Sutrah bermaksud sesuatu objek yang dijadikan sebagai sempadan kawasan solat atau penghalang. Boleh menggunakan pelbagai objek untuk dijadikan sutrah seperti batu, tongkat, tiang atau membuat garisan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Apabila seseorang di antara kamu ingin bersolat, hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu. Sekiranya tiada, letaklah tongkat. Sekiranya tiada, buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapannya. (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Hibban).
Hikmah penggunaan sutrah adalah untuk memusatkan pemikiran individu yang sedang bersolat tanpa diganggu oleh individu-individu yang lalu-lalang di hadapannya. Penggunaan sutrah juga bertujuan memberi tanda bahawa orang itu sedang solat. Jarak di antara kaki dan sutrah adalah kira-kira tiga hasta (siku sehingga hujung jari tengah) termasuk ruang untuk sujud.
Penggunaan sutrah disyariatkan bagi solat berjamaah dan juga solat bersendirian sama ada di masjid, surau, rumah atau di ruang yang lapang. Sutrah digunakan semasa melaksanakan solat fardhu dan solat sunat. Ketika solat berjamaah, sutrah berada di hadapan imam. Dalam hal ini, sutrah bagi makmum mengikuti sutrah bagi imam, maka dibolehkan melintasi di hadapan makmum apabila ada keperluan seperti batal wuduk. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersolat itu mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang yang sedang solat), nescaya untuk berhenti selama 40 tahun adalah lebih baik baginya daripada meneruskan lalu-lalang di hadapan orang yang sedang solat itu". Berkata perawi hadis, "Aku tidak pasti sama ada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun". (Riwayat Bukhari).
Secara keseluruhannya, para ulama bersepakat bahawa meletakkan sutrah di hadapan ketika sedang solat hukumnya adalah sunat tidak sampai ke tahap wajib. Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada tujuan dan hikmah penggunaan sutrah, ternyata meletakkan sutrah ketika sedang solat merupakan perkara sunat yang dituntut. Wallahu'alam.
salam. kdg2 ada org melintas di depan sy semasa sy solat...geram jugak dibuatnya..
BalasPadamWa'salam. Sebab itulah kenapa perlu guna sutrah :)
Padamthanks share.. lepas ni sama2 beringat..
BalasPadamYou are welcome, insya-Allah lepas ni sama-samalah kita beringat :)
Padam