Selasa, 12 Julai 2011

Tips Masuk Ke Dunia PhD #2

Aku ingin menyambung entri sebelum ini Tips Masuk Ke Dunia PhD #1 agar anda mengetahui sisi gelap dan terang dunia PhD.
  1. Cuba beri kefahaman yang jelas kepada ahli keluarga terdekat anda mengenai pekerjaan & tugasan kajian PhD anda. Sekiranya anda memperolehi cuti belajar dengan gaji beserta dengan biasiswa, pada hakikatnya anda hanya diberi cuti dari menghadirikan diri di pejabat tempat anda bekerja. Semasa cuti belajar, anda perlu tekun belajar selama 9 jam sehari sama dengan tempoh waktu anda bekerja di pejabat.
  2. Anda perlu menyedari dan memahami bahawa dunia PhD itu ada sisi gelapnya yang tersendiri. Kebiasaannya di universiti tempat belajar, para pensyarahnya mempunyai kumpulan kawan dan musuh yang tersendiri. Apabila sesama pensyarah tidak menyukai penyelia anda maka kebiasaannya yang berlaku mereka akan menyerang pelajar PhD yang berada di bawah seliannya walaupun sesama penyarah itu doctorate belaka. Kisah benar ini telah berlaku di UPM, seorang pelajar PhD berusia 50-an bekerja sebagai pengurus besar mempunyai penyelia yang bergelar profesor tetapi tidak disukai oleh beberapa orang penyarah di sebuah jabatan. Apabila profesor tersebut dipanggil bertugas di sebuah kementerian maka  dia telah bertindak mencarikan penyelia yang 'satu kepala' untuk pelajarnya yang bertanggungjawab menggantikan tugasnya. Penyelia baru pula masih dalam kategori pensyarah junior. Malangnya, apabila pelajar PhD ini membentangkan proposal, dia telah digagalkan oleh dua orang pensyarah yang tidak 'satu kepala' dengan profesor yang telah bertugas di kementerian. Pelajar PhD yang terbabit membentangkan proposal untuk kali kedua setelah membuat pembetulan berdasarkan komen dan cadangan yang diberikan oleh dua orang pensyarah yang bertanggungjawab menilai proposal tersebut. Malangnya pelajar PhD tersebut digagalkan sekali lagi. Pelajar PhD tersebut bertindak berjumpa (menyerang) salah seorang penyarah untuk bertanya kenapa proposalnya digagalkan untuk kali kedua. Pensyarah tersebut tidak memberikan sebarang jawapan malah memarahi pelajar PhD tersebut kerana tidak menghormati pensyarah. Akhirnya, pelajar PhD tersebut berhenti dan meneruskan pengajian di UKM.
  3. Dalam tempoh pengajian, banyak-banyakanlah beristighfar dan mohonlah kepada Allah agar dikurniakan idea dan buah fikiran yang bernas. Sebaik-baiknya, sebagai hamba Allah tips ini diamalkan terus sehingga ke akhir hayat.
  4. Selepas menghantar tesis sementara menunggu viva, kalau boleh setiap malam buatlah solat hajat. Pada hari anda divivakan, sebelum menghadiri viva, buatlah solat hajat memohon pertolongan Allah.
  5. Semasa viva, jika ditanya jawab dengan tenang. Ingat semua fakta dan data yang penting. Tindakan mencari-cari jawapan di dalam tesis PhD anda semasa menjawab soalan yang ditanyakan kepada anda akan menyebabkan anda kelihatan tidak meyakinkan di mata para pemeriksa tesis. Tips 4 dan 5 telah diberikan oleh seorang profesor yang bertugas di USM.
  6. Akhir sekali, jika anda lulus PhD, syukurlah kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya. Jika gagal, redhalah dengan ketentuan Allah, mungkin dengan ujian ini Allah menetapkan agar anda semakin rapat dengan-Nya. Perkara yang tidak diberikan oleh Allah itu ada hikmahnya, mungkin jika anda diberikan PhD, anda semakin jauh dari Allah. Nasihat ini juga diberikan oleh seorang profesor yang bertugas di USM.
Akhir kalam, selamat menempuh cabaran dalam dunia PhD. Semoga berjaya.

Sabtu, 2 Julai 2011

Tips Masuk Ke Dunia PhD #1

Orang buat PhD ada dunia yang tersendiri. Pada peringkat awal, dunia PhD seperti torowong gelap tanpa cahaya sehingga setiap orang teraba-raba dalam kegelapan dan tidak nampak jalan keluar.  Penyelia ibarat cahaya yang memainkan peranan membimbing pelajar mencari jalan keluar.  Pada kali ini, aku hendak menyenaraikan beberapa tips kepada sesiapa yang hendak masuk ke dalam dunia PhD terutama sesiapa yang buat PhD di Malaysia:
  1. Selidiki latar belakang dan peribadi bakal penyelia - maknanya, tidak hanya memadai menyelidiki latar belakang kerjaya akademik dan penerbitan.  Jika penyelia merupakan seorang Muslim, pastikan dia seorang yang taat pada agama agar setiap tindakannya terhadap anda sebagai pelajar berada dalam lingkungan Lillahi Taala. Dengan itu, tidak timbul cerita ketika anda sedang berusaha membuat tesis atau menunggu proses viva, penyelia anda sibuk berusaha membalas dendam sehingga mengagalkan PhD anda. Pengalaman benar seorang temanku yang membuat PhD, tindakannya menyimpan penyelia bermasalah sebagai penyelia kedua menyebabkan semasa dia sedang menunggu viva, penyelia keduanya telah bertindak menghubungi pemeriksa luar untuk mengagalkan tesis PhDnya.
  2. Penyelia memainkan peranan yang penting maka sebagai pelajar, anda perlu menjaga penyelia anda dengan baik sama ada penyelia utama atau penyelia bersama. Kisah benar apabila seorang temanku di UKM terpaksa menjadi Research Assistant (RA) merangkap Personal Assistant (PA) alias kerani untuk mengambil hati penyelia agar penyelianya membaca bab-bab tesis yang telah disiapkan. Sehingga satu ketika, suami temanku sakit jantung masuk hospital di Hospital Kuantan, dia tidak balik ke Kuantan tetapi tetap berada di UKM 'menjaga' penyelianya. Ada satu kes lain yang menarik, setiap kali penyelia temanku menerima tetamu dari luar negara, temanku terpaksa menjemput tetamu penyelianya dari KLIA dan melayan semua keperluan tetamu penyelianya. Jagalah penyelia anda walaupun hal ini menimbulkan isu di manakah integriti profesionalisme para pensyarah universiti? 
  3. Oleh kerana beratnya tugas anda 'menjaga' penyelia, maka sebaik-baiknya bilangan penyelia yang perlu anda miliki hanya seorang. Sebolehnya elakkanlah dua orang penyelia apa tah lagi tiga orang penyelia. Tips ini aku perolehi ketika aku menghadiri kursus SLAB di sebuah IPTA.
  4. Jika anda mempunyai masalah sehingga membawa kepada pertengkaran dan pergaduhan dengan penyelia anda, sebaik-baiknya anda berusahalah tukar penyelia. Jangan berasa takut untuk membuang penyelia sehingga anda bertindak menyimpannya pula sebagai penyelia kedua.  Semasa anda berada di bawah seliaannya telah berlaku pelbagai masalah maka tidak mustahil akan berlaku pelbagai masalah walapun statusnya hanya sebagai penyelia kedua. Pengalaman benar seorang temanku yang membuat PhD, tindakannya menyimpan penyelia bermasalah sebagai penyelia kedua menyebabkan semasa dia sedang menunggu viva, penyelia keduanya telah bertindak menghubungi pemeriksa luar untuk mengagalkan tesis PhDnya.
  5. Pertimbangkan semasak-masaknya mengenai tempat untuk belajar PhD. Menurut seorang penyarah bidang sejarah di UKM, belajar di luar negara ada pelbagai kelebihan seperti boleh melancong dan jauh dari keluarga (ibu bapa & adik-beradik) dan saudara mara. Apabila berjauhan dari keluarga dan saudara mara, jika berlaku musibah dan kematian, anda diberi rusakh  dan kelepasan dari menjaga atau melawat keluarga anda pada waktu sakit.  Apabila anda mendapat panggilan telefon kerana berlaku kematian keluarga anda contohnya ibu saudara, anda menyatakan "yelah, dah ajal dia". Berbeza pula jika belajar dalam negara, anda memiliki pelbagai tanggungjawab termasuk menjaga dan menziarahi ketika mereka sakit dan berlaku kematian.
  6. Pilih tajuk yang sesuai dan penyelia anda mampu menyelia tajuk tersebut. Mampu di sini dalam erti kata menguasai bidang kajian tesis anda walaupun tesis anda dan bidang penyelia tidaklah sama 100%. Dalam menilai kemampuan penyelia, anda perlu melihat sendiri cadangan pembaikian bab terutama bab satu dan bab kedua. Jangan hanya mendengar kata penyelia anda, "tak ada masalah, semua tajuk kita boleh selia" walhal dia sebenarnya tidak berkemampuan untuk menyelia tajuk anda dalam bidang tujahan yang diperlukan. Dalam hal ini, lazimnya penyelia mempunyai ego mereka yang tersendiri. Mereka menggambarkan diri mereka hebat dalam bahasa yang 'besar' dan malu untuk mengakui kelemahan diri sendiri melainkan mereka yang taat berpegang pada tali Allah.
Bersambung ... sila klik Tips Masuk Ke Dunia PhD #2.

    Rabu, 22 Jun 2011

    Terima Kasih Ummuzulaikha

    Aku buat blog ini suka-suka saja tetapi tidakku sangka dalam pada aku melawat blog followers, aku ditabalkan menjadi pemenang VVIP oleh Ummuzulaikha.

    Petikan dari kotak sembang:
      Ummuzulaikha kepada Cik Misstree: assalam..jemput jemput tgk siapa yg bertuah kali ini =)
    2011-06-20 3:36 PM #

    **************************************************************************

    Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera =)

    Kita bertemu kembali...

    Mari-mari..kini tiba masa untuk umumkan siapa VVIP bertuah untuk mendapatkan HADIAH MISTERI dari Unggul-Resources !!!

    Jeng Jeng Jeng...
      

    Tahniah Tahniah kepada ... 

    CIK MISSTREE

    kerana dipilih sebagai VVIP bertuah kali ini =)

    Terima kasih diucapkan kerana menjadi pengunjung Unggul-Resources yang setia (pengunjung paling tinggi)

    Jadi..jangan lupa hubungi saya untuk dapatkan HADIAH MISTERI anda

    Saya menanti khabar dari anda !!!

    **************************************************************************
    Cik Misstree: Saya rasa teruja dan sangat gembira :love:

    Doa Mengelakkan Diri Dari Dirogol

    http://tuantanah.files.wordpress.com/2011/03/doa.png 
    Doa Siti Sarah ~ isteri Nabi Ibrahim a.s. (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih).

    Selasa, 21 Jun 2011

    Anak Dara Tak Laku

    Entri kali ini aku nak bercerita atau membebel fasal orang Melayu yang kerap menyebut perempuan yang tidak berkahwin sebagai 'anak dara tak laku'. Konotasi 'tak laku' merujuk kepada barang atau komoditi yang diniagakan.  Adakah masyarakat menyatakan 'anak dara tak laku' merujuk ibu bapa (dalam bahasa perniagaan) tidak pandai mempromosikan anak dara atau  mengiklankan anak dara sehingga anak daranya tidak laku?  

    Aku sebagai perempuan yang belum pernah berkahwin malah ramai perempuan di luar sana berumur dalam lingkungan 30 tahun yang belum pernah mendirikan rumah tangga tidak merasakan kedudukan kami semua adalah komoditi yang diniagakan sama ada laku atau tidak laku. Aku adalah wanita yang mempunyai harga diri (esteem) dan nilai harga diri tidak merujuk kepada kesempurnaan hidup yang hanya dipenuhi apabila mempunyai suami. Kini masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalisme meletakkan harga diri dalam pelbagai aspek material seperti mempunyai harta yang banyak, pendidikan yang tinggi dan kereta yang mewah.  Amat menghairankan apabila masyarakat Melayu meletakkan kedudukan wanita seperti komoditi yang diniagakan.  

    Jumaat, 17 Jun 2011

    Nama manja

    Bulan September 2010, aku beli TV untuk bilik sewa di Bangi agar sambil buat tesis aku boleh menonton TV.  Kalau mengadap tesis saja 24 jam, aku rasa boleh tepu otak aku. Macam-macam rancangan aku tengok tapi seperkara yang menghairankan aku ialah tatacara artis apabila mereka ditemu bual untuk rancangan seperti Melooodi dan Hiip Tivi serta entah segala macam nama rancangan yang menelanjangkan kehidupan mereka.  Jika hanya menyentuh mengenai perkembangan kerjaya mereka aku fikir tidak ada perkara yang hendak dimalukan tetapi jika hendak menceritakan hal-hal peribadi termasuk pergaduhan dan penceraian artis maka perkara itu amat mengaibkan. Hal ini menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan rancangan yang mendedahkan gosip artis-artis Indonesia.   
     
    Kenyataan di atas hanya mukadimah kepada isu artis di Malaysia. Namun, seperkara yang menghairankan aku ialah kenapa artis-artis di Malaysia tidak tahu menggunakan kata nama ganti diri? Contohnya, Mia berkata, "Mia sekarang baru habis shooting untuk filem tuut".  Sewajarnya, para artis menggunakan kata nama ganti diri seperti 'saya' untuk rancangan TV.  Kritikan ini mengingatkan aku kepada seorang guru (dari sekolah lain) yang pernah menjadi penceramah (dan mantan pemeriksa kertas Pengajian AM 2 STPM di Malaysia) untuk memberi bimbingan pada saat akhir sebelum aku dan kawan-kawan hendak mengambil STPM di SMKS.  Beliau menyatakan perkara yang sama dengan memberi contoh tentang seorang ahli sukan yang terjun ke dalam dunia perfileman bernama Malik dan berkata "Malik sekarang dah terlibat dalam bidang lakonan".  Walaupun bukan semua artis sedemikian, tetapi agak aneh juga apabila artis berusia 20 hingga 40 tahun menggunakan nama manja untuk membahasakan dirinya seperti kanak-kanak kecil.  Nama manja hanya sesuai digunakan untuk khalayak yang lebih kecil dan peribadi seperti berbicara dengan ahli keluarga.  Dalam rancangan Mento 5, para protoge diajar agar menggunakan nama manja untuk membahasakan diri mereka. Adakah penggunaan nama manja hendak menonjolkan kemanjaan kepada para peminat? Hendak bermanja biarlah bertempat.

    Isnin, 6 Jun 2011

    Zakat

    "Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk" (Al-Baqarah 2:43).

    Aku mula membayar zakat harta di Selangor pada tahun 2006 di PPZ Kajang. Bermula tahun 2007 sehingga 2011 genap lima tahun aku membayar zakat harta di PPZ Bangi. Insya-Allah, ini merupakan zakat hartaku yang terakhir di Selangor dalam tempoh pengajian PhDku di UKM.

    PPZ ditubuhkan sebagai sebuah badan korporat maka pada peringkat awal untuk mengisi keperluan PPZ, pengambilan para pegawai eksekutif adalah terdiri dari golongan bukan dari pendidikan agama.  Setelah PPZ kukuh dan mantap dari segi pengurusan dan pentadbiran, jawatan pegawai eksekutif mula diisi oleh golongan yang berpendidikan agama. Mengapa hal ini terjadi? Menurut Prof. pelawat dari USM ke Institut Islam Hadhari, UKM pada 31 Januari-1 Februari 2011, golongan yang berpendidikan agama kekurangan ilmu profesional. Maksud profesional di sini tidak hanya merujuk kepada bidang ilmu pentadbiran dan pengurusan malah termasuk persoalan menepati masa ketika bekerja seperti hadir pada awal waktu sebelum mesyuarat bermula (sekitar 5 sehingga 10 minit). 

    Sepanjang aku berurusan di kaunter pembayaran zakat di PPZ Bangi dan Kajang, pegawai yang bertugas terdiri dari golongan agamawan. Setiap kali aku berusan di PPZ, para pelanggan sama ada pembayar atau golongan asnaf yang layak menerima zakat tidak ramai berurusan di PPZ.  Partikel -wan dalam agamawan sudah tertentu merujuk kepada lelaki. Golongan agamawan yang kurang profesioanalisme. Aku pergi ke kaunter, lantas disapa oleh pegawai petugas "Ya, ada apa?" sambil menunjukkan air muka yang tidak mesra seolah-olah aku hendak meminta bantuan.  Dalam konteks ini, mesra di sini merujuk kepada mesra yang profesional. Apabila pelanggan tiba di kaunter, sewajarnya disapa dengan mesra diiringi dengan senyuman. Para petugas kaunter sewajarnya menyedari bahawa pelanggan PPZ terdiri dari pelbagai golongan.

    Sabda Rasulullah s.a.w., "Layanilah seseorang itu sesuai dengan darjat mereka".

    Berdasarkan pengalaman aku ketika berurusan dengan golongan agamawan, mereka amat bagus dalam menjaga batas pergaulan tetapi kerana menjaga batas pergaulan juga mereka kurang arif dalam mengimbangi dan menunjukkan sikap mesra + profesional ketika bekerja. Hal ini menyebabkan golongan wanita dilayan seperti kelas kedua dalam urusan yang menuntut profesionalisme.

    Setelah aku menyerahkan wang zakat, hendak menunjukkan urusan tersebut telah selesai, petugas kaunter menyatakan 'terima kasih' dalam keadaan aku belum selesai memasukkan wang baki dan dokumen penting ke dalam beg. Secara tersiratnya, petugas kaunter menyatakan "puan, sudah boleh beredar" walhal aku masih ada perkara hendak ditanyakan kepada pegawai bertugas berkenaan emas yang dibeli dan disimpan melalui buku akaun. Perkataan terima kasih itu hanya diucapkan oleh setelah semua urusan benar-benar selesai. Sikap sedemikian petugas kaunter PPZ telah menghakiskan imej korporat PPZ. Dalam hal ini, profesionalisme itu sewajarnya menggambarkan ketinggian adab.