Rabu, 6 Jun 2012

Keyakinan

Entry kali ini aku hendak berkongsi kisah mengenai keyakinan yang tidak wajar dipegang oleh seorang Muslim. Kisah ini bermula ketika aku sedang makan tengah hari bersama seorang pensyarah. Dia menyatakan kepadaku, 
"Saya yakin di hari akhirat, saya tidak akan ditanya berkenaan perkara yang berkaitan kerja (jawatan yang menjadi mata pencariannya). Saya jenis tidak berkira ketika bekerja".
Aku hanya memandang wajahnya dengan hati yang terkejut.  Mengapa aku menyatakan pada awal entry ini bahawa kisah ini adalah mengenai keyakinan yang tidak wajar? Di mana asas kewajaran seorang Muslim bahawa ia berhak untuk yakin sesungguhnya ia tidak akan ditanya oleh Allah berkenaan kerja yang dipikulnya sebagai amanah? Firman Allah:
 (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman: 16).
Ayat di atas jelas menunjukkan amalan baik dan buruk seberat biji sawi akan dihitung oleh Allah. Persoalan pekerjaan tidak hanya semata-mata dianalogikan sebagai kita memiliki sepuluh pekerjaan maka kita berjaya menyelesaikan sepuluh pekerjaan maka urusan perkerjaan tersebut selesai. Perkara berkaitan pekerjaan turut diambil kira termasuk proses dan urusan sesama manusia (termasuk pekerja bawahan). Persoalan yang boleh difikirkan sejauhmanakah maruah perkerja bawahan terpelihara ketika sedang menegur kesalahan mereka? Adakah sudah cukup berhikmah ketika menegur kesalahan pekerja bawahan? Islam menggariskan adab yang cukup indah dalam memelihara hak-hak manusia.  Adakah kita mempunyai hak untuk menjatuhkan maruah pekerja bawahan waima melibatkan wang gaji yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka namun mereka culas dalam perkerjaan? Nasihat oleh Imam Syafie wajar menjadi renungan bersama: 
Jika kamu menegur saudaramu dalam sembunyi, maka kamu telah menjalankan tanggungjawabmu, sebaliknya jika kamu menegurnya di khalayak umum, maka kamu telah membogelkannya di depan orang ramai.
Al-Habib Sayyid Muhammad bin Abdullah Alaydrus dari kitab Fahimu Nafsi menyatakannya:
Wahai saudaraku, beradablah ketika mendengarkan pembicaraan. Janganlah sekali-kali kamu hentikan atau dan sangkal ucapan seseorang di hadapan khalayak ramai. Perbuatan itu sangat buruk. Jika temanmu salah, dan kesalahannya tidak membahayakan, maka maafkanlah. Jangan kamu tunjukkan kesalahannya di hadapan orang banyak. Jika ingin menegur kesalahannya, tunggulah hingga tinggal kalian berdua. Jika kesalahannya adalah kesalahan yang wajib dikoreksi di hadapan orang banyak agar tidak mempengaruhi pikiran mereka, maka lakukanlah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang, jangan dengan kasar. Jika teguran itu membuatnya malu, maka itu adalah salahnya sendiri. Dia yang berbuat, (dia harus berani menanggung akibatnya).  Sumber: sila klik di sini.
Keyakinan bahawa tidak akan disoal di hari akhirat berbunyi sungguh angkuh bahawa diri tidak memiliki kesalahan walaupun seberat biji sawi dalam perkara melibatkan perkerjaan. Rasulullah s.a.w. beristighfar memohon ampun kepada Allah 70 kali sehari (ada pendapat mengatakan 100 kali sehari) walhal baginda s.a.w. merupakan seorang yang maksum. Siapa kita hendak menyatakan bahawa diri kita tidak mempunyai khilaf walaupun seberat biji sawi?  

Isnin, 28 Mei 2012

Meraikan Selesai Pengajian PhD

Pada 30 April 2012, setelah selesai urusan penyerahan tesis PhD yang telah dijilid kepada UKM, aku telah pergi ke Alamanda, Putrajaya. MPH Bookstore telah mengadakan majlis pelancaran buku Doctor In The House yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu yang bertajuk Doktor Umum. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali telah hadir ke majlis pelancaran tersebut. Aku turut membeli buku Doktor Umum dan sempat meramkan gambar majlis pelancaran tersebut. 


Aku tidak dapat memperolehi tanda tangan Tun Dr Mahathir kerana MPH hanya memberi kupon kepada 40 orang pembeli buku Doktor Umum yang pertama. Aku rasa sedih jugalah. Sad Smiley


Jumaat, 20 April 2012

Mitch Albom: Untuk Sehari Lagi

Sumber: http://mphonline.com/books/nsearchdetails.aspx?&pcode=9789675783067

Buku ini karya Mitch Albom (2011) yang bertajuk Untuk Sehari Lagi (For One More Day) diterbitkan oleh PTS Litera Sdn. Bhd. Buku ini berkisar mengenai kisah Charley Benetto yang juga dikenali sebagai Chick. Buku ini mengisahkan harapan Chick untuk bersama-sama dengan ibunya bagi menebus rasa bersalah kerana menipu ibunya demi menurut kehendak ayahnya agar memasuki pertandingan besbol pada hari lahir ibunya yang ke-79. Harapannya dikabulkan oleh Tuhan ketika ia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pasukan penyelamat berusaha menyelamatkannya setelah mengalami kemalangan jalan raya.  Chick dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak sempurna. Kedua-dua ibu bapanya bercerai ketika Chick berusia 11 tahun kerana ayahnya mempunyai isteri kedua yang berasal dari Itali. Chick dan adiknya tinggal bersama ibu mereka setelah ayahnya meninggalkan mereka tanpa sebarang berita.  Ketika kecil, Chick diberi pilihan oleh ayahnya "Kamu boleh menjadi anak ibu ataupun anak ayah, tetapi tidak boleh menjadi kedua-duanya". Pada awalnya, Chick memilih untuk menjadi anak ayah tetapi selepas ayahnya meninggalkannya maka ia memilih untuk menjadi anak ibu. Ketika Chick memilih menjadi anak ayah, ia dilatih oleh ayahnya untuk bermain besbol. Walaupun setelah ayahnya meninggalkan mereka, ia tetap meneruskan aktiviti bermain sukan besbol. Dalam kisah ini, ayahnya hilang dan muncul kembali menurut kisah pasang-surut penglibatan Chick dalam sukan besbol.

Dalam buku ini, aku suka untuk menurunkan tiga petikan ayat dari buku ini iaitu:

1. "...., anak-anak mahu melukai hati kamu (ibu bapa) sepertimana dia pernah dilukai" (halaman 110).

2. "Berbalik kepada sesuatu yang sudah kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka" (halaman 163)

3. "... Saya juga percaya bahawa ibu bapa, jika mereka menyayangi kamu, akan menjaga keselamatan kamu dan melupakan permasalahan mereka dan kadang-kadang, kamu sendiri tidak mengetahui masalah yang mereka hadapi, dan kamu tidak melayan mereka sewajarnya, dengan cara yang tidak mungkin kamu lakukannya seandainya kamu tahu apa masalah mereka itu sebenarnya" (halaman 243).       

Sabtu, 7 April 2012

Tivi

Semasa aku kecil, keluarga aku tinggal di rumah teres satu tingkat. Ruang menonton tivi cuma ada satu iaitu ruang tamu utama. Dalam erti kata lain, semua ahli keluarga berkongsi satu tivi dan saling bertolak ansur memilih saluran tivi. Bermula usiaku sembilan tahun, keluargaku berpindah ke rumah semi detached satu tingkat dan kami masih memiliki satu ruang dan berkongsi menonton tivi. Ketika usiaku 11 tahun, sesuai dengan pertambahan ahli keluarga (kelahiran adik-adikku yang lain) maka kami berpindah ke rumah semi detached dua tingkat maka ruang menonton tivi semakin bertambah. Di tingkat bawah, ada sebuah tivi diletakkan di ruang tamu dan di ruang tamu tingkat atas juga ada sebuah tivi.  

Kini bermula tahun 2002, keluarga aku tinggal di rumah banglo besar dua tingkat. Kami memiliki banyak ruang menonton tivi iaitu di dapur, ruang tamu tingkat bawah, ruang tamu tingkat atas dan bilik tidur. Semua ahli keluarga bebas memilih ruang untuk menonton tivi tetapi kesannya wujud jurang komunikasi di antara ahli keluarga berbanding ketika kami tinggal di rumah yang kecil. Jurang komunikasi di antara ahli keluarga juga wujud semenjak perkhidmatan internet mula memasuki kediaman persendirian termasuk keluargaku. Adik-adikku yang dikategorikan sebagai generasi Y kebanyakkan masa mereka di dalam rumah dihabiskan dengan cara melayari internet - blog dan sembang sosial. 

Kini, senario ini biasa dalam sebuah keluarga di bandar yang disifatkan sebagai kos lepas bagi sebuah pembangunan. Aku masih ingat kenyataan Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia ke-4) dalam sebuah akhbar, aku membacanya ketika berusia 15 tahun iaitu:
Masalah sosial merupakan kos lepas kepada pembangunan. Jika kita tidak mahu menghadapi pelbagai masalah yang dihadapi sekarang maka kita kembali hidup seperti zaman batu. Selepas aktiviti berburu semua ahli keluarga duduk mengelilingi unggun api.  

Jumaat, 2 Mac 2012

Penerbitan Tesis PhD di UKM

Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi mula mengkategorikan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia di bawah dua klasifikasi iaitu universiti penyelidikan dan universiti pengajian sepanjang hayat memberi pelbagai implikasi. Terdapat tiga universiti di Malaysia yang dikategorikan sebagai universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia manakala Universiti Sains Malaysia dikategorikan sebagai universiti APEX. 

Tahun 2012 merupakan tahun penerbitan bagi UKM yang telah menerima sejumlah peruntukan yang besar dari kerajaan. Namun begitu, apabila pensyarah-pensyarah UKM tidak mencapai tahap penerbitan buku seperti yang ditetapkan oleh UKM maka UKM memutuskan untuk mewajibkan pelajar PhD UKM menerbitkan tesisnya dalam bentuk buku di UKM iaitu dengan cara memasukkan nama penyelianya sebagai sebahagian dari penulis buku. 

Dalam proses penyeliaan pelajar PhD, bukan semua pelajar PhD diselia oleh pensyarah yang berada dalam bidang yang tepat. Contohnya, tajuk Pembangunan Islam tetapi diselia oleh pensyarah dalam bidang pembangunan Barat. Dalam kes seperti ini, perkara yang dipentingkan ialah terdapat persamaan bidang di antara pelajar dan penyelia iaitu pembangunan.  Pelajar PhD terpaksa bertungkus lumus menyiapkan tesis PhDnya dengan kadar penyeliaan yang tidak mencapai tahap yang maksimum ekoran penguasaan ilmu penyelia dalam bidang pembangunan Islam tidak berada pada tahap yang maksimum.

Apa yang akan terjadi dengan idea UKM mewajibkan pelajar PhD menerbitkan tesisnya dengan cara memasukkan nama penyelianya seperti dalam kes di atas? Dalam hal ini, tindakan UKM ini amat memalukan kerana wujud pensyarah yang telah menerobos sempadan bidangnya. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana pensyarah yang tidak seberapa pakar dalam bidang pembangunan Islam tetapi mempunyai buku dalam bidang pembangunan Islam? Satu tindakan yang tidak profesional. Penerbit UKM perlu memikirkan kualiti penerbitan itu sendiri termasuklah kepakaran nama orang yang tertera di atas kulit buku yang hendak diterbitkan.

Tindakan UKM ini menyebabkan "apa lagilah yang tinggal kepada pelajar PhD" seandainya tesisnya mesti diterbitkan dengan cara memasukkan nama penyelianya? Apabila tesis itu telah diterbitkan menjadi buku, semua ilmu yang terkandung dalam tesis itu jika hendak digunakan sebagai sumber rujukan perlu memasukkan nama penyelianya juga. Namun, jika dirujuk dalam sumber asli tesis itu sendiri maka yang tertera ialah hanya nama pelajar PhD. Dalam hal ini, tidakkah berlaku pententangan? Aku juga berharap suatu hari nanti tesis PhD aku akan diterbitkan menjadi sebuah buku. Namun, hasrat aku ini agar tesis yang telah diterbitkan menjadi buku boleh digunakan sebagai KPI dalam kenaikan pangkat untuk jawatan prof. madya tetapi aku merancang hal ini dalam tahun 2016 atau 2017. Sekiranya tesisku perlu diterbitkan dalam tahun 2012, maka musnahlah harapanku.

Pada pandanganku, UKM agak keterlaluan dalam perkara ini. Setelah pelajar berjaya dan lulus dalam PhDnya maka secara automatik penyelia memperolehi markah KPI yang boleh digunakan dalam permohonan kenaikan pangkat. Pada aku memadailah setakat itu, tidak perlulah sehingga penyelia perlu MENUMPANG nama dalam penerbitan tesis pelajar PhD untuk dijadikan buku. PERKARA INI SUNGGUH MEMALUKAN. Pihak penerbit sepatutnya menggesa pensyarah UKM agar melakukan penyelidikan dan penerbitkan buku atas nama dan usaha titik peluh mereka sendiri.

Khamis, 2 Februari 2012

Baucar Buku 1Malaysia


Al-hamdulillah, semakin hampir pilihan raya ke-13, semakin bertambah rezeki rakyat Malaysia. Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan - Bantuan Persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Skim Sara 1Malaysia dan sebagainya yang pasti diakhiri dengan perkataan 1Malaysia untuk membuktikan betapa berkebajikannya kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato' Sri Hj. Mohd. Najib Abdul Razak (Barisan Nasional). Di antara pelbagai bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan, aku menerima Bancar Buku 1Malaysia yang bernilai RM200. Rasa seronok yang tidak terkira kerana dapat membeli buku-buku ilmiah terutama untuk keperluan tesis PhDku.

Inilah hikmahnya pengamalan sistem demokrasi di Malaysia. Setelah pembangkang (PAS) mengisytiharkan gagasannya yang terkini 'negara berkebajikan' maka kerajaan juga mengambil inisiatif berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa berkebajikannya kerajaan di bawah BN. Kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya memerlukan kepada undi majoriti.  Kedudukan sesebuah kerajaan dikatakan selamat dan stabil apabila ia berjaya memperolehi kerusi 2/3 di Parlimen. Walaupun pelbagai bantuan di bawah pakej 1Malaysia tiba-tiba datang mencurah-curah pada saat pilihan raya bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini yang boleh disifatkan sebagai memancing undi namun aku tetap mengucapkan "Terima Kasih Dato' Sri Hj Mohd. Najib, Terima Kasih Kerajaan Barisan Nasional".

Namun, jalur pemikiran generasi muda sukar diduga. Kedudukan BN dalam pilihan raya ke-13 ini ibarat telur di hujung tanduk yang lebih banyak bergantung kepada undi dan selera politik generasi muda. Inilah yang membezakan era pemerintahan Dato' Sri Mohd. Najib dengan era Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana Tun Dr. Mahathir berhadapan dengan generasi lama. UMNO akan tetap selamat selagi generasi lama/tua masih hidup. Hanya generasi lama yang memahami betapa berbudinya UMNO kepada bangsa Melayu. Generasi muda seleranya berbeza - mementingkan kebebasan dan keterbukaan sesuai dengan ledakan globalisasi dan teknologi maklumat. Perkara ini menyebabkan timbul tuntutan generasi muda agar AUKU dan ISA dihapuskan.  Mereka juga menuntut agar demokrasi dilaksanakan menurut acuan yang mementingkan persoalan kebebasan dan kesetaraan.  Generasi muda terutama yang lahir pasca DEB, kurang memahami persoalan jasa dan betapa terhutang budinya bangsa Melayu terhadap UMNO.  Mereka menilai pelbagai sekatan yang wujud menurut kaca mata pada masa sekarang walhal sejarah silam mencatatkan untuk membangunkan dan memajukan Malaysia perlu kepada batasan dan sekatan yang disesuaikan menurut keperluan Malaysia. 

Pelbagai sekatan tersebut menyebabkan pemerintahan Malaysia di bawah BN disifatkan sebagai autoritarian. DEB yang bertujuan untuk memajukan bangsa Melayu tetapi yang lebih terserlah ialah golongan kroni dan mereka yang mempunyai hubungan keluarga ~ bertujuan untuk mewakili keseluruhan bangsa Melayu. Walaupun isu kronisme dan nepotisme dalam ekonomi politik Malaysia bertujuan untuk mempercepatkan proses penguasaan bangsa Melayu dalam pembahagian kek ekonomi negara namun, perkara ini menyebabkan timbul persepsi dalam kalangan generasi muda "ah, betapa jijiknya UMNO". Lebih parah lagi ada segelintir golongan muda yang menolak politik, "ah, betapa jijiknya politik". Dalam apa hal sekalipun, politik itu perlu untuk memperolehi kuasa. Tanpa kuasa, tidak ada perkara yang dapat ditegakkan, tidak ada perkara yang dapat didaulatkan. Hatta menegakkan Islam itu sendiri perlu kepada kuasa. Kepada semua pihak, aku hanya menyeru

Berfikirlah, berikan undi anda kepada mereka yang difikirkan layak.

Jumaat, 9 Disember 2011

Adab Guru Terhadap Pelajar #1

Jika ditelaah kitab-kitab ulama sama ada yang dikategorikan sebagai kitab kuning atau kitab putih, apabila membicarakan adab menuntut ilmu, kebanyakan ulama menjelaskan adab-adab pelajar terhadap guru. Amat jarang sekali ulama yang membicarakan adab guru terhadap pelajar kerana perkembangan ilmu pada ketika itu, masyarakat Islam mempelajari ilmu menurut perspektif Islam. Islam tidak memisahkan ilmu dari nilai spiritual;  semua bidang ilmu mesti dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Contohnya, disiplin ekonomi menurut perspektif Islam turut disertai dengan ilmu akhlak dan adab. Oleh itu, seseorang guru atau pensyarah Muslim secara automatik menguasai ilmu akhlak dan adab tanpa mengira bidang yang dikuasainya.

Namun, kini kebanyakan masyarakat Islam mempelajari ilmu yang terpisah dari nilai spiritual sesuai dengan perkembangan ilmu yang dipelopori oleh Barat. Jika seseorang pelajar mempelajari ilmu sains sosial, ilmu yang dipelajari adalah kosong tanpa nilai spiritual, akhlak dan adab. Ainon Mohd (2006) menyatakan:
... perlu diingat di sini, pakar-pakar ... Barat yang teori-teorinya dimasukkan ke dalam buku-buku teks universiti, membuang Tuhan dalam teori-teori mereka. Memang, dalam falsafah sains Barat, kepercayaan dalam mana-mana agama tidak dianggap termasuk bidang sains. Sebarang bidang ilmu yang menyentuh agama dan Tuhan dimasukkan ke dalam bidang teologi, falsafah ataupun moral.
Senario ini menyebabkan wujud para guru atau pensyarah Muslim di universiti dan kolej dari bidang sains sosial Barat meletakkan agama di luar bidang pengajian mereka. Implikasinya ramai guru atau pensyarah Muslim memiliki ilmu sains sosial Barat yang tinggi namun 'miskin' adab dan akhlak. Dalam isu ini, golongan guru di sekolah kurang mengalami kemiskinan adab dan akhlak jika dibandingkan dengan para pensyarah kerana guru-guru pada peringkat sekolah diberi kursus terlebih dahulu dari aspek pedagogi yang turut menekankan kepentingan sikap dan sahsiah diri. Hal ini berbeza dengan para pensyarah universiti dan kolej yang tidak berlatarbelakangkan keperibadian seorang guru. Kisah benar yang pernah berlaku apabila seorang pensyarah yang menjawat pengerusi di sebuah pusat pengajian menyatakan kepada seorang pelajar PhD "Kenapa? Pelajar perlu dilayan dengan baik?” apabila pelajar tersebut membuat aduan mengenai penyarah@penyelia tesis PhD yang bertindak memalukan/mengaibkan dirinya di khalayak ramai.

Aku teringat di antara kenyataan Prof. HAMKA dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor iaitu:
Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibu bapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut.
Senario yang sungguh berbeza dengan Imam Bukhari yang sangat memelihara adab dan akhlak. Walaupun beliau seorang guru dan imam yang hebat namun beliau tidak sanggup menegur atau memarahi pelajar (mengasah pensel dan membiarkan habuk pensel di atas lantai ketika di dalam kelas pengajaran hadis) di depan khalayak ramai untuk mengelakkan perbuatan mengaibkan saudara Muslimnya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Oleh itu, adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu yang lain. Jika pelajar tersebut merupakan seorang  Muslim maka kedudukannya adalah adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar tersebut adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu Muslim yang lain.

Secara peribadi, aku telah belajar di universiti tempatan selama 12 tahun dari peringkat sarjana muda, sarjana sehingga PhD lebih mengenang dan mengingati guru-guru yang pernah mengajarku di sekolah berbanding para pensyarah yang pernah mengajarku di universiti. Aku tidak mahu bersikap seperti para pensyarahku di universiti. Aku berazam untuk memiliki akhlak yang mulia dan adab yang baik agar aku melayan dan mengajar para pelajarku di universiti dengan cara baik. Sesungguhnya setiap amalan itu akan dihitung. Firman Allah swt:
Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar dzarrah pun, nescaya  dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula (Surah Az-Zalzalah: 7-8).

Bersambung dalam entri Adab Guru Terhadap Pelajar #2.