Isnin, 24 Oktober 2011

Hari Pembalasan

Sumber: PTS
Buku ini membincangkan perihal hari akhirat untuk membalas semua perbuatan manusia semasa berada di dunia. Umat Nabi Muhammad s.a.w. merupakan umat pertama yang dihisab. Terdapat enam persoalan penting yang ditanya oleh Allah kepada manusia iaitu keimanan, amanah, (mata, telinga dan hati), (umur, ilmu dan harta), nikmat Allah serta (janji dan sumpah). Walau bagaimanapun, orang pertama yang dihisab dan diadili ialah pertama, lelaki yang mati syahid; kedua, diikuti orang yang belajar ilmu serta mengajar ilmu yang dimiliki dan pandai membaca al-Quran; ketiga, orang yang diluaskan rezeki oleh Allah. Terdapat golongan yang masuk syurga tanpa hisab iaitu golongan yang bertawakal kepada Allah, golongan yang sentiasa menunaikan solat malam, para ulama yang mengamalkan ilmunya, golongan yang berjuang menegakkan agama Allah dan golongan yang suka memaafkan orang lain. Perihal pejuang agama Allah dan orang yang suka memafkan orang lain dinyatakan melalui sabda Rasulullah s.a.w.:
Apabila semua hamba berdiri menanti hisab masing-masing, datang satu kaum sambil meletakkan pedang di leher mereka yang berlumuran darah. Mereka pun bersesak memenuhi pintu syurga. Kemudian ada yang bertanya, 'Siapakah mereka itu?' Lantas dijawab, 'Mereka adalah para syuhada yang dahulu sudah gugur. Mereka hidup di sisi Rabb-nya dengan mendapat curahan rezeki. Kemudian ada suara yang memanggil, 'Orang yang pahalanya ada pada Allah perlu berdiri dan masuk ke dalam syurga!' Dia menyeru untuk kali kedua, 'Orang yang pahalanya ada pada Allah perlu berdiri dan masuk ke dalam syurga!' Lantas ada yang bertanya, 'Siapakah mereka yang pahalanya ada pada Allah itu?' Nabi berkata, 'Mereka adalah orang yang suka memaafkan orang lain'. Kemudian, Allah memanggil untuk kali ketiga, 'Orang yang pahalanya ada pada Allah perlu berdiri dan masuk ke dalam syurga!' Kemudian, beberapa ribu orang pun berdiri dan mereka masuk syurga tanpa hisab (Riwayat At-Tabrani).
Setiap amalan orang yang hidup di dunia sama ada baik atau jahat diletakkan di atas mizan untuk mengukur perbezaan amalan baik dan jahat yang dilakukan oleh setiap individu. Mizan terdiri daripada dua piring iaitu piring cahaya dan cahaya kegelapan yang diwujudkan dan ditegakkan di hadapan Allah. Piring cahaya diletakkan di sebelah kanan Arasy mengadap ke arah syurga manakala piring kegelapan diletakkan di sebelah kiri Arasy mengadap ke arah neraka. Salman al-Farisi berkata 'sekiranya langit dan bumi diletakkan di dalam mizan, neraca-neraca itu mampu menampungnya' manakala surah al-Zalzalah ayat 7-8 menyatakan:
Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, pasti dilihat dalam surat amalnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarat, pasti dilihat dalam surat amalnya
Semua amalan orang bukan Islam turut diletakkan di atas mizan (piring kegelapan) namun tujuannya adalah untuk menghina mereka kerana tanpa keimanan kepada Allah setiap amalan kebaikan tidak ada nilai di sisi Allah. Mereka dihantar ke neraka bersama-sama Tuhan yang mereka sembah tanpa perlu melalui titian sirat. Hal ini berbeza dengan orang Islam yang mesti melalui titian sirat yang tajam seperti pedang dan lebih halus dari rambut. Keadaan seseorang Muslim melalui titian sirat dan selamat masuk ke dalam syurga adalah bergantung kepada amalan mereka semasa berada di dunia.

Dalam buku ini juga, penulis memberikan panduan agar selamat melintasi titian sirat iaitu istiqamah berjalan di atas titian sirat dunia iaitu tetap berpegang teguh pada tali Allah. Dalam hal ini, penulis menyatakan istiqamah ialah:
Beristiqamah bukan bermakna melarang diri daripada mengikuti sebarang perubahan, dengan alasan takut hidupnya tidak istiqamah lagi. Sekiranya hal ini berlaku, bererti terdapat salah faham pada makna istiqamah itu sendiri. Istiqamah perlu difahami sebagai sikap berteguh hati dan konsisten, bukan bersikap statik ataupun tidak ada perubahan.
... Makna istiqamah lebih hampir kepada erti kestabilan dan pada masa yang sama bermaksud dinamik.
Istiqamah itu menuntut agar setiap individu Muslim mengingati Allah sepanjang hayat. Selain itu, sentiasa bertaubat (nasuha) setelah melakukan kesilapan atau kerana faktor kejahilan dan berusaha meraih rahmat Allah kerana ia merupakan kunci untuk seseorang Muslim masuk ke dalam syurga. Seseorang itu tidak dimasukkan ke syurga kerana amalan yang dilakukannya namun penyebab utama ialah rahmat (belas kasihan, kurnia atau pemberian) Allah namun usaha memperolehi rahmat Allah turut menuntut ketaatan dan kepatuhan daripada seseorang hamba kepada Allah. Hal ini dinyatakan dalam al-Quran:
 Jangan kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya dan berdoa kepada-Nya dengan perasaan bimbang serta penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik (al-A'raf: 56).      

Selasa, 18 Oktober 2011

Nabi Khidir: Di Balik Tabir Laduni


Aku membeli buku ini kerana aku ingin mendalami apakah yang dikatakan sebagai ilmu laduni? ~ seorang ex-classmate semasa Tingkatan 6A1 di SMKS telah memberi komen terhadap statusku di facebook dalam tahun 2009 iaitu "semoga kita dianugerahkan ilmu laduni seperti salafus soleh".

************************************************

Harun Arrasyid Hj Tuskan (2011) mengisahkan Nabi Khidir yang dianugerahkan ilmu laduni di mana "Dia dinamakan Khidir kerana di mana-mana pun dia melaksanakan solat, maka sekitarnya menjadi hijau". Pelbagai teori dikemukakan oleh pengkaji untuk menjawab persoalan mengenai siapakah Khidir.  Pengkaji memutuskan bahawa Khidir ialah seorang nabi yang diutuskan kepada kaumnya. Buku ini berkisarkan pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir ekoran daripada peristiwa Nabi Musa yang telah menjawab soalan yang ditanya oleh kaumnya. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: Pada suatu ketika Musa a.s. berdiri untuk berkhutbah di tengah-tengah Bani Israel, lalu dia ditanya: "Siapa orang yang paling tahu?" Nabi Musa a.s. menjawab: "Aku". Lalu Allah mencelanya kerana tidak mengembalikan ilmu yang dimilikinya kepada Allah dan berkata kepada Musa a.s.: "Akan tetapi aku memiliki seorang hamba di pertemuan dua laut yang lebih mengetahui daripadamu" (Riwayat al-Bukhari).
Walau bagaimanapun,  peristiwa pertemuan di antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir telah membawa kepada pemahaman dan pembahagian agama kepada dua bahagian. Kumpulan batiniah (sufi) membahagikan agama kepada zahir dan batin (laduni). Nabi Musa a.s. memiliki ilmu zahir yang disifatkan sebagai ilmu syarak di mana cakupannya sekitar hukum zahir dalam maqam syarak. Ilmu hakikat atau ilmu batin (laduni) dimiliki oleh Khidir yang merupakan hasil daripada batin dan cahaya-cahaya yang berasal daripada Allah yang menjadikannya dapat mengetahui hakikat pelbagai perkara sama ada zahir atau batin. Kumpulan batiniah meletakkan kedudukan ilmu laduni atau ilmu hakikat lebih utama daripada ilmu wahyu (syariat).  Dalam hal ini, kumpulan batiniah meletakkan pelepasan terhadap diri mereka daripada syariat zahir. Oleh itu, walapun wahyu kenabian telah terputus dengan wafatnya Rasulullah s.a.w. namun ilham batiniah masih berlangsung kerana Khidir yang merupakan syeikh pertama disifatkan sebagai masih hidup.* Sehubungan itu, banyak tindakan golongan batiniah janggal dilihat dari segi zahir tetapi mereka menetapkan ia adalah benar dari sudut batin.

Kesimpulannya buku ini menetapkan ilmu laduni yang hakiki ialah al-Quran. Pengkaji mengemukakan hujah daripada dalil al-Quran yang menolak dakwaan kumpulan batiniah. Di antaranya:
Dan sesungguhnya kamu benar-benar diberi al-Quran daripada sisi (ladun) Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui [Al-Naml 27:6].
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu daripada sisi (ladunna) Kami satu peringatan (al-Quran) [Taha 20:99].
(Inilah) suatu kitab yang ayat-ayat-Nya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan daripada sisi (ladun) Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui [Hud 11:1].
Ilmu yang dimiliki oleh manusia seperti titisan air di dalam lautan ilmu Allah. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:
Dan seandainya pokok-pokok di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambah kepadanya pena dan laut (menjadi tinta), ditambah kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (keringnya), nescaya tidak akan habis (ditulis) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana [Luqman 31:27].
Dan tidaklah kamu diberikan pengetahuan melainkan sedikit [Al-Isra' 17:85].

Nota tapak kaki:
* Dalam hal ini, hasil penelitian pengkaji mendapati Nabi Khidir telah wafat sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diangkat oleh Allah untuk menjadi rasul.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Al-Kuliyyah TV3: Baik Sangka

Pada petang hari Jumaat 14 Oktober 2011, aku menonton rancangan Al-Kuliyyah di TV3. Perbincangan dalam rancangan al-Kuliyyah pada kali ini berkisar persoalan baik sangka. Aku tidak setuju dengan kenyataan ahli panel:
Tindakan seorang perempuan meminta cerai daripada suaminya dengan alasan suaminya jahat adalah tidak wajar kerana Asiah isteri kepada Firaun sangat bersabar dengan sikap suaminya walhal Firaun adalah sejahat-jahat manusia. 
Aku amat hairan dan pelik dengan kenyataan panel ini. Seorang isteri berhak menuntut fasakh di mahkamah syariah atas sebab suaminya seorang yang nusyuz - dalam kategori 'jahat' atau tidak mampu menunaikan nafkah zahir dan batin.  Selain itu, ketaatan seorang isteri terhadap suaminya ada batasannya. Seorang isteri juga perlu memelihara dirinya dari sebarang perkara yang berupaya membinasakan dirinya.  Al-Quran menjelaskan perkara ini:
Janganlah kamu campakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan [Al-Baqarah 2: 195]. 
Sebaik-baiknya panel Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan tafsiran 'jahat' dan dalam lingkungan yang bagaimana sehingga tidak dibenarkan seorang isteri meminta cerai dari suaminya.  Hal ini untuk mengelakkan kemunculan Ustaz Shauki (lakonan Eman Manan) 'kedua' terjemahan daripada drama bersiri Tahajud Cinta arahan Erma Fatima dalam slot Zehra di TV3.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah s.w.t. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)" (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Ahad, 9 Oktober 2011

Derik Kerisek


Buku ini karya Faisal Tehrani (2011) yang menghimpukan tiga drama pentas iaitu Rintih Chicago, Angin Madinah dan Derik Kerisik yang bertemakan perjuangan umat Islam yang ditindas di tiga buah negara ~ Amerika, Palestin dan Thailand. Di Amerika, hipokrasi itu hadir di sebalik demokrasi.  Namun begitu, buku ini juga mengemukakan masalah dalaman umat Islam. Pertama, umat Islam yang leka dan membisu tatkala diserang melalui minda. Para remaja disusupi kelekaan dan hiburan. Para wanita khayal dengan seribu satu perhiasan.  Ulama yang diam membisu dan pemimpin di negara-negara Islam yang tenggelam dalam kemewahan, memuja kebendaan dan mengabaikan umat. Hasilnya: rakyat yang dipimpin oleh pemerintah seperti itu cepat lupa. Pemimpin mendendangkan seribu satu macam kemajuan dan rakyat gila kesukaan. Faisal Tehrani (2011: 88) mengutip kata-kata Iqbal buat ingatan para pemimpin:
Tinggalkanlah kata-kata kosong dan carilah kedudukan kerohanian itu, sinarkanlah cahaya Allah ke atas kegelapan perbuatanmu, meskipun dibalut dengan kain raja, namun hidup bagai darwis yang hina, memiliki kekuasaan tanpa bimbingan dan sokongan agama samalah nilainya, dengan hamba yang hina.
Kedua, umat Islam yang lemah jiwanya akibat menanggung kekecewaan dan perasaan putus asa implikasi dari peperangan yang berpanjangan.  Ketiga, kegagalan umat Islam mendalami di sebalik sirah Rasulullah s.aw. terutama dalam usaha membina hubungan dengan Yahudi.  Keempat, fahaman umat Islam yang salah terhadap pelaksanaan Islam yang berupaya menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri seperti isu Taliban di Afganistan:
... paksa orang memelihara jambang, memukul sesuka hati dan menghantar wanita-wanita kita ke dalam rumah tanpa memikirkan akan makan apa, tutup semua sekolah-sekolah ...
Kelima, apabila terdapat pemimpin Islam sendiri yang sanggup bekerjasama dengan pemerintah bukan Islam untuk menjatuhkan umat Islam. Senario umat Islam ini membenarkan sabda Rasulullah s.a.w.: 
Setelah aku wafat dan lama aku meninggalkan umat Islam, mereka akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama-sama.  

Maka para sahabat r.a. bertanya:  

Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?  Sabda Baginda SAW: Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.  

Sahabat bertanya lagi:  

Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut? Jawab Rasulullah SAW: kerana mereka ditimpa penyakit al-Wahn.  

Sahabat bertanya lagi:  

Apakah itu al-Wahn? Rasulullah SAW bersabda: cintakan dunia dan takut mati.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Nurul Asyikin @ Aloy Paradoks


Buku ini disifatkan oleh penerbit Siluet Books sebagai novel. Lucu, novel tanpa plot. Ini adalah sebahagian hasil dari kehadiran novel-novel indie di pasaran. Buku ini diberi penghargaan yang begitu tinggi sehingga diadakan majlis pelancaran.  Keterlaluan untuk kehadiran sebuah novel yang layak diberi setengah bintang dari lima bintang namun tidak keterlaluan jika majlis pelancaran tersebut hanya sekadar meraikan teman dan peminat. Buku ini memaparkan pengalaman peribadi penulis tentang kehidupan yang berlatarkan kampung halamannya di Teluk Intan, zaman persekolahan, pekerjaan dan UiTM.  Pelbagai tema diungkapkan dalam buku ini iaitu percintaan, persahabatan dan kekeluargaan.  Namun, sesiapa yang mengikuti pementasan teater arahan Aloy Paradoks maka wajar juga membaca buku ini untuk mengikuti kisah-kisah di sebalik tabir sesebuah pementasan teater.

P/S: Aku 'mengenali' Aloy Paradoks di alam maya lewat pencarianku seorang guru (Meyut) yang telah lama tidak kutemui.  Jasamu dikenang, terima kasih Nurul Asyikin @ Aloy Paradoks.

Khamis, 22 September 2011

Kelebihan Beristighfar

Rasulullah s.a.w. beristighfar kepada Allah sehingga mencecah 100 kali sehari. Amalan beristighfar ini perlu dijadikan amalan zikir harian umat Islam yang mengandungi pelbagai manfaat. Allah menjanjikan kenikmatan yang berterusan kepada mereka yang gemar memohon keampunan kepada-Nya.
... dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya.  Jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat (Hud: 3).
Imam Qurthubi dalam Tafsir al-Qurthubi menceritakan sebuah kisah berkaitan dengan keutamaan amalan beristighfar.  Seseorang telah mengadu kepada Imam Hasan Al-Basri r.h. tentang kesulitan yang dihadapi ketika musim kemarau lalu Imam Hasan Al-Basri berkata: beristighfarlah kepada Allah.  Seorang yang lain pula mengadukan perihal kemiskinan yang dihadapinya maka Imam Hasan Al-Basri menyatakan mintalah keampunan kepada Allah. Datang pula orang ketiga memohon Imam Hasan Al-Basri mendoakannya agar dikurniakan anak namun beliau tetap menjawab: mintalah keampunan kepada Allah. Kemudian ada pula orang yang mengadu perihal kebunnya yang kering maka Imam Hasan Al-Basri menjawab: mintalah keampunan kepada Allah.  

Melihat situasi tersebut Robi'i bin Subaih bertanya kepada Imam Hasan Al-Basri: beberapa orang telah datang kepadamu untuk mengadukan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dan engkau hanya meminta agar mereka semua beristighfar. Mengapa begitu? Imam Hasan Al-Basri berkata: jawapan aku itu bukanlah pandangan peribadiku kerana Allah telah menyatakan di dalam al-Quran iaitu:
Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (Nuh: 10-12).
Apabila para ulama menghadapi kesukaran untuk memahami sesuatu permasalahan maka mereka beristighfar dan dengan izin Allah kesukaran tersebut terungkai. Imam Abu Hanifah r.a. apabila menghadapi kesulitan dalam sesuatu masalah maka dia mengatakan kepada para sahabatnya: tidaklah hal ini terjadi kecuali kerana dosa yang saya lakukan. Setelah itu beliau beristighfar dan mengerjakan solat sehingga terungkai kesulitan tersebut dan beliau menyatakan "semoga Allah menerima taubatku".  Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan amalan beristighfar berupaya memberi jalan keluar kepada seseorang yang sedang menghadapi kesulitan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa memperbanyakkan istighfar maka Allah akan memberikannya kelapangan dari setiap kesusahannya, memberikan jalan keluar dari setiap kesukarannya dan memberinya rezeki tanpa disangka-sangka (Hadis riwayat Imam Abu Daud)  

Selasa, 20 September 2011

Kesihatan Menurut Perspektif Islam



Dr. Mohammad Ali Toha menghidangkan panduan kesihatan secara holistik yang merangkumi kesihatan fizikal, emosi, rohani dan sosial menurut gaya Rasulullah SAW. Apabila ditimpa penyakit, umat Islam disarankan agar berubat dan bertawakal kepada Allah - setiap penyakit diturunkan bersama ubatnya. Seperkara yang menarik, di dalam tip yang ke-50 penulis menjelaskan perbezaan pandangan di antara Barat dan Islam dalam membicarakan soal penyakit.

'Bagi Islam, penyakit adalah kurniaan yang diberikan Allah kepada hamba yang dicintai-Nya. Nabi berkata, "Allah tidak menimpakan musibah ke atas orang mukmin melainkan kerana salah satu daripada dua perkara: pertama, mungkin dia mempunyai dosa yang tidak dapat diampunkan kecuali dengan cubaan itu. Kedua, dengan ujian itu darjatnya di sisi Allah dinaikkan".

Hadis di atas merupakan suntikan motivasi kepada para pesakit agar redha, berlapang dada dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Selain itu, penulis amat menekankan prinsip perubatan di dalam Islam iaitu para pesakit hendaklah menggunakan ubat yang selamat dari segi dos dan kesan sampingan. 
Dan keluarkanlah hartamu di jalan Allah serta janganlah kamu campakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan [Al-Baqarah 2: 195].
Hal ini menjadi isu yang wajar dipertimbangkan oleh para pesakit yang menggunakan perubatan moden/kontemporari atau alopathy memandangkan ubat-ubatan moden mengandungi kesan sampingan yang bukan sedikit sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang yang berupaya menjejaskan kesihatan walaupun kesan sampingan tersebut adalah berbeza bagi setiap pesakit.