Ahad, 25 Januari 2015

Panduan Pengambilan Suplemen

Keperluan nutrisi setiap individu berbeza berdasarkan faktor umur, gaya hidup, keturunan dan tabiat pemakanan. Aspek utama nutrisi ialah mencegah penyakit untuk menjamin kehidupan yang lebih berkualiti untuk jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, pengambilan nutrisi juga berperanan untuk merawat penyakit, sesetengah penyakit disebabkan oleh kekurangan vitamin/mineral dalam tubuh badan. Di bawah ini, beberapa panduan pengambilan suplemen:
  1. Keperluan pemakanan seseorang adalah berbeza. Suplemen yang baik untuk seseorang mungkin tidak memberi kesan yang sama kepada individu yang lain.
  2. Elakkan minum kopi dan teh (mengandungi kafein) sekurang-kurang 15 minit sebelum mengambil suplemen kerana ia menganggu penyerapan nutrien.
  3. Makan suplemen diikuti minum air pada suhu bilik, bukan dengan air suam atau air sejuk (air yang mengandungi ais).
  4. Baca arahan dengan betul sama ada ia perlu diambil selepas atau sebelum makan.
  5. Harga tidak menjadi ukuran kepada kualiti, suplemen yang mahal tidak semestinya yang terbaik.
  6. Suplemen bukan pengganti kepada khasiat mikro nutrien yang terdapat dalam makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, susu, ikan dan sebagainya.
  7. Rujuk kepada doktor perubatan sebelum memulakan pengambilan suplemen khususnya individu yang mengambil ubat-ubatan, sedang hamil dan menyusukan bayi. Seperkara yang anda perlu tahu, bukan semua doktor perubatan yang mempunyai ijazah dalam bidang perubatan mempunyai pengetahuan mengenai setiap fungsi vitamin/mineral yang perlu diambil oleh seseorang pesakit. Hal ini kerana para pelajar dari sekolah/fakulti perubatan tidak mengkhusus dalam bidang sains pemakanan (dietitian) melainkan mereka mengambil sains pemakanan sebagai kursus elektif. Mereka diajar untuk merawat sesuatu penyakit menggunakan dadah sintetik yang dihasil dalam makmal.
  8. Vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K) mesti diambil secara berhati-hati kerana pengambilan vitamin larut lemak yang berlebihan boleh memudaratkan kerana ia tersimpan dalam bahagian tubuh yang berlemak seperti organ hati. Hal ini berbeza dengan pengambilan vitamin larut air (vitamin C dan kumpulan vitamin B) yang berlebihan di mana ia akan dikeluarkan melalui proses perkumuhan.
  9. Multi-vitamin merupakan pilihan suplemen yang paling selamat kerana ia mengandungi campuran vitamin dan mineral yang seimbang dan tidak ada risiko terlebih dos. Walau bagaimanapun, setiap produk multi-vitamin mengandungi vitamin dan mineral serta dos yang berbeza. Semak kandungan dos dan jenis vitamin/mineral yang tertera pada label. Beli multi-vitamin yang sesuai dan dapat memenuhi keperluan harian tubuh badan anda.
  10. Periksa tarikh luput pada label sebelum anda membeli sesuatu produk suplemen. Walau bagaimanapun, satu tips yang aku perolehi dari seorang ahli farmasi, jika anda mempunyai suplemen yang telah tamat tempoh, anda masih boleh makan suplemen tersebut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh luput. Tips ini tidak termasuk lambakan produk kesihatan yang lain seperti produk kak tonn, de herbs dan sebagainya.

Sabtu, 17 Januari 2015

Bagaimana Menentukan Sesuatu Objektif Kajian?

Hari ini aku melihat statistik blog aku mengandungi kata carian "Bagaimana menentukan objektif sesuatu kajian?" 


















Dalam melakukan sesuatu penyelidikan, objektif kajian tidak timbul begitu sahaja. Pembinaan objektif kajian mempunyai kaitan langsung dengan bahagian penyataan masalah/permasalahan kajian (problem statement) yang dinyatakan dan dibincangkan dengan jelas dalam bab satu tajuk Pengenalan di bawah sub tajuk bahagian Penyataan Masalah atau Permasalahan Kajian.

Penerangan dalam bahasa yang mudah, objektif kajian timbul ekoran daripada kewujudan permasalahan yang menyebabkan kenapa ia perlu dikaji. Objektif kajian mesti lahir dari bahagian penyataan masalah. Isu-isu yang ditimbulkan dalam bahagian penyataan masalah pula mesti diolah secara kritis meliputi semua isu yang menjadi objektif dalam sesebuah kajian. Dalam hal ini, latar belakang kepada objektif kajian sudah dibayangkan dalam perbincangan bahagian penyataan masalah.

P/S: Dalam sesebuah penyelidikan tidak kira sama ada pada peringkat PhD, Masters atau Ijazah Sarjana Muda, lazimnya mengandungi tiga objektif kajian, paling banyak empat objektif kajian dan tidak lebih dari itu 

Isnin, 5 Januari 2015

Penyediaan Juadah Kenduri Kahwin Masyarakat Melayu-Islam Di Malaysia

Masyarakat Melayu di Malaysia menggunakan perkataan "kenduri" bagi merujuk majlis jamuan makan yang diadakan sempena perkara yang perlu diraikan seperti kenduri kahwin, kenduri selamat, kenduri arwah, kenduri kesyukuran dan kenduri apam (menyambut mikraj dalam bulan Rejab). Namun begitu, istilah "kenduri" itu sendiri dihubungkan dengan elemen ibadah keagamaan di mana sebelum sesuatu majlis jamuan makan berlangsung pelbagai acara keagamaan diadakan terlebih dahulu seperti bacaan tahlil, zikir, bacaan surah Al-Fatihah, bacaan Surah Yaasin, membaca surah tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas), marhaban, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan doa.

Semenjak peningkatan kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia bermula awal 1980-an, kini ramai keluarga dalam masyarakat Melayu mula menitikberatkan aspek syariat Islam dalam mengadakan kenduri kahwin atau walimatul urus iaitu: 
  1. Majlis kenduri kahwin yang diadakan bersifat sederhana walaupun tafsiran sederhana bersifat subjektif.
  2. Tidak mengadakan majlis persandingan. Jika diadakan majlis persandingan, kebiasaannya pengantin perempuan memakai baju pengantin (ketat dan tudung yang dipakai tidak dilabuhkan menutup dada) yang disifatkan menutup aurat dari sudut pandangan adat masyarakat Melayu tetapi tidak memenuhi tuntutan menutup aurat seperti yang digariskan dalam syariat Islam.
  3. Tempat duduk para tetamu diasingkan di antara lelaki dan perempuan.
  4. Tidak mengklasifikasikan tetamu yang diundang dari aspek kedudukan harta dan pangkat.
  5. Lagu-lagu yang dikumandangkan semasa majlis kenduri kahwin sedang berlangsung ialah lagu yang berunsurkan islamik.
  6. Setiap kali masuk waktu solat, lagu-lagu yang dikumandangkan diberhentikan untuk menghormati azan, para jiran dan tuan rumah yang hendak mendirikan solat pada awal waktu.
Walau bagaimanapun, salah satu aspek ciri islamik yang kurang dititikberatkan dalam mengadakan kenduri kahwin ialah aspek makanan. Kebiasaannya makanan yang dihidangkan dalam majlis kenduri kahwin ialah makanan yang berat (nasi dan lauk-pauk seperti ayam/daging/acar) dan makanan ringan (bubur, buah-buahan dan kuih-muih) serta minuman. Penyediaan makanan berat (lauk-pauk) seperti masak merah, gulai, masak kicap, rendang dan sebagainya lazimnya berkuahkan minyak yang banyak manakala makanan ringan serta minuman pula amat manis kerana penyediaannya menggunakan gula yang banyak.

Islam amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan. Dalam hal ini, kesihatan yang sempurna turut bergantung kepada pemakanan yang baik, halal, seimbang dan tidak berlebih-lebihan.
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik (Al Maidah 5: 5).
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman (Al-Maidah 5: 88).
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Al-A'raf 7: 31).
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu (Al-Baqarah 2: 168).
Sewajarnya kenduri kahwin bagi masyarakat Melayu yang menganuti agama Islam menghidangkan makanan yang lazat, baik dan seimbang kerana Allah telah menetapkan tatacara pemakanan umat Islam. Agama Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Kenyataan tersebut berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: 
Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman) (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Khamis, 1 Januari 2015

Sifat Sahabat

Dalam bahasa Melayu, sahabat turut disinonimkan dengan teman, kawan, taulan, handai, sekutu, kenalan, rakan, saing, saudara, nyapang, sobat, rafik, syarik, alif, saki, konco (kuncu) dan geng. Penggunaan pelbagai perkataan sinonim bagi sahabat bergantung kepada konteks kedudukan dan hubungan di antara dua individu. Contohnya, perkataan konco (kuncu) digunakan dalam konteks orang yang sama-sama melakukan sesuatu yang dikategorikan sebagai jenayah. Perkataan sekutu pula merujuk kepada beberapa orang yang bersatu yang mempunyai tujuan atau kepentingan yang sama. 

Dalam kehidupan ini, seseorang disifatkan sebagai sahabat apabila:

  • Engkau berbuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu.
  • Engkau merapatkan persahabatan, dia membalas dengan baik hubungan persahabatan itu.
  • Engkau memerlukan pertolongan, dia berusaha membantumu.
  • Engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia menerimanya dengan baik.
  • Dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia menghargai atau menyebut kebaikanmu.
  • Dia melihat sesuatu yang tidak baik pada dirimu, dia menutup keaibanmu.
  • Engkau berdiam diri kerana malu hendak meminta, dia bertanyakan perihal kesusahanmu.
  • Engkau merancang sesuatu, dia membantu dirimu.
  • Berlaku perselisihan faham, dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan persahabatan.
Walau bagaimanapun, seseorang dikategorikan sebagai sahabat yang sejati apabila hubungan persahabatan dibina berteraskan ketakwaan kepada Allah s.w.t. seperti yang terkandung dalam surah Az-Zukhruf 43:67: 
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
P/S: Bersahabat kerana Allah s.w.t.

Isnin, 1 Disember 2014

Penyediaan Slaid Untuk Peperiksaan Viva PhD

Hari ini aku menerima sms daripada seorang kawan bertanyakan mengenai penyediaan slaid untuk menghadapi peperiksaan viva PhD. Apa yang perlu ada dalam penyediaan slaid? Senarai di bawah adalah elemen-elemen penting yang mesti ada dalam penyediaan slaid iaitu:
  1. Slaid pertama mengandungi tajuk kajian, nama dan no. matrik pelajar serta nama penyelia tesis/disertasi.
  2. Pengenalan.
  3. Permasalahan Kajian.
  4. Objektif Kajian.
  5. Persoalan Kajian.
  6. Kerangka Konseptual/Teoritikal.
  7. Kepentingan Kajian.
  8. Skop Kajian.
  9. Metodologi Kajian.
  10. Sorotan Kajian/Kajian Lepas (Literature Riview).
  11. Hasil Kajian (menepati dan menjawab objektif kajian).
  12. Hasil Kajian Yang Lain (jika ada).
  13. Kesimpulan.
Slaid boleh disediakan dengan menggunakan software seperti Microsoft PowerPoint. Setiap elemen di atas mesti disediakan dalam slaid yang berbeza. Setiap slaid hanya mengandungi butiran-butiran penting. Penjelasan lanjut setiap butiran diterangkan kepada khalayak (ahli-ahli jawatankuasa peperiksaan viva) semasa pembentangan ringkasan kajian sedang berlangsung. Seseorang calon PhD mesti mengingati penerangan lanjut bagi setiap butiran yang dinyatakan dalam slaid. Penyediaan slaid untuk peperiksaan viva hendaklah tidak melebihi 15 slaid.

Isnin, 17 November 2014

Qadha Solat Ketika Bermusafir

Ketika sedang bermusafir:
Seseorang yang bermusafir selagi berada dalam musafir boleh mengqadha solat empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu melakukannya secara qasar (zohor + Asar atau Maghrib + Isya') sama ada solat tersebut ditinggalkan semasa dalam musafir ataupun sebelum bermusafir. Walau bagaimanapun, solat tersebut boleh diqadha secara sempurna (tidak diqasarkan) ketika sedang bermusafir.
Setelah selesai bermusafir, seseorang yang ada meninggalkan solat semasa musafir tidak boleh mengqasarkan solat yang wajib diqadha itu.
Sumber: Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar. 2014. Ibadah Mukmin: panduan solat.  Petaling Jaya: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

P/S: Betapa luasnya sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya memudahkan hamba-hamba-Nya agar berusaha mendirikan solat sehingga solat empat rakaat yang ditinggalkan di luar musafir boleh diqadha secara qasar (zohor + Asar atau Maghrib + Isya') menjadi dua rakaat. Betapa malunya aku kepada-Mu, Ya Allah.

Jumaat, 14 November 2014

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1436H Sehingga 29 Zulhijjah 1436H

Ibadah puasa mengandungi faedah dan manfaat yang besar, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan elok juga melakukan puasa sunat yang terdapat dalam sepanjang tahun hijri. Jadual di bawah ialah Takwim Puasa Sunat (1 Muharam1436H - 29 Zulhijjah 1436H) sebagai panduan kita bersama:

Puasa Sunat
Tarikh
Puasa 1 – 9 Muharam
  • 25 Oktober 2014 – 2 November 2014
Puasa Hari Asyura

(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)

atau


(Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)

  • 2 – 3 November 2014

atau

  • 3 – 4 November 2014
Puasa Sunat Sya'ban
  • 19 Mei – 17 Jun 2015
Puasa Enam (Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
  • 18 Julai – 15 Ogos 2015
Puasa 1 – 8 Zulhijah
  • 15 – 22 September 2015
Puasa Hari Wuquf (Bagi sesiapa yang tidak menunaikan haji)
  • 23 September 2015
Puasa Hari Isnin dan Khamis
  • Kecuali Hari Raya 'Aidiladha (Hari Khamis 24 September 2015)
Puasa Hari Putih
(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)

  • Muharam (6 – 8 Oktober 2014)
  • Safar (6 – 8 Disember 2014)
  • Rabiulawal (4 – 6 Januari 2015)
  • Rabiulakhir (3 – 5 Februari 2015)
  • Jamadilawal (4 – 6 Mac 2015)
  • Jamadilakhir ( 3 – 5 April 2015)
  • Rejab (2 – 4 Mei 2015)
  • Sya’ban (31 Mei – 2 Jun 2015)
  • Syawal (29 – 31 Julai 2015)
  • Zulkaedah (28 – 30 Ogos 2015)
  • Zulhijah (28 – 29 September 2015)**
Puasa Hari Gelap***

(Pada 27, 28 dan 29 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
  • Muharam (20 – 22 November 2014)
  • Safar (20 – 22 Disember 2014)
  • Rabiulawal (18 – 20 Januari 2015)
  • Rabiulakhir (17 – 19 Februari 2015)
  • Jamadilawal (18 – 20 Mac 2015)
  • Jamadilakhir (17 – 19 April 2015)
  • Rejab (16 – 18 Mei 2015)
  • Sya’ban (14 – 16 Jun 2015)
  • Syawal (12 – 14 Ogos 2015)
  • Zulkaedah (11 – 13 September 2015)
  • Zulhijjah (11 – 13 Oktober 2015)


** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1436H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 27 September 2015. 

*** Puasa Hari Gelap juga boleh dilakukan pada 28, 29 dan 30 hari bulan bagi bulan dalam kalendar Hijrah yang mengandungi 30 hari). Pada masa ini, matahari dan bulan berada pada kedudukan sebaris. Ketika ini, daya tarikan matahari telah bergabung dengan daya tarikan bulan. Kesan tarikan ini amat kuat di mana kebiasaannya air laut pasang akan lebih tinggi pada waktu tengahari dan air laut surut lebih rendah pada waktu malam. Manusia dan segala yang ada di bumi menjadi lebih ringan pada waktu siang dan lebih berat pada waktu malam. Fenomena ini memberikan kesan seperti berada dalam keadaan tekanan (stress). Berpuasa pada hari gelap dapat mengurangkan kesan tersebut. Wallahu'alam.

P/S: Selamat Berpuasa