Rabu, 5 Februari 2014

Tips Peperiksaan Viva PhD

Peperiksaan viva [sebut: vaiva] atau di sesetengah universiti disebut juga sebagai final defense adalah untuk menguji kajian/tesis yang dikemukakan oleh calon untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD).  Dalam hal ini, semasa peperiksaan viva para calon PhD diminta untuk mempertahankan tesis mereka. Walau bagaimanapun, bukan semua universiti mengadakan peperiksaan viva contohnya, universiti-universiti di Australia. Calon PhD hanya perlu melakukan annual presentation di dalam fakulti untuk melaporkan progress dan juga mendapatkan maklum balas daripada audience yang hadir semasa pembentangan.
 
Tips pertama kepada calon PhD, semasa menulis tesis, sila sediakan senarai ahli-ahli akademik (masih hidup) dari pelbagai universiti yang berkaitan dengan bidang kajian yang dilakukan. Hal ini adalah kerana besar kemungkinan salah seorang dari senarai ahli-ahli akademik pelbagai universiti tersebut merupakan pemeriksa luar yang turut menganggotai mesyuarat komiti peperiksaan viva anda. Sila cari, baca dan kuasai artikel-artikel dalam jurnal, buku-buku, (tesis PhD – jika mudah diperolehi dan berkaitan dengan kajian anda) yang ditulis oleh ahli-ahli akademik tersebut dan masukkan bahan-bahan tersebut sebagai sumber rujukan tesis anda. Tips ini amat berkesan, ‘menyentuh hati’ pemeriksa luar dan membantu anda untuk lulus peperiksaan viva.

Tips kedua, selepas penyerahan tesis untuk pihak fakulti mengadakan peperiksaan viva, kepada calon PhD sila baca kembali tesis tersebut. Hal ini adalah untuk mengenal pasti kesilapan tesis yang masih ada walaupun calon PhD telah membaca dan membaiki tesis tersebut berkali-kali sebelum menyerah tesis untuk peperiksaan viva diadakan. Selepas mengenal pasti kesilapan yang masih ada, sila sediakan lampiran kesilapan (nombor halaman) dan diikuti dengan pembetulan/pembaikian yang telah dilakukan. Buat beberapa salinan lampiran tersebut dan bawa bersama semasa peperiksaan viva dijalankan untuk diserahkan kepada setiap ahli jawatankuasa peperiksaan viva anda. Tindakan ini mengurangkan serangan daripada pihak ahli jawatankuasa peperiksaan viva terhadap kesilapan yang ada di dalam tesis dan anda masih dapat mempertahankan tesis. Hal ini amat membantu jika kesilapan yang ada dalam tesis anda melibatkan data. Kesilapan data melayakkan anda mendapat major correction dan melalui cara ini dengan harapan ahli jawatankuasa mesyuarat peperiksaan viva anda boleh mengubah keputusan dari major correction kepada minor correction.

Semasa peperiksaan viva dijalankan, terlebih dahulu calon PhD diminta membentangkan kajian mereka sekitar 15 hingga 20 minit yang pertama kemudian diikuti dengan sesi soal jawab. Tips ketiga kepada para calon PhD: bentang kajian anda dan  jawab soalan ahli komiti dengan meyakinkan. Maksud meyakinkan di sini ialah calon PhD boleh menjawab soalan tanpa merujuk dan menyelak halaman-halaman tesis mereka.  Jangan buat lawak jenaka masa viva kerana tidak sesuai, gunakan intonasi suara dan beri penekanan pada butiran yang wajar diberi perhatian. Hal ini untuk mengelakkan “the research is interesting but the presentation is boring, it killed the research and the audience too".  

Tidak ada tempoh masa yang ditetapkan untuk mengadakan peperiksaan viva. Terdapat universiti yang mengadakan viva bagi calon PhD selama setengah jam atau satu jam atau tiga jam. Namun begitu, terdapat sesetengah kes, viva PhD diadakan sebanyak dua sesi. Selepas peperiksaan viva sesi pertama, peperiksaan viva ditangguhkan ke suatu masa yang dipersetujui bersama di antara ahli komiti.  Kepada calon Phd, nauzubillah (kami memohon perlindungan Allah) daripada perkara itu. Semakin lama tempoh peperiksaan viva bagi seseorang calon PhD dijalankan, ia menunjukkan tesis calon tersebut banyak masalah. Walau bagaimanapun, hal  ini bergantung juga dengan rezeki (luck) masing-masing kerana walaupun ada kesilapan dalam tesis tetapi pihak ahli jawatankuasa mesyuarat peperiksaan viva anda tidak mahu memperbesarkan kesilapan-kesilapan tersebut dalam peperiksaan viva. Sebaliknya memadailah calon PhD diberikan laporan pemeriksaan tesis oleh pemeriksa luar dan pemeriksa dalam agar calon dapat membuat pembaikian sebagaimana dicadangkan oleh kedua-dua pemeriksa tesis.

Pembentukan jawatankuasa peperiksaan viva bagi seseorang calon Phd ada politiknya walaupun bukan semua pembentukan jawatankuasa peperiksaan viva itu berkait rapat dengan politik di antara para pensyarah-pentadbir universiti. Jika betul susunan ahli-ahli jawatankuasa peperiksaan viva tersebut, maka ia turut membantu dan memudahkan calon PhD tersebut untuk lulus begitu juga sebaliknya. Aku mengatakan perkara ini dalam konteks PhD di Malaysia. 

Bersambung Penyediaan Slaid Untuk Peperiksaan Viva

14 ulasan:

  1. Oh begitu.. Abak tak tahu langsung perkara macam ni...hehehe.nice sharing!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya buat entri ini kerana ramai calon PhD yang masuk ke blog saya dengan kata kunci carian viva PhD atau viva UKM. Saya memberikan beberapa tips untuk dikongsi bersama.

      Padam
  2. cik misstree ambil Phd ke?..
    nice sharing, sangat berguna nie..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Al-hamdulillah. PhD saya sudah selesai pada 2012 :)

      Padam
  3. Alhamdulillah... sepanjang carian saya, pertama kali saya terjumpa dengan blog yang memberi input berguna... harap cik miss dapat menulis dan memberikan tips yang berguna kepada bakal doktorate ... sedikit kegundahan di hati dapat diredakan sebelum viva berlangsung... insyaAllah 2015 ni bakal menyaksikan sesuatu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya doakan Cik Puan Seroja berjaya dan lulus, insya-Allah :)

      Padam
  4. Salam,

    Maaf boleh saya tahu adakah thesis dan viva dalam bahasa melayu sepenuhnya? ada pilihan bahasa ke? contohnya untuk dibuat dalam english atau bahasa arab. Terima kasih.- dz

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'salam. Kebiasaannya, bahasa pengantar yang digunakan dalam peperiksaan viva bergantung kepada bahasa yang digunakan untuk menulis tesis. Pemeriksa luar (external examiner) dan pemeriksa dalam (internal examiner) yang dilantik oleh fakulti/universiti pasti boleh membaca dan memahami bahasa yang digunakan dalam penulisan sesebuah tesis. Mustahil mereka dilantik sebagai pemeriksa jika mereka tidak boleh membaca dan memahami bahasa yang digunakan dalam penulisan sesebuah tesis.

      Padam
    2. Terima kasih.
      Penulisan paper dalam bahasa dan viva juga dalam bahasa? Saya difahamkn penulisan paper dalam bahasa adalah wajib tetapi sekiranya nk ubah contohnya dalam english perlu buat permohonan bertulis..betul ke apa yg saya faham ini.

      Padam
    3. Kebiasaannya begitulah, jika tesis ditulis dalam bahasa Melayu maka viva juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Di UKM, tesis wajib ditulis dalam bahasa Melayu. Jika hendak menulis tesis dalam bahasa Inggeris seperti saudara nyatakan di atas, kena buat surat permohonan kepada dekan fakulti. Saya tak pasti peraturan di IPTA lain dalam Malaysia.

      Padam
    4. Salam,
      Terima kasih...saya amat menghargai information ini. Harap dapat dikongsi bersama. InsyaAllah.

      Padam
  5. Boleh terangkan mengenai gred bila dah habis viva macam lulus dengan B2...tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setelah lulus viva, penentuan gred berdasarkan:

      Gred A - calon membuat pembetulan yang perlu, jika ada.
      Gred B1 - calon lulus dengan pembetulan yang minima (minor correction) perlu disahkan oleh penyelia.
      Gred B2 - calon lulus dengan pembetulan yang besar/banyak (major correction) perlu disahkan oleh panel pemeriksa.

      Padam