Rabu, 9 April 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #5

Entri ini tersimpan lama dalam draf dan baru selesai diedit maka diterbitkan juga dalam blog ini khususnya buat sesiapa yang menggunakan enjin carian google untuk mencari perihal kehilangan MH370 dan terjumpa blog ini.  Di bawah ini adalah sambungan dari Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #3 rentetan misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 pada hari kesebelas 18hb Mac 2014:
  • Operasi mencari dan menyelamat MH370 menumpukan empat tugas utama iaitu mengumpul maklumat dari radar dan satelit, analisis data radar, meningkatkan aset untuk mencari dan menyelamat serta penglibatan lebih ramai pakar teknikal. 
  • Tentera Thailand menyatakan bahawa radar tentera mengesan sebuah pesawat pada 8 Mac pukul 1.28 pagi yang dipercayai MH370 selepas beberapa minit sistem komunikasi pesawat tersebut dipadamkan. Thailand tidak berkongsi maklumat tersebut lebih awal dengan Malaysia kerana tidak diminta berbuat demikian lebih awal.
  • Indonesia pula memperhalusi radar di Aceh milik Angkatan Tentera Udara, Tentera Nasional Indonesia dan radar Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Kuala Namu di Medan.
  • Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa berkata, Jepun tidak akan menggantung operasi mencari dan menyelamat, sebaliknya kerajaan negara itu telah memberi lampu hijau agar misi ini diteruskan bersama Malaysia.
  • Biro Penyiasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam (BEA), Perancis yang diketuai oleh Jean-Paul Troadec telah menghantar tiga wakil termasuk pakar yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pencarian pesawat di dalam laut dari aspek telekomunikasi dan elektronik.
  • Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan iaitu KD Pahang dan KD Terengganu.
  • MH370 sengaja dilencongkan dari laluan asal telah diprogramkan melalui sistem navigasi pesawat berkenaan di dalam kokpit. Pegawai pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam akhbar New York Times berkata, sesiapa yang telah mengubah laluan penerbangan MH370 dipercayai telah menaip tujuh atau lapan kekunci pada komputer yang terletak di antara kapten dan pembantu juruterbang. Komputer tersebut dikenali sebagai Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) berfungsi membantu menerbangkan pesawat seperti yang dinyatakan dari satu titik laluan ke titik lain seperti yang tertera dalam pelan penerbangan yang dikemukakan sebelum berlepas tetapi tidak pasti adakah laluan MH370 diprogramkan sebelum atau selepas pesawat tersebut bertolak.
  • Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid tidak mempunyai pengalaman membawa kapal terbang ke koridor utara dan koridor selatan. 
  • Sistem stimulasi penerbangan yang dimiliki oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dilengkapi dengan perisian yang mengandungi semua landasan kapal terbang di seluruh dunia. Zaharie boleh melakukan penerbangan secara stimulasi ke destinasi yang dikehendaki dalam keadaan cuaca yang diingini. Bukan sesuatu yang ganjil apabila Zaharie mempunyai sistem stimulasinya sendiri kerana selain bertugas sebagai juruterbang kanan beliau juga seorang jurulatih penerbangan dan penilai juruterbang baharu. Beliau menggunakan stimulasi tersebut untuk melatih dan menajamkan kemahirannya dalam penerbangan. Beliau menggunakan sistem perisian Microsoft X Stimulator, tiga skrin definisi tinggi, pedal dan panel kawalan yang menyerupai kokpit sebuah pesawat. Pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid merupakan pelatih Zaharie dan sedang melengkapkan latihan penerbangan sebelum menerbangkan pesawat besar seperti Boeing 777-200. 
  • Malaysia bergantung kepada negara-negara di koridor utara dan koridor selatan yang mungkin dilalui oleh MH370 dan sekiranya satelit di negara-negara tersebut menerima 'input' yang menyamai MH370.
  • Pihak berkuasa maritim Australia (AMSA) telah mengecilkan kawasan pencarian di Selatan Lautan Hindi. John Young yang merupakan Pengurus Besar Bahagian Kecemasan AMSA menyatakan operasi pencarian telah dikecilkan kepada 600,000 kilometer persegi (230,000 batu persegi) iaitu hanya 3% daripada anggaran 19 juta kilometer persegi kawasan di Lautan Hindi. 
  • Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan sebanyak 77 kes rawatan pesakit luar dan kaunseling kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370 sepanjang sepuluh hari mereka ditempatkan di Hotel Everly. Dari jumlah itu, empat kes dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya yang membabitkan dua kes biasa, satu asma dan satu masalah serangan panik. Sebanyak 17 kes diberi rawatan intervensi-psiko-sosial bagi menangani masalah emosi. Dari 17 kes, satu kes perlu memerlukan rawatan lanjut dari aspek psiko-sosial iaitu Stress Induced Hyperventilation yang menunjukkan tanda keresahan yang amat teruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan