Sabtu, 15 Februari 2014

Kajian Gelagat Pengguna Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

Pada 16hb Januari 2014, aku di antara sepuluh ahli Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. yang terpilih mewakili keseluruhan penduduk Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri kajian mengenai gelagat pengguna di Tesco Sungai Petani Utara, 300, Jalan Heights, Lagenda Heights. Terlebih dahulu, petugas Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. menghubungi aku melalui telefon kira-kira seminggu sebelum tarikh event untuk mendapat persetujuan aku sama ada aku berminat menghadiri event tersebut atau tidak. 

Sebagai academician yang berkhidmat universiti, sudah tentulah aku berminat untuk menghadiri event tersebut. Event ini menambah pengalaman aku untuk memahami realiti bagaimana hypermarket khususnya Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. meneliti aspek gelagat pengguna dalam usaha memperbaiki aspek perkhidmatan dan penawaran barang-barang yang dijual di Tesco untuk memberi kepuasan para pelanggan. Sebelum ini pada peringkat ijazah sarjana muda, aku hanya mempelajari aspek teori gelagat pengguna dalam ekonomi. Di samping itu juga, setiap ahli Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. yang terpilih dan hadir ke event tersebut diberikan hadiah baucer Tesco bernilai RM70.00. Sungguh lumayan (◕ ◡ ◕).

Kajian tersebut hanya terhad kepada golongan wanita yang datang dari pelbagai latar belakang [usia, kerjaya, taraf pendidikan, taraf perkahwinan dan bilangan anak]. Kajian ini juga dibahagikan kepada tiga sesi berdasarkan kepada tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Justeru, sebagai wanita berbangsa Melayu, aku menghadiri event yang berlangsung pada 16hb Januari yang diadakan selama 1½ jam bermula pukul 6.00 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam. Mr. Sam merupakan pihak ketiga (wakil Tesco) melaksanakan event ini secara santai ala sembang petang di bilik mesyuarat tanpa disertai oleh suami (bagi yang berkahwin) dan anak-anak. Kajian ini meneliti dua aspek barang-barangan yang ditawarkan di Tesco iaitu barang basah dan juga barang kering. Kami semua difahamkan oleh Mr. Sam bahawa berdasarkan pendapat dan kritikan kami mengenai Tesco Sungai Petani beliau menyediakan laporan yang dikemukakan kepada ibu pejabat Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

Aspek harga dan kualiti barang yang dijual di Tesco Sungai Petani Utara merupakan isu utama yang dikemukakan oleh kami di samping isu perkhidmatan seperti cashier, kebersihan troli/bakul dan medan selera. Isu harga yang ketara ialah tindakan pihak Tesco yang menjual barang tidak menurut harga kilang yang telah dicatatkan pada barang. Contohnya, Tesco Sungai Petani Selatan menjual Gel Sugi keluaran Al-Meswak Mukmin Sdn. Bhd. pada harga RM3.20 walhal pengilang telah mencatatkan harga pengenalan RM2.29 pada hadapan tiub Gel Sugi. Selain itu, pihak Tesco juga tidak menjual sesetengah barangan berdasarkan promosi yang dilakukan oleh pihak pengilang.

Aspek paling penting yang perlu diberi perhatian ialah penjualan minuman keras di Tesco. Berdasarkan pemerhatian aku di Tesco Sungai Petani Utara dan Tesco Sungai Petani Selatan, kedua-dua cawangan Tesco di Sungai Petani ini menjual minuman keras. Walau bagaimanapun, Tesco Sungai Petani Utara di Lagenda Heights menjual minuman keras di dalam pasaraya dan di kedai Wain [kedudukan kedai Wain berhadapan dengan kaunter pembayaran]. Kedai Wain menjual minuman keras kategori wain namun minuman keras yang lain seperti Carlsberg, Heineken, Tiger Beer, Anchor dan lain-lain dijual di dalam pasaraya dan ditanda TIDAK HALAL diletak di rak bersebelahan dengan rak minuman dalam tin yang lain termasuk yang dikategorikan sebagai halal. 



Pada pandangan aku, pihak Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila menjual minuman keras di dalam pasaraya bersama-sama dengan barangan halal yang lain. Hal ini menyebabkan non-Muslim yang membeli minuman keras tanpa mengetahui hukum jual-beli minuman keras dari aspek Islam telah membawa minuman keras tersebut ke kaunter yang dijaga oleh cashier Muslim. Aku pernah melihat riaksi muka yang kurang senang seorang cashier wanita Muslim (tidak ditunjukkan secara jelas di hadapan pelanggan) apabila terpaksa mengurus jual-beli minuman keras jenama Carlsberg seorang pelanggan berbangsa Cina yang datang di kaunternya. Oleh itu, cashier wanita Muslim tersebut telah menjadi wakil Tesco Sungai Petani menjual minuman keras Calsberg kepada pelanggan terbabit. Hal ini berbeza di kedai Wain kerana kedai ini dijaga oleh cashier Tesco non-Muslim

Dalam hal ini, Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. perlu peka, menjaga dan menghormati sensitiviti masyarakat Muslim termasuk para pekerja Tesco yang beragama Islam. Jalan penyelesaian yang terbaik ialah minuman keras tanpa mengira jenama sewajarnya dijual di dalam kedai Wain dan kedai tersebut diberi nama baru seperti Beer & Wine dan diuruskan serta dijaga oleh para pekerja Tesco non-Muslim. Harapan aku moga entri ini turut memberi kesedaran kepada semua hypermarket lain yang beroperasi di Malaysia. Di bawah ini aku sertakan di antara ayat al-Quran dan hadis mengenai pengharaman arak (minuman keras) dalam Islam:
  1. "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Surah al-Maidah 5: 90-91). 
  2. Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. yang ketika itu berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram. Lalu baginda meneruskan kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut. (Sahih Muslim; hadis nombor 2960). 
  3. "Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak iaitu: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantar, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah).

6 ulasan:

  1. em..pihak pengurusan kena ambik tahu pasal arak ni..susah gk jdi cashier ni..

    BalasPadam
  2. salam,,,,,,berbalas kunjungan ke sini....dah follow jugak,,,,,,salam perkenalan..... =)

    BalasPadam
  3. salam. seharusnya minuman keras tak dijual di pasaraya tp cuma di kedai2 tertentu yg diuruskan oleh org bkn Islam...pemerintah kena tegas dlm hal ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'salam. Sangat setuju, ironi apabila pemerintah Malaysia berusaha gigih mempertahankan kalimah Allah.

      Padam