Buku ini karya Faisal Tehrani (2011) yang menghimpukan tiga drama pentas iaitu Rintih Chicago, Angin Madinah dan Derik Kerisik yang bertemakan perjuangan umat Islam yang ditindas di tiga buah negara ~ Amerika, Palestin dan Thailand. Di Amerika, hipokrasi itu hadir di sebalik demokrasi. Namun begitu, buku ini juga mengemukakan masalah dalaman umat Islam. Pertama, umat Islam yang leka dan membisu tatkala diserang melalui minda. Para remaja disusupi kelekaan dan hiburan. Para wanita khayal dengan seribu satu perhiasan. Ulama yang diam membisu dan pemimpin di negara-negara Islam yang tenggelam dalam kemewahan, memuja kebendaan dan mengabaikan umat. Hasilnya: rakyat yang dipimpin oleh pemerintah seperti itu cepat lupa. Pemimpin mendendangkan seribu satu macam kemajuan dan rakyat gila kesukaan. Faisal Tehrani (2011: 88) mengutip kata-kata Iqbal buat ingatan para pemimpin:
Tinggalkanlah kata-kata kosong dan carilah kedudukan kerohanian itu, sinarkanlah cahaya Allah ke atas kegelapan perbuatanmu, meskipun dibalut dengan kain raja, namun hidup bagai darwis yang hina, memiliki kekuasaan tanpa bimbingan dan sokongan agama samalah nilainya, dengan hamba yang hina.Kedua, umat Islam yang lemah jiwanya akibat menanggung kekecewaan dan perasaan putus asa implikasi dari peperangan yang berpanjangan. Ketiga, kegagalan umat Islam mendalami di sebalik sirah Rasulullah s.aw. terutama dalam usaha membina hubungan dengan Yahudi. Keempat, fahaman umat Islam yang salah terhadap pelaksanaan Islam yang berupaya menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri seperti isu Taliban di Afganistan:
... paksa orang memelihara jambang, memukul sesuka hati dan menghantar wanita-wanita kita ke dalam rumah tanpa memikirkan akan makan apa, tutup semua sekolah-sekolah ...Kelima, apabila terdapat pemimpin Islam sendiri yang sanggup bekerjasama dengan pemerintah bukan Islam untuk menjatuhkan umat Islam. Senario umat Islam ini membenarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
Setelah aku wafat dan lama aku meninggalkan umat Islam, mereka akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama-sama.
Maka para sahabat r.a. bertanya:
Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat? Sabda Baginda SAW: Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.
Sahabat bertanya lagi:
Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut? Jawab Rasulullah SAW: kerana mereka ditimpa penyakit al-Wahn.
Sahabat bertanya lagi:Apakah itu al-Wahn? Rasulullah SAW bersabda: cintakan dunia dan takut mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan