Ahad, 13 April 2014

Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #2

Entri ini kronolgi sambungan dari entri sebelum ini Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #1; selamat membaca.   

  • 10 April 2014: Satu lagi isyarat akustik dari dasar laut dikesan oleh pesawat peninjau AP-3C Orion milik Australia. Isyarat 'ping' dipercayai dari perakam data kotak hitam dicerap setelah pesawat peninjau itu menurunkan berpuluh-puluh pengesan sonar di zon pencarian. Angus Houston Ketua Penyelaras JACC memberitahu isyarat itu merupakan penemuan kelima dan konsisten dengan isyarat yang dikeluarkan oleh kotak hitam seperti empat isyarat yang dikesan sebelum ini. Data isyarat baharu itu perlu dianalisis sekurang-kurangnya sehari namun kemungkinan besar datang dari peranti buatan manusia. Zon mengesan isyarat kotak hitam MH370 telah dikecilkan di Lautan Hindi kepada 57,923 kilometer persegi selepas dua isyarat baharu dikesan oleh kapal Ocean Shield. Lokasi tumpuan diberikan di kawasan Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat daya Perth. Tiada penemuan serpihan yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370. Australia mengesahkan isyarat pertama yang dikesan adalah konsisten dengan isyarat yang dikeluarkan oleh perakam data sebuah kotak hitam; isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada frekuensi 33.31 kilohertz serta berdenyut secara konsisten pada selang 1.106 saat. Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menyatakan isyarat yang dikesan di Lautan Hindi mengambil masa beberapa hari sebelum dapat disahkan ia merupakan isyarat dari kotak hitam MH370. Pengesahan tersebut penting untuk mengumumkan fasa baharu operasi mencari dan menyelamat. Selain itu, timbul 'teori' baru yang menyatakan ada kemungkinan MH370 mendarat sempurna di atas permukaan laut lalu tenggelam ke dasar Lautan Hindi. 
  • 11 April 2014: Pihak berkuasa Australia yakin mereka mengetahui lokasi kotak hitam pesawat MH370. Perdana Menteri Australia Tony Abbott amat yakin beberapa isyarat yang dikesan ketika operasi mencari di Lautan Hindi dalam kawasan seluas 100 kilometer persegi dihasilkan oleh kotak hitam pesawat itu. Isyarat terbaharu yang dikesan oleh sebuah boya pendengaran juga memberi petunjuk bahawa misi mencari pesawat MH370 tertumpu di kawasan yang betul. Namun begitu, Angus Houston berkata penelitian awal terhadap isyarat akustik yang dikesan oleh pesawat milik Tentera Diraja Australia AP-3C Orion menunjukkan ia tidak berkaitan dengan kotak hitam MH370; tidak ada penemuan besar dalam mencari pesawat MH370. Jepun dikatakan sedia membantu dan menawarkan kepakaran untuk meningkatkan tahap keselamatan ASEAN terutama di Malaysia berikutan insiden kehilangan MH370; negara-negara ASEAN perlu mengenal pasti punca dan langkah keselamatan yang perlu diambil pada masa hadapan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekod 205 keterangan daripada pelbagai pihak berhubung siasatan insiden kehilangan MH370. PDRM akan memanggil lebih ramai individu tetapi tidak akan mendedahkan hasil keterangan untuk mengelakkan timbul sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan laporan agensi berita CNN bahawa pada 8 Mac TUDM dikerahkan menghantar pesawat mencari MH370 setelah dilaporkan hilang sebelum pihak berkuasa Malaysia mengumpulkan data yang menunjukkan pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat daya. Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia mengesyorkan agar kerajaan membekalkan pesawat rondaan maritim bagi meningkatkan keupayaan TUDM dalam menjalankan rondaan dan menyelamat di lautan yang lebih luas pada masa depan. Kini, TUDM memiliki pesawat Maritim Domain Awareness seperti Beechcraff King Air 200 hanya sesuai digunakan untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan memandangkan jarak capaian pesawat itu tidak sampai ke Lautan Hindi manakala pesawat C130 tidak dilengkapi dengan peralatan mencari di dasar laut. Namun begitu, sebanyak tiga pesawat C130 terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat MH370; perjalanan pergi dan balik pesawat C130 mengambil masa lapan jam dan masa dua jam untuk mencari. 
Nota: Akhbar Moskovsky Komsomolets milik Rusia mengetengahkan 'teori' bahawa pesawat MH370 telah dirampas oleh beberapa pengganas dan disembunyikan di wilayah Kandahar, Afganistan berhampiran sempadan Pakistan. Pengganas bernama 'Hitch' yang memberi arahan kepada juruterbang. Agensi perisakan Rusia menyatakan kedua-dua juruterbang MH370 tidak bersalah. Pesawat MH370 dikatakan berada di sebuah jalan raya berhampiran kawasan pergunungan dan sayap kapal terbang tersebut patah mungkin kesan pendaratan pesawat yang tidak lancar. Semua penumpang pesawat itu selamat dan hidup tanpa makanan. Seramai 20 orang pakar Asia (Freescale Semikonductor) yang ada dalam pesawat itu ditahan dan disembunyikan di Pakistan. Akhbar The Indipendent pada 16 Mac telah melaporkan pesawat tersebut terbang ke sebuah kawasan yang dikawal oleh Taliban. 

4 ulasan:

  1. mohon dipermudahkan pencarian MH370.

    BalasPadam
  2. salam. kenapa lama x update blog? huhuhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'salam. Abe Kie, netbook yang saya gunakan untuk update blog ada masalah sikit. Ini saya baru ambil dari kedai komputer selepas kena format semula. Terima kasih Abe Kie datang melawat blog saya :)

      Padam