Jumaat, 17 Jun 2011

Nama manja

Bulan September 2010, aku beli TV untuk bilik sewa di Bangi agar sambil buat tesis aku boleh menonton TV.  Kalau mengadap tesis saja 24 jam, aku rasa boleh tepu otak aku. Macam-macam rancangan aku tengok tapi seperkara yang menghairankan aku ialah tatacara artis apabila mereka ditemu bual untuk rancangan seperti Melooodi dan Hiip Tivi serta entah segala macam nama rancangan yang menelanjangkan kehidupan mereka.  Jika hanya menyentuh mengenai perkembangan kerjaya mereka aku fikir tidak ada perkara yang hendak dimalukan tetapi jika hendak menceritakan hal-hal peribadi termasuk pergaduhan dan penceraian artis maka perkara itu amat mengaibkan. Hal ini menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan rancangan yang mendedahkan gosip artis-artis Indonesia.   
 
Kenyataan di atas hanya mukadimah kepada isu artis di Malaysia. Namun, seperkara yang menghairankan aku ialah kenapa artis-artis di Malaysia tidak tahu menggunakan kata nama ganti diri? Contohnya, Mia berkata, "Mia sekarang baru habis shooting untuk filem tuut".  Sewajarnya, para artis menggunakan kata nama ganti diri seperti 'saya' untuk rancangan TV.  Kritikan ini mengingatkan aku kepada seorang guru (dari sekolah lain) yang pernah menjadi penceramah (dan mantan pemeriksa kertas Pengajian AM 2 STPM di Malaysia) untuk memberi bimbingan pada saat akhir sebelum aku dan kawan-kawan hendak mengambil STPM di SMKS.  Beliau menyatakan perkara yang sama dengan memberi contoh tentang seorang ahli sukan yang terjun ke dalam dunia perfileman bernama Malik dan berkata "Malik sekarang dah terlibat dalam bidang lakonan".  Walaupun bukan semua artis sedemikian, tetapi agak aneh juga apabila artis berusia 20 hingga 40 tahun menggunakan nama manja untuk membahasakan dirinya seperti kanak-kanak kecil.  Nama manja hanya sesuai digunakan untuk khalayak yang lebih kecil dan peribadi seperti berbicara dengan ahli keluarga.  Dalam rancangan Mento 5, para protoge diajar agar menggunakan nama manja untuk membahasakan diri mereka. Adakah penggunaan nama manja hendak menonjolkan kemanjaan kepada para peminat? Hendak bermanja biarlah bertempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan