Jumaat, 18 Julai 2014

HARI UNTUK TAHUN YANG TRAGIK BUAT MALAYSIA: Pesawat MAS MH17 Terhempas Di Ukraine

Dalam tempoh 132 hari selepas insiden kehilangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, hari ini Malaysia dikejutkan oleh berita pesawat MAS Boeing 777-200 MH17 yang terhempas di ladang gandum di perkampungan Grabovo, Donetsk, Ukraine. Rakyat Malaysia masih terasa dengan kehilangan MH370 yang sehingga kini Kerajaan Malaysia masih tidak putus asa untuk berusaha mencari MH370. 

Pesawat MH17 membawa 298 orang penumpang termasuk 15 orang anak kapal berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 18 Julai 2014 pukul 6.10 pagi. Pesawat MH17 telah ditembak oleh pro-Russia menggunakan pelancar peluru berpandu anti-pesawat SA-11 (dikenali sebagai peluru berpandu Buk di Russia) dari darat ke udara di pekan Shakhtarsk bahagian timur negara Ukraine. Malaysia Airlines System (MAS) telah menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang menjelaskan ATC telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 14.15 waktu tempatan pada kedudukan 30 kilometer dari Tamak dan kira-kira 50 kilometer sempadan Rusia-Ukraine. Kotak Hitam MH17 telah ditemui dan dihantar ke Moscow untuk siasatan. 

Sehingga insiden MH17, Malaysia masih mengekalkan laluan perjalanan dari Eropah ke Kuala Lumpur melalui ruang udara Ukraine ekoran pengesahan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyatakan ia adalah laluan yang selamat dan tidak tertakluk kepada sekatan walaupun Ukraine sedang mengalami pergolakan politik ekoran tindakan Rusia melakukan campur tangan politik ke atas Ukraine. Pihak berkuasa Ukraine memberi jaminan keselamatan bahawa ruang udara Ukraine berada dalam keadaan selamat pada aras ketinggian 30,000 meter namun ketika MH17 ditembak, pesawat itu terbang pada aras ketinggian 10,000 meter. Walau bagaimanapun, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko percaya pesawat Malaysia terhempas bukan disebabkan oleh kemalangan atau bencana sebaliknya disebabkan oleh tindakan pengganas yang menembak jatuh pesawat MH17.

Dalam pentadbiran Vladimir Putin, beliau cuba membawa Rusia kembali aktif berhadapan dengan Amerika. Konflik di Ukraine telah meletakkan Amerika dan Rusia berhadapan di antara satu sama lain apabila Amerika mengambil tindakan menyokong penentang-penentang kerajaan di Kiev. Kerajaan Kiev yang dipimpin oleh pro-Kremlin dan mendapat sokongan Rusia telah tumbang. Kerajaan baru Ukraine sebaliknya memberi sokongan kepada Amerika. Hal ini menyebabkan Moscow bertindak menyokong Crimea yang mempunyai majoriti penduduk Rusia untuk berpisah daripada Ukraine. Crimea adalah republik autonomi Ukraine yang berkedudukan mengadap Laut Hitam. Sehingga 1954, Crimea merupakan sebahagian daripada Rusia namun Crimea telah diberikan kepada Ukraine.


Konflik di Ukraine yang mencetuskan ketegangan di Semenanjung Crimea telah menimbulkan bantahan oleh negara-negara Eropah. Ketegangan itu berlaku kerana tindakan Kremlin yang semakin rancak membawa masuk tentera ke wilayah Ukraine. Dalam hal ini, Rusia memberi sokongan kepada Viktor Yanukovych. Parti politik pro-Kremlin yang telah terlucut dari kerusi presiden pada 23 Februari 2014 telah kembali mengumumkan bahawa Viktor Yanukovych adalah Presiden Ukraine yang sah. Dmitry Medvedev, Perdana Menteri Ukraine turut mengeluarkan kenyataan yang sama dan menjelaskan bahawa Kremlin tidak mengakui pemerintahan baru Ukraine yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Arseniy Yatsenyuk. Presiden Rusia, Vladimir Putin mempertahankan Ukraine untuk masuk dalam lingkaran Rusia walaupun fakta sejarah menunjukkan Ukraine telah merdeka dari Soviet Union pada 1 Disember 1991. Kini, Rusia dan Ukraine saling menyalahkan di antara satu sama lain atas kejadian yang menimpa MH17. 

P/S: Aku mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menembak jatuh pesawat awam komersial. Takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal MH17.

6 ulasan:

  1. Nilah nama gajah sama gajah bergaduh, kancil tersepit di tengah-tengah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Secara tidak langsung, Malaysia terheret sama dalam kancah politik di antara Rusia dan Ukraine.

      Padam
  2. sama ada mas ada something atau malaysia jadi kambing hitam ... harap tak cetuskan peperangan ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada sesetengah pihak menyatakan Perang Dunia Ke-3 akan bermula dari Ukraine. Peperangan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.

      Padam
  3. kita diuji dengan situasi yg melibatkan kapal terbang.. dengan kes MH370 yg masih belum selesai, muncul pula kes MH17

    BalasPadam