat. Contohnya, tajuk Pembangunan Islam tetapi diselia oleh pensyarah dalam bidang pembangunan Barat. Dalam kes seperti ini, perkara yang dipentingkan ialah terdapat persamaan bidang di antara pelajar dan penyelia iaitu pembangunan.  Pelajar PhD terpaksa bertungkus lumus menyiapkan tesis PhDnya dengan kadar penyeliaan yang tidak mencapai tahap yang maksimum ekoran penguasaan ilmu penyelia dalam bidang pembangunan Islam tidak berada pada tahap yang maksimum.

Apa yang akan terjadi dengan idea UKM mewajibkan pelajar PhD menerbitkan tesisnya dengan cara memasukkan nama penyelianya seperti dalam kes di atas? Dalam hal ini, tindakan UKM ini amat memalukan kerana wujud pensyarah yang telah menerobos sempadan bidangnya. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana pensyarah yang tidak seberapa pakar dalam bidang pembangunan Islam tetapi mempunyai buku dalam bidang pembangunan Islam? Satu tindakan yang tidak profesional. Penerbit UKM perlu memikirkan kualiti penerbitan itu sendiri termasuklah kepakaran nama orang yang tertera di atas kulit buku yang hendak diterbitkan.

Tindakan UKM ini menyebabkan "apa lagilah yang tinggal kepada pelajar PhD" seandainya tesisnya mesti diterbitkan dengan cara memasukkan nama penyelianya? Apabila tesis itu telah diterbitkan menjadi buku, semua ilmu yang terkandung dalam tesis itu jika hendak digunakan sebagai sumber rujukan perlu memasukkan nama penyelianya juga. Namun, jika dirujuk dalam sumber asli tesis itu sendiri maka yang tertera ialah hanya nama pelajar PhD. Dalam hal ini, tidakkah berlaku pententangan? Aku juga berharap suatu hari nanti tesis PhD aku akan diterbitkan menjadi sebuah buku. Namun, hasrat aku ini agar tesis yang telah diterbitkan menjadi buku boleh digunakan sebagai KPI dalam kenaikan pangkat untuk jawatan prof. madya tetapi aku merancang hal ini dalam tahun 2016 atau 2017. Sekiranya tesisku perlu diterbitkan dalam tahun 2012, maka musnahlah harapanku.

Pada pandanganku, UKM agak keterlaluan dalam perkara ini. Setelah pelajar berjaya dan lulus dalam PhDnya maka secara automatik penyelia memperolehi markah KPI yang boleh digunakan dalam permohonan kenaikan pangkat. Pada aku memadailah setakat itu, tidak perlulah sehingga penyelia perlu MENUMPANG nama dalam penerbitan tesis pelajar PhD untuk dijadikan buku. PERKARA INI SUNGGUH MEMALUKAN. Pihak penerbit sepatutnya menggesa pensyarah UKM agar melakukan penyelidikan dan penerbitkan buku atas nama dan usaha titik peluh mereka sendiri.

Khamis, 2 Februari 2012

Baucar Buku 1Malaysia


Al-hamdulillah, semakin hampir pilihan raya ke-13, semakin bertambah rezeki rakyat Malaysia. Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan - Bantuan Persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Skim Sara 1Malaysia dan sebagainya yang pasti diakhiri dengan perkataan 1Malaysia untuk membuktikan betapa berkebajikannya kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato' Sri Hj. Mohd. Najib Abdul Razak (Barisan Nasional). Di antara pelbagai bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan, aku menerima Bancar Buku 1Malaysia yang bernilai RM200. Rasa seronok yang tidak terkira kerana dapat membeli buku-buku ilmiah terutama untuk keperluan tesis PhDku.

Inilah hikmahnya pengamalan sistem demokrasi di Malaysia. Setelah pembangkang (PAS) mengisytiharkan gagasannya yang terkini 'negara berkebajikan' maka kerajaan juga mengambil inisiatif berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa berkebajikannya kerajaan di bawah BN. Kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya memerlukan kepada undi majoriti.  Kedudukan sesebuah kerajaan dikatakan selamat dan stabil apabila ia berjaya memperolehi kerusi 2/3 di Parlimen. Walaupun pelbagai bantuan di bawah pakej 1Malaysia tiba-tiba datang mencurah-curah pada saat pilihan raya bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini yang boleh disifatkan sebagai memancing undi namun aku tetap mengucapkan "Terima Kasih Dato' Sri Hj Mohd. Najib, Terima Kasih Kerajaan Barisan Nasional".

Namun, jalur pemikiran generasi muda sukar diduga. Kedudukan BN dalam pilihan raya ke-13 ini ibarat telur di hujung tanduk yang lebih banyak bergantung kepada undi dan selera politik generasi muda. Inilah yang membezakan era pemerintahan Dato' Sri Mohd. Najib dengan era Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana Tun Dr. Mahathir berhadapan dengan generasi lama. UMNO akan tetap selamat selagi generasi lama/tua masih hidup. Hanya generasi lama yang memahami betapa berbudinya UMNO kepada bangsa Melayu. Generasi muda seleranya berbeza - mementingkan kebebasan dan keterbukaan sesuai dengan ledakan globalisasi dan teknologi maklumat. Perkara ini menyebabkan timbul tuntutan generasi muda agar AUKU dan ISA dihapuskan.  Mereka juga menuntut agar demokrasi dilaksanakan menurut acuan yang mementingkan persoalan kebebasan dan kesetaraan.  Generasi muda terutama yang lahir pasca DEB, kurang memahami persoalan jasa dan betapa terhutang budinya bangsa Melayu terhadap UMNO.  Mereka menilai pelbagai sekatan yang wujud menurut kaca mata pada masa sekarang walhal sejarah silam mencatatkan untuk membangunkan dan memajukan Malaysia perlu kepada batasan dan sekatan yang disesuaikan menurut keperluan Malaysia. 

Pelbagai sekatan tersebut menyebabkan pemerintahan Malaysia di bawah BN disifatkan sebagai autoritarian. DEB yang bertujuan untuk memajukan bangsa Melayu tetapi yang lebih terserlah ialah golongan kroni dan mereka yang mempunyai hubungan keluarga ~ bertujuan untuk mewakili keseluruhan bangsa Melayu. Walaupun isu kronisme dan nepotisme dalam ekonomi politik Malaysia bertujuan untuk mempercepatkan proses penguasaan bangsa Melayu dalam pembahagian kek ekonomi negara namun, perkara ini menyebabkan timbul persepsi dalam kalangan generasi muda "ah, betapa jijiknya UMNO". Lebih parah lagi ada segelintir golongan muda yang menolak politik, "ah, betapa jijiknya politik". Dalam apa hal sekalipun, politik itu perlu untuk memperolehi kuasa. Tanpa kuasa, tidak ada perkara yang dapat ditegakkan, tidak ada perkara yang dapat didaulatkan. Hatta menegakkan Islam itu sendiri perlu kepada kuasa. Kepada semua pihak, aku hanya menyeru

Berfikirlah, berikan undi anda kepada mereka yang difikirkan layak.

Jumaat, 9 Disember 2011

Adab Guru Terhadap Pelajar #1

Jika ditelaah kitab-kitab ulama sama ada yang dikategorikan sebagai kitab kuning atau kitab putih, apabila membicarakan adab menuntut ilmu, kebanyakan ulama menjelaskan adab-adab pelajar terhadap guru. Amat jarang sekali ulama yang membicarakan adab guru terhadap pelajar kerana perkembangan ilmu pada ketika itu, masyarakat Islam mempelajari ilmu menurut perspektif Islam. Islam tidak memisahkan ilmu dari nilai spiritual;  semua bidang ilmu mesti dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Contohnya, disiplin ekonomi menurut perspektif Islam turut disertai dengan ilmu akhlak dan adab. Oleh itu, seseorang guru atau pensyarah Muslim secara automatik menguasai ilmu akhlak dan adab tanpa mengira bidang yang dikuasainya.

Namun, kini kebanyakan masyarakat Islam mempelajari ilmu yang terpisah dari nilai spiritual sesuai dengan perkembangan ilmu yang dipelopori oleh Barat. Jika seseorang pelajar mempelajari ilmu sains sosial, ilmu yang dipelajari adalah kosong tanpa nilai spiritual, akhlak dan adab. Ainon Mohd (2006) menyatakan:
... perlu diingat di sini, pakar-pakar ... Barat yang teori-teorinya dimasukkan ke dalam buku-buku teks universiti, membuang Tuhan dalam teori-teori mereka. Memang, dalam falsafah sains Barat, kepercayaan dalam mana-mana agama tidak dianggap termasuk bidang sains. Sebarang bidang ilmu yang menyentuh agama dan Tuhan dimasukkan ke dalam bidang teologi, falsafah ataupun moral.
Senario ini menyebabkan wujud para guru atau pensyarah Muslim di universiti dan kolej dari bidang sains sosial Barat meletakkan agama di luar bidang pengajian mereka. Implikasinya ramai guru atau pensyarah Muslim memiliki ilmu sains sosial Barat yang tinggi namun 'miskin' adab dan akhlak. Dalam isu ini, golongan guru di sekolah kurang mengalami kemiskinan adab dan akhlak jika dibandingkan dengan para pensyarah kerana guru-guru pada peringkat sekolah diberi kursus terlebih dahulu dari aspek pedagogi yang turut menekankan kepentingan sikap dan sahsiah diri. Hal ini berbeza dengan para pensyarah universiti dan kolej yang tidak berlatarbelakangkan keperibadian seorang guru. Kisah benar yang pernah berlaku apabila seorang pensyarah yang menjawat pengerusi di sebuah pusat pengajian menyatakan kepada seorang pelajar PhD "Kenapa? Pelajar perlu dilayan dengan baik?” apabila pelajar tersebut membuat aduan mengenai penyarah@penyelia tesis PhD yang bertindak memalukan/mengaibkan dirinya di khalayak ramai.

Aku teringat di antara kenyataan Prof. HAMKA dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor iaitu:
Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibu bapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut.
Senario yang sungguh berbeza dengan Imam Bukhari yang sangat memelihara adab dan akhlak. Walaupun beliau seorang guru dan imam yang hebat namun beliau tidak sanggup menegur atau memarahi pelajar (mengasah pensel dan membiarkan habuk pensel di atas lantai ketika di dalam kelas pengajaran hadis) di depan khalayak ramai untuk mengelakkan perbuatan mengaibkan saudara Muslimnya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Oleh itu, adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu yang lain. Jika pelajar tersebut merupakan seorang  Muslim maka kedudukannya adalah adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar tersebut adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu Muslim yang lain.

Secara peribadi, aku telah belajar di universiti tempatan selama 12 tahun dari peringkat sarjana muda, sarjana sehingga PhD lebih mengenang dan mengingati guru-guru yang pernah mengajarku di sekolah berbanding para pensyarah yang pernah mengajarku di universiti. Aku tidak mahu bersikap seperti para pensyarahku di universiti. Aku berazam untuk memiliki akhlak yang mulia dan adab yang baik agar aku melayan dan mengajar para pelajarku di universiti dengan cara baik. Sesungguhnya setiap amalan itu akan dihitung. Firman Allah swt:
Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar dzarrah pun, nescaya  dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula (Surah Az-Zalzalah: 7-8).

Bersambung dalam entri Adab Guru Terhadap Pelajar #2.

Sabtu, 26 November 2011

Keselamatan Diri Dalam Talian Internet

Globalisasi turut ditandai dengan perkembangan teknologi yang menyokong kemudahan untuk mewujudkan pelbagai bentuk jaringan di seluruh dunia. Teknologi dan kewujudan jaringan telah memudahkan komunikasi yang merentas sempadan negara seperti melalui faks, telefon, satelit dan talian internet. Dalam hal ini, kini talian internet merupakan wadah popular yang digunakan oleh masyarakat terutama generasi Y. Perkembangan teknologi ini juga turut menyokong sistem demokrasi yang turut mendokong kebebasan bersuara. Pelbagai elemen digunakan untuk menterjemahkan prinsip kebebasan bersuara seperti laman sosial dan blog.

Walau bagaimanapun, penggunaan internet juga turut digunakan untuk 'melacurkan' diri sendiri dalam talian. Pelbagai maklumat diri termasuk gambar peribadi didedahkan secara melampau kepada masyarakat umum. Blog pula menjadi alat khususnya golongan remaja malah trend ini turut menular kepada generasi X untuk menceritakan pelbagai kisah peribadi tanpa nilai intelektual sehingga sifatnya telah menjadi sebuah diari online. Walaupun terdapat sesetengah pemilik blog yang telah menyatakan bahawa beliau tidak membenarkan komuniti dalam talian mengambil sebarang gambar peribadi yang dipaparkan dalam blog-nya namun amaran tersebut tidak memberi sebarang makna. Hal ini adalah kerana apabila seseorang telah masuk ke dalam internet secara automatik ia menjadi sebahagian daripada masyarakat global yang dikenali sebagai global information infrastucture. Maklumat dan gambar peribadi yang dinyatakan di dalam internet telah menjadi sebahagian daripada maklumat global. 

Pengguna boleh mewujudkan prinsip kerahsiaan dan keselamatan dalam internet dengan merujuk kepada setting dan polisi yang terkandung dalam sesebuah aplikasi. Namun begitu, segala-galanya bergantung kepada kawalan kendiri. Anda sendiri yang menentukan berapa banyakkah maklumat peribadi yang boleh dikongsikan kepada masyarakat global. Dalam hal ini, Islam menyediakan garis panduan untuk menyebarkan gambar-gambar peribadi dalam internet walaupun perbincangan Ustaz Zaharuddin lebih menjurus kepada facebook namun hal tersebut turut boleh diaplikasikan perbuatan menyebarkan gambar di dalam blog.  Justeru, isu ini merupakan sebahagian daripada tujuan mengadakan Hari Keselamatan Komputer Sedunia pada 27 November yang diraikan pada setiap tahun. 

Untuk size yang lebih besar sila klik sini
Hari Keselamatan Komputer Sedunia turut berusaha mewujudkan kesedaran kepada masyarakat global mengenai kepentingan keselamatan diri dalam talian internet walaupun elemen keselamatan turut merangkumi aspek pembinaan dan pengurusan password, virus komputer, keselamatan PC, keselamatan fizikal, kejuruteraan sosial, kerahsiaan maklumat, keselamatan wireless, Home Offices, privasi, kecurian identiti, data backups, penggunaan internet dan email, intellectual property rights dan penyulitan data (encryption).

Selamat Menyambut Hari Keselamatan Komputer Sedunia         

Jumaat, 25 November 2011

Berbuat Baik Kepada Wanita

Sumber: Utusan Malaysia

United Nations telah mengisytiharkan 25 November dalam setiap tahun sebagai Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa. Sabda Rasulullah. s.a.w.:
Saling berwasiatlah kalian untuk berbuat baik kepada wanita. Mereka tercipta dari tulang rusuk. Tulang rusuk yang paling bengkok  terletak di  atas. Jika kamu berusaha meluruskannya, engkau akan membuatnya patah. Dan jika dibiarkan, ia akan terus bengkok. Maka, saling berwasiatlah kalian untuk berbuat baik kepada wanita.
Semoga sabda Rasulullah s.a.w. di atas menjadi renungan kita semua khususnya kepada kaum lelaki. 

Ahad, 13 November 2011

Ganjaran Untuk Diri

Setelah puas berusaha, aku suka menghargai kejayaan kecil yang telah aku capai. Hal ini meningkatkan motivasi untuk terus berusaha meraih kejayaan. Irfan Khairi menyatakan: 

Sekiranya anda sudah bekerja keras, dan mencapai matlamat-matlamat anda (tak kira kecil atau besar), berhenti sebentar dan upah diri sendiri- reward yourself!
Dengan tidak mengupah diri sendiri, ia akan mengurangkan tenaga dan semangat kita. Mengupah atau menghadiahkan sesuatu kepada diri sendiri terutamanya sesuatu yang menarik minat kita sendiri memberi kesan motivasi supaya terus berusaha!

Justeru, aku berjanji dengan diriku bahawa aku akan membeli buku Pengembaraan Ibn Battutah yang diterbitkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia.  Setelah aku berjaya menyerahkan tesis PhDku untuk viva, aku pergi ke Ekspo Buku Islam 2011 di KL Sentral yang berlangsung dari 26 Oktober sehingga 1 November.

Syurga kepada Ulat Buku

Inilah ganjaran untuk diriku

Aku menemui buku impianku yang berharga RM250. Setelah ditolak diskaun 10%, harganya RM225. Aku lebih suka memberi ganjaran buku kepada diriku kerana akal dan jiwa perlu kepada buku (ilmu) sebagai makanan seperti fizikal yang sentiasa memerlukan makanan yang halal dan baik. Buku-buku yang aku miliki adalah sebahagian daripada harta yang akan diwakafkan setelah aku meninggal dunia.

Rabu, 9 November 2011

Orang Malaya di Sabah #1

Aku dilahirkan dan dibesarkan di Sabah kerana mak dan abah aku bekerja di sana. Sebelum 1980-an, orang Semenanjung lebih dikenali sebagai orang Malaya. Semasa aku berumur tiga tahun, aku biasa dengar kawan-kawan abah aku yang terdiri daripada orang Sabah menjerit (sambil bergurau) kepada abah aku, "Hoi, orang Malaya". Apabila aku demam dan batuk, aku takut berjumpa dengan doktor yang berasal dari Australia maka aku yang duduk di atas pangkuan abah berkata, "Abah, batuk dah tak ade, batuk dah balik Maya". Perkataan Maya merujuk kepada Malaya. Semasa usia aku tiga tahun, ada sesetengah perkataan aku tidak dapat menyebut dengan betul. Harapanku di dalam hati agar abah percaya dan terus berkata, "O ye ke, kalau macam tu kita balik jelah". Ternyata abah cuma mendengar dan berkata, "Ya" tanpa berganjak dari klinik itu. 

Semasa aku meniti zaman kanak-kanak, dalam proses aku belajar bercakap, aku diajar oleh mak abahku bercakap dalam bahasa orang Malaya. Aku hanya boleh bertutur perkataan "bah" dihujung sesuatu ayat ketika aku berusia empat tahun hasil aku mendengar perbualan mak dan abah aku ketika berbual dengan kawan-kawan mereka berdua. Contohnya, " makan sudah bah". Hal ini tidak hanya berkisar pada percakapan harian tetapi juga melibatkan makanan. Mak abah aku mengajar aku dan adik beradik makan makanan orang Malaya khususnya makanan dari negeri Kedah dan Perak. Walaupun selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, aku tidak biasa makan makanan orang Sabah. Ketika sambutan hari raya Aidilfitri, mak dan abah aku menghidangkan ketupat palas dan rendang. Ini adalah di antara cara mak dan abah aku mengukuhkan identiti aku adik beradik bahawa 'kita Orang Malaya'. 

Pengukuhan identiti ini ditambah lagi dengan diskriminasi yang wujud dalam undang-undang dan perbezaan hak di antara orang Malaya dan orang Sabah. Aku tidak layak memohon biasiswa atau pinjaman dari Yayasan Negeri Sabah walapun aku dilahirkan di Sabah. Justeru, aku hanya layak memohon biasiswa yang ditawarkan di negeri kelahiran mak dan abah aku sahaja.  Aku diwajibkan memiliki pasport untuk keluar dan masuk dari Sabah ke Semenanjung Malaysia. Semasa berurusan di pejabat imigresen Negeri Sabah, pegawai di situ pernah menyatakan kepada abah aku berkenaan status diri aku, "Dia mesti ada pasport sebab yang diambil kira di sini adalah asal usul keturunan". Di dalam kad pengenalan aku juga tidak ada huruf 'H' yang menunjukkan aku ini rakyat Sabah. Sila lihat perbezaan di antara kedua-dua mykad di bawah. Mykad yang bernama Rowan Sebastian Atkinson (ini saja yang aku dapat dari Google) mengandungi huruf 'H' di penjuru bawah sebelah kanan menunjukkan Rowan adalah rakyat Sabah berbeza dengan mykad yang dimiliki oleh Norsuhaila Binti Mahdi yang berasal dari Selangor tidak memiliki huruf 'H'.

Sumber: Google

Sumber: http://sumijelly.com/2011/07/01/selangor-ke-kuala-lumpur/

Isu kedudukan orang Malaya di Sabah ini berlarutan sehingga kini. Adik aku yang bekerja di Sabah pernah melalui pengalaman dihamun oleh pegawai imigresen di airport Kota Kinabalu. Adikku juga sama seperti aku yang turut dilahirkan di Sabah. Dalam mykad kami tertera nombor '12' yang menunjukkan kami dilahirkan di Sabah namun tanpa huruf 'H' pada mykad, kami tetap tidak diiktiraf sebagai orang (rakyat) Sabah. Ketika itu, adik aku hendak naik kapal terbang ke KLIA dan seterusnya ke Alor Setar. Pada ketika ini, mak dan abah aku telah berpindah balik ke Malaya. Apabila pegawai imigresen memeriksa mykad adik aku, ternyata alamat yang tertera dalam mykad ialah alamat tetap di Sungai Petani dan tidak memiliki huruf 'H'. Lantas pegawai imigresen menyoal adik aku berkenaan 'pas kerja' di Sabah. Sepanjang adik aku bekerja di Sabah (di sebuah badan berkanun), dia tidak pernah membuat pas kerja kerana pegawai sumber manusia di tempat dia bekerja tidak arif berkenaan undang-undang kerakyatan dan imigresen di negeri Sabah.  Pegawai imigresen itu menghamun adikku di depan orang ramai,
Walaupun kamu lahir di negeri Sabah, kamu tetap bukan orang Sabah. 
Aku dan semua anak-anak Orang Malaya yang dilahirkan di Sabah, pada haikikatnya kedudukan kami di Sabah ialah 'kami tetap dilayan seperti ibu bapa kami dilayan' kecuali mereka yang mempunyai salah seorang daripada ibu bapa adalah orang Sabah. Ini adalah cara agar orang Malaya tidak merampas hak orang Sabah dan hak orang Sabah terus terpelihara untuk orang Sabah sahaja ketika Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Oleh itu, bagiku, aku berasal dari Sungai Petani, Kedah dan negeri Sabah itu tidak lebih sekadar tempat lahirku sahaja.

P/S: Adakah Datuk Seri Najib Tun Razak bermimpi di siang hari ketika beliau mencanangkan 1Malaysia?

Bersambung... sila klik: