Selasa, 4 Februari 2014

Adab Guru

Sudah lama aku hendak menulis mengenai garis panduan adab guru menurut perspektif ulama Islam. Aku perolehi garis panduan ini setelah membaca kitab bertajuk Adabul 'Alim Wa Al-Muta'alim karya Kiyai Haji Muhammad Hasyim Asy'ari (1871-1947), pengasas Nahdlatul Ulama Indonesia. Beliau menggariskan 20 adab yang harus dimiliki oleh setiap ahli ilmu iaitu:
  1. Sentiasa mendekatkan diri (muqarabah) kepada Allah s.w.t. dalam segala situasi dan keadaan.
  2. Takut (khauf) kepada murka Allah dalam setiap gerak, diam, perkataan dan perbuatan. Seorang alim (berilmu) itu pada hakikatnya adalah orang yang dipercayai dan diberi amanah oleh Allah s.w.t. melalui ilmu dan hikmah. Perbuatan meninggalkannya bererti pengkhianatan terhadap amanah yang telah dipikulkan ke atasnya. 
  3. Sakinah (bersikap tenang). Imam Malik pernah menulis surat kepada Khalifah Harun ar-Rasyid yang bermaksud "Jika engkau memiliki ilmu pengetahuan, maka tunjukkanlah sikap tenang, sopan dan wibawa sebagai manifestasi di atas ilmu pengetahuan yang engkau miliki itu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Ulama adalah pewaris nabi".
  4. Warak (berhati-hati dalam setiap perkataan dan perbuatan).
  5. Tawaduk (rendah hati/tidak menyombongkan diri). Umar al-Khattab berkata yang bermaksud: "Pelajarilah kalian akan ilmu pengetahuan dan pelajarilah juga sikap tenang dan ketundukan".
  6. Khusyuk kepada Allah s.w.t.
  7. Sentiasa berpegang kepada hukum Allah s.w.t. dalam setiap keadaan.
  8. Tidak menjadikan ilmu pengetahuan yang dimiliki sebagai jalan mencari keuntungan duniawi.
  9. Tidak merasa rendah diri di hadapan orang yang mempunyai kedudukan dan harta benda. Tidak terlalu mengagungkan mereka dengan sering berkunjung dan berdiri menyambut kedatangan mereka. Imam Malik menceritakan bahawa beliau pernah mengunjungi kediaman Khalifah Harun ar-Rasyid dan khalifah itu berkata kepadanya: "Wahai Abu Abdillah, alangkah baiknya jika engkau sering berkunjung ke sini sehingga putera-putera kami dapat belajar kitab 'al-Muwattha darimu". Imam Malik berkata kepada putera-putera Harun ar-Rasyid: "Semoga Allah memuliakan baginda (Harun ar-Rasyid), sesungguhnya ilmu pengetahuan ini berpunca daripada diri kalian sendiri. Jika kalian memuliakannya nescaya ia akan menjadi mulia. Sebaliknya, jika kalian merendahkannya maka ia akan menjadi rendah (hina). Maka ketahuilah, ilmu pengetahuan itu tidak mendatangi, tetapi didatangi (dipelajari). Harun ar-Rasyid berkata, "Engkau benar" dan menasihati putera-puteranya, "Wahai putera-puteraku, pergilah kalian ke masjid dan belajarlah bersama yang lain".
  10. Zuhud (tidak mencintai kesenangan duniawi) dan rela hidup sederhana (tidak dilimpahi dengan harta kekayaan) sekadar mencukupi keperluan diri dan keluarganya. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Amat mulia orang yang bersikap qana'ah (redha menerima ketentuan Allah s.w.t.), dan amatlah hina orang yang bersikap tamak (serakah)."
  11. Menjauhi pekerjaan yang dianggap hina menurut pandangan adat dan syariat.
  12. Menghindari tempat yang dapat menimbulkan fitnah serta meninggalkan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan menurut pandangan umum walaupun tidak ada larangan menurut syariat Islam demi menjaga martabat dan harga diri.
  13. Menghidupkan syiar Islam seperti mendirikan solat berjemaah di masjid, menyebarkan salam kepada orang lain, menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan penuh kesabaran.
  14. Menegakkan sunnah Rasulullah s.aw. dan memerangi bida'ah serta memperjuangkan kepentingan umat Islam menggunakan kaedah yang menarik dan mesra masyarakat.
  15. Menjaga hal-hal yang sangat dianjurkan dalam syariat Islam seperti memperbanyakkan membaca al-Quran, solat dan berpuasa, berzikir, berdoa, menyegerakan menunaikan ibadah haji sekiranya mampu, melazimkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. sebagai ungkapan rasa cinta dan penghormatan kepada Baginda.
  16. Bergaul dengan masyarakat dengan akhlak yang terpuji.
  17. Menyucikan jiwa dan raga daripada akhlak yang tercela dan menghiasi jiwa dan raga dengan akhlak yang mulia.
  18. Berusaha mempertajamkan ilmu dan amal melalui ijtihad, menelaah, muzakarah, membuat catatan, menghafal dan melakukan perbahasan. Dalam kitab Sahih Muslim, dari Yahya bin Kathir, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Ilmu pengetahuan tidak akan diperolehi (dipertahankan) oleh tubuh yang selalu santai (berehat)."
  19. Tidak segan mengambil faedah (ilmu) yang belum diketahui dan difahami daripada orang lain tanpa memandang perbezaan kedudukan, keturunan dan usia.
  20. Meluangkan sebahagian masa untuk kegiatan menulis (mengarang atau menyusun kitab) untuk mengasah ketajaman dan kematangan intelektual.
Wallahu'alam.

6 ulasan:

  1. salam. satu panduan berguna kpd guru spt biasa. thanks..

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah... Abak sngt suka bila yang ada bkongsi ttg guru.. In Shaa Allah usaha untuk amalkannya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, moga ramai yang beroleh manfaat. :)

      Padam
  3. Jadi guru bukan semata2 kerana nama.

    P/S: Blogwalking

    BalasPadam