Jumaat, 11 April 2014

Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #1

Di bawah ini adalah ringkasan kronologi kehilangan MH370 buat tatapan anda semua:
  • 8 Mac 2014: Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200 membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi pada hari yang sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang dari radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
  • 10 Mac 2014: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berikrar bahawa Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.
  • 11 Mac 2014: Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warganegara Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad berusia 19 tahun dan Delavar Seyed Mohammad Erza berumur 29 tahun.
  • 13 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat jam selepas ia hilang dari skrin radar. China menyatakan tidak ada bukti objek terapung yang dikesan oleh satelit di Laut China Selatan pada hari Ahad yang berkaitan dengan pesawat MH370. Pihak berkuasa China berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.
  • 15 Mac 2014: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak tidak dapat mengesahkan laporan pesawat MH370 dirampas dan operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan dihentikan.
  • 16 Mac 2014: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003. PDRM mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
  • 17 Mac 2014: Operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan koridor selatan.
  • 20 Mac 2014: Perdana Menteri Australia Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada pukul 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan kehilangan MH370. Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan objek yang dikesan oleh AMSA di Autralia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.
  • 22 Mac 2014: Satelit China mencerap imej terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.
  • 24 Mac 2014: PDRM telah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370. Pada pukul 10 malam, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah Lautan Hindi, barat daya Perth. 
  • 25 Mac 2014: Pengerusi Malaysia Airline System (MAS) berkata, MAS mengisytiharkan pesawat MH370 bersama-sama 239 orang penumpang serta anak kapal sebagai 'hilang' berdasarkan bukti daripada Inmarsat dan Air Accidents Investigation Branch (AAIB) di United Kingdom. Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberi jaminan Australia akan meneruskan usaha pencarian MH370. Semua muka depan akhbar arus perdana di Malaysia dicetak hitam putih sebagai tanda media berkabung dengan berita tragedi yang menimpa pesawat MH370. 
  • 26 Mac 2014: Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa penumpang dan anak kapal MH370 dikategorikan sebagai orang yang hilang (mahquq) maka solat jenazah ghaib bagi penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang beragama Islam tidak perlu dilakukan sekarang kerana Kerajaan Malaysia masih mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan. Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perlu dilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta pusaka dan lain-lain yang melibatkan waris si mati. Imej satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.
  • 29 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menasihati media antarabangsa agar tidak menyebarkan spekulasi maklumat palsu atau membuat spekulasi berhubung kehilangan MH370.
  • 30 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia mengeluarkan transkrip perbualan terakhir di antara pegawai trafik udara dan kokpit pesawat MH370 pada 8 Mac jam 01.19 pagi (waktu Malaysia) iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong".
  • 1 April 2014: Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan transkrip penuh perbualan radiotelefon di antara juruterbang MH370 dan pegawai trafik udara tanpa petunjuk sebarang perkara yang tidak normal.
  • 2 April 2014: Sebuah kapal selam kelas Trafalgar, HMS Tireless tiba di Selantan Lautan Hindi. Polis Diraja Malaysia mendapati semua penumpang Malaysia yang hilang 'bersih' daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
  • 3 April 2014: Operasi mencari dan menyelamat MH370 meliputi kawasan kira-kira 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat laut Perth, Australia. Operasi pusat media mengenai kehilangan MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dihentikan mulai 8 April 2014. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berkata teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan di Selatan Lautan Hindi memandangkan hayat pinger bateri kotak hitam akan tamat dalam tempoh empat hari. Malaysia dan Astralia berikrar akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 tanpa had garis masa. Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) menyatakan tiada sebarang objek dikesan di kawasan pencarian hari ini.
  • 4 April 2014: Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr. Hasan Mad meminta media tempatan agar proaktif menangkis semua laporan negatif dan tidak tepat yang dikeluarkan oleh media antarabangsa. Australia berkata pihaknya sedang merangka satu perjanjian komprehensif untuk berkhidmat sebagai 'wakil bertauliah' dalam penyiasatan mengenai kehilangan MH370. Angus Houston Ketua Penyelaras JACC berkata perjanjian itu membolehkan Australia membantu Malaysia dalam menjalankan penyiasatan mengenai Penerbangan MH370 berlandaskan undang-undang antarabangsa. Usaha menjejaki pesawat MH370 kini diperluaskan kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi.
  • 5 April 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas bagi mengetuai pasukan penyiasatan merangkumi kumpulan layak terbang, kumpulan operasi serta kumpulan perubatan dan faktor manusia bagi menyiasat kehilangan MH370. Pasukan itu turut disertai oleh negara bertauliah seperti Australia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Kerajaan Malaysia juga mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Aset dalam usaha memperkemaskan serta memperkukuhkan usaha berterusan mencari MH370. Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia juga berkata penyiasatan ke atas anak kapal MH370 masih berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan. Alat pengesan kotak hitam yang digunakan oleh kapal peronda China Haixun 01 telah mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.
  • 6 April 2014: Pencarian MH370 dipertingkatkan di selatan Lautan Hindi membabitkan 112 pesawat dan 13 kapal meliputi kawasan seluas 134,000 batu persegi. Lagi satu isyarat akustik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat akustik yang dikesan oleh Haixun 01. Kotak hitam MH370 akan mengeluarkan frekuensi getaran pada 37.5 kilohertz apabila pesawat terhempas. Haixun 01 mengesan frekuensi 37.5 kilohertz pada 4 April dan 5 April. JACC belum mengesahkan sama ada isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01 dan Ocean Shield adalah dari kotak hitam pesawat MH370.
  • 7 April 2014: Tiga isyarat akustik termasuk yang dikesan oleh Ocean Shield milik Tentera Laut Diraja Australia merupakan petunjuk terbaik yang dapat membantu memperkecilkan kawasan pencarian kotak hitam pesawat MH370. Kapal Ocean Shield mengesan isyarat aksutik yang pertama berlanjutan selama 2 jam 20 minit manakala isyarat kedua selama 13 minit. Operasi mencari dan menyelamat MH370 kini tertumpu di kawasan tiga isyarat getaran yang dikesan. PDRM telah merakam 180 percakapan bagi membantu siasatan berdasarkan empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airline System Ahmad Jauhari Yahya akan melepaskan jawatan selepas siasatan terhadap insiden kehilangan MH370 selesai. 
  • 8 April 2014: Operasi menjejaki isyarat getaran dari kotak hitam pesawat MH370 diperhebatkan bagi mengenal pasti lokasi tepat kehilangan pesawat MH370 bagi membolehkan dron penyelam dasar laut Bluefin-21 milik Amerika Syarikat digunakan. Peralatan itu digunakan sekiaranya terdapat lebih banyak isyarat dapat dikesan. Pencarian berdasarkan visual menyebabkan proses pencarian kotak hitam akan mengambil masa yang panjang. Ketua Penyelaras JACC Australia Angus Houston berkata tidak ada lagi isyarat getaran yang dikesan setelah Ocean Shield mencerap isyarat tersebut kali terakhir pada 7 April. Isyarat yang dapat dikesan itu adalah petunjuk terbaik tetapi frekuensi itu mungkin boleh berubah kerana tekanan dasar laut dan jangka hayat bateri yang semakin lemah.
  • 9 April 2014: Dua lagi isyarat akustik telah dikesan oleh kapal Ocean Shield pada frekuensi 33.31 kilohertz disahkan dari kotak hitam perakam data penerbangan; peranti buatan manusia. Isyarat pertama dicerap secara berterusan selama 5 minit 32 saat diikuti isyarat kedua berterusan selama 7 minit. Insiden kehilangan MH370 akan dijadikan contoh kajian kes yang akan dibincangkan dalam Persidangan Pertubuhan Akademi Kepolisan Antarabangsa yang bermula 21 April selama empat hari di Putrajaya, Malaysia. Kemasukan pelancong China ke Malaysia terjejas ekoran kehilangan pesawat MH370. Kebanyakan pelancong China telah membatalkan lawatan mereka ke Malaysia malah tidak ada 'tempahan penerbangan' direkodkan bagi penerbangan China ke Malaysia. Segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang dijadualkan akan diadakan di China terpaksa ditangguhkan. Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, "... selagi tidak berpenghujung (insiden) MH370 ini, saya tidak fikir kesesuaian untuk kita meneruskan kempen di negara China."

Nota: Jumlah keseluruhan kos operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 sudah melebihi RM164 juta. Hal ini menjadikan operasi ini paling mahal dalam sejarah nahas penerbangan setakat ini. Kos mencari pesawat MH370 yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia telah mencecah RM97.7 juta. Kos yang ditanggung oleh Kerajaan Jepun berjumlah US$8.8 juta (RM28.7 juta) dari aspek penggunaan pelbagai aset milik negara Jepun untuk membantu Malaysia mencari pesawat MH370. Kos operasi kapal HMAS milik Australia yang digunakan dalam operasi ini untuk tempoh dua minggu berjumlah RM1.8 juta sehari. Kos kapal HMAS Toowoomba yang digunakan minggu lalu berjumlah RM1.25 juta sehari. Jumlah keseluruhan kos kedua-dua kapal itu setakat ini berjumlah RM32.8 juta. Selain itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah memperuntukan RM11.81 juta untuk kegunaan pengesan pinger ditunda dan dron dasar laut untuk mengesan kotak hitam milik MH370. 

6 ulasan:

  1. semoga misteri kehilangan MH370 akan terungkai sekejap lagi...

    BalasPadam
  2. so far cuma isyarat je yg jumpa.. kapal x jumpa2 lagi.. misteri sungguh..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Usahkan kapal, serpihannya pun tak jumpa lagi, peliklah kisah MH370 menghilangkan diri (bagi saya bukan "kehilangan MH370"). Nak komen lebih-lebih, tak fasal kita kena tahan dek SKMM dan PDRM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Saya menulis berdasarkan fakta sajalah.

      Padam
    2. hahahaha.. betol2.. x cakap or tulis lebih2, kang x pasal kena...

      Padam
    3. Saya tidak bergurau dalam hal ini. Kita sebagai rakyat Malaysia masing-masing mempunyai pandangan dalam hal ini walhal maklumat yang dikatakan sah, rasmi, tepat dan sahih hanya daripada Kerajaan Malaysia. Masalah utama apabila pandangan atau buah fikiran itu disebarkan kepada khalayak umum seperti melalui internet dan ia bertentangan dengan maklumat yang dikatakan sah, rasmi, tepat dan sahih hanya daripada Kerajaan Malaysia. Saya akur dengan undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Malaysia kerana saya warganegara Malaysia yang bertanggungjawab yang perlu meletakkan pertimbangan dalam hal kedaulatan dan maruah negara Malaysia yang turut menjadi sebahagian dari maruah saya. Sungguh memalukan jika saya seorang Muslim yang mempelajari bidang ilmu politik di universiti malah mengajar pula bidang ilmu politik di universiti bertindak secara melulu seperti orang yang tidak berfikir dan mempunyai hati nurani. Saya tidak kisah sesiapa sahaja yang membaca pendapat saya ini melabelkan "saya sangat serius" atau apa saja yang berada dalam fikiran anda.

      Padam