Ahad, 23 Ogos 2015

Pemerdagangan Manusia Dalam Perkahwinan

Pemerdagangan manusia adalah satu bentuk perdagangan atau perniagaan yang melibatkan beberapa aspek seperti migrasi manusia secara haram, aktiviti buruh secara sah atau mengandungi unsur paksaan. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan-kumpulan penyokong dengan merujuk kepada aktiviti pemerdagangan manusia melalui kaedah pengrekrutan, pengangkutan, perlindungan atau pengambilan manusia bagi tujuan seperti perhambaan, pelacuran, buruh paksa dan perjualan organ tubuh manusia. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk pemaksaan melakukan pelacuran atau eksploitasi seks, buruh paksa dan bentuk-bentuk pengamalan yang boleh disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan.

Dalam sesebuah institusi perkahwinan, terdapat sesetengah kes di mana suami yang melakukan pemerdagangan manusia terhadap isteri. Bagi isteri yang bekerja, suami memaksa isteri menggunakan wang pendapatan dan simpanan tanpa kerelaan isteri untuk menanggung diri suami dan anak-anak walhal jelas dalam Islam tanggungjawab memberi nafkah terletak di pundak suami. Dalam konteks pemerdagangan manusia, perdagangan atau perniagaan yang dilakukan oleh suami bukan hanya terhad untuk memperolehi wang daripada isteri tetapi juga termasuk seks sebagai imbalan kepada pertolongan dalam bentuk perlindungan yang diberikan oleh suami terhadap isteri dan anak-anak. Cinta dan kasih sayang yang mengikat sesuatu perkahwinan telah menjadikan pemerdagangan manusia yang dilakukan oleh suami terhadap isteri merupakan satu bentuk pemerdagangan manusia secara halus. Walau bagaimanapun, pemerdagangan manusia dalam perkahwinan yang paling hina ialah wujud suami yang sanggup melacurkan isteri untuk mendapatkan wang atau sebagai cara untuk melangsaikan hutang.

Khamis, 6 Ogos 2015

Cinta

Betapa ramai orang yang jatuh cinta harus menghabiskan hartanya, merosakkan kehormatan dirinya, membuang masanya, menentang keluarganya, mengesampingkan kepentingan agama gara-gara orang yang dicintainya 

[Ibnu Qayyim Al-Jauziyah 691H-751H]

Rabu, 17 Jun 2015

Selamat Datang Ramadhan Karim 1436H


P/S: Ahlan wa sahlan ya Ramadhan karim. Allahu Akram. Happy fasting to all Muslims wherever you are 

Khamis, 30 April 2015

Orang Malaya Di Sabah #3

Ya Seam@Seam (Mohd Hashim Ujang) adalah individu yang meninggalkan banyak komen tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan dalam entri Orang Malaya di Sabah #1

























Aku tidak sangka entri Orang Malaya Di Sabah #1 yang ditulis dan diterbitkan pada 9 November 2011 mendapat page view yang paling tinggi dalam blog ini sehingga dipos dalam forum dan facebook. Entri itu ditulis bukan bertujuan mempertikai peraturan imigresen di Sabah tetapi untuk menjelaskan kedudukan anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah. 

Aku sendiri tidak menyimpan harapan walau sebesar zarah pun agar diterima sebagai orang Sabah dari aspek perundangan. Seandainya suatu hari nanti anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah diperakui sebagai orang Sabah dari aspek perundangan, aku tidak berkehendak untuk menurut sebarang prosedur perundangan agar aku menjadi orang Sabah. 
Aku lebih suka menjadi anak orang Malaya yang lahir di Sabah. Aku lebih suka menjadi orang berketurunan Melayu dari Malaya.
Setelah tamat pengajian Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 2002, aku bekerja di sebuah cawangan badan berkanun di Wilayah Persekutuan Labuan. Induk badan berkanun itu berada di Kota Kinabalu, Sabah. Urusan berkaitan slip gaji aku diurusakan oleh induk badan berkanun tersebut. Walaupun aku sudah mempunyai nombor kad pengenalan baru (xxxxxx-12-xxxx) tetapi memandangkan aku adalah anak orang Malaya yang lahir di Sabah maka urusan gaji aku menggunakan nombor kad pengenalan lama Negeri-Negeri Tanah Melayu (A31xxxxx). Tujuannya agar badan berkanun tersebut dapat membezakan bahawa aku ini anak orang Malaya yang lahir di Sabah setaraf dengan anak orang Malaya yang lahir di Malaya.

Sepanjang 20 tahun aku tinggal di Sabah, bapa aku telah berurusan dengan Jabatan Imigresen Negeri Sabah maka kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah pada tahun 1979. Situasinya sama seperti warganegara asing yang mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan berwarna merah. Bezanya kedua-dua ibu bapa aku dan aku tidak menggunakan sebarang kad pengenalan khas. Kedua-dua ibu bapa aku dan aku diberikan sepucuk surat yang menyatakan Jabatan Imigresen Negeri Sabah meluluskan pemberian permit masuk tinggal tetap di Sabah. Tujuan bapa aku mendapatkan permit masuk tinggal tetap di Sabah adalah untuk memudahkan kami agar tidak perlu lagi setiap tahun memperbaharui permit masuk tinggal di Sabah dari Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Sehingga hari ini aku masih menyimpan surat itu seperti yang tertera dalam gambar di bawah. 

Surat ini adalah surat lama pada tahun 1979 yang ditaip menggunakan mesin taip. Maklumat yang dihitamkan dalam surat ini melibatkan data peribadi, nombor rujukan surat dan cawangan pejabat imigresen yang terlibat.

Selain itu, kedua-dua ibu bapa aku mesti hadir membawa passport Malaysia masing-masing di Jabatan Imigresen Negeri Sabah untuk catitan khas bahawa kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Ketika itu, aku masih kanak-kanak maka aku tidak mempunyai passport Malaysia, rekod diri aku dimasukkan dalam passport ibu aku pada bahagian maklumat anak-anak. Selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya mesti dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia. 

Aku tidak boleh melupakan pengalaman aku ketika hendak memperolehi passport Malaysia agar aku boleh keluar seorang diri dari negeri Sabah ke Semenanjung Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda (degree) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pegawai imigresen negeri Sabah (aku pasti pegawai itu adalah orang Sabah) memaklumkan kepada bapa aku berkenaan prosedur mengeluarkan passport Malaysia untuk aku:
Jika dia mahu buat passport antarabangsa, kami kena hantar ke sana (Semenanjung Malaysia). Apa yang diambil kira di sini ialah asal-usul keturunan. Kami tidak bertanggungjawab kalau passport dia belum siap sedangkan dia mahu jalan sudah. Kami hanya boleh keluarkan Dokumen Perjalan Terhad saja.
Sekarang sudah berbeza, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya sudah boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Walaupun kedua-dua ibu bapa aku dan aku mempunyai permit masuk tinggal tetap di Sabah, tetapi kami kembali menetap ke Malaya di mana tempat kami berasal.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walaupun negeri orang berhujankan emas tetapi lebih baiklah di negeri sendiri yang berhujankan batu.
P/S: Jika anda hendak meninggalkan komen berkenaan entri ini, sila pastikan anda tidak melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Hasutan 1948. 


Selasa, 28 April 2015

99 Cahaya Di Langit Eropah







Tajuk: 99 Cahaya Di Langit Eropah

Penulis: Hanum Salsabiela Rais & Rangga Almahendra



Penterjemah: Siti Hawaliah Binti Darmanshah


Tahun Terbit: 2014

Penerbit: Jootawan Book Sdn. Bhd.







Aku memberi nilai buku ini  dari .  Novel ini ditulis oleh pasangan suami-isteri dari Indonesia dan telah difilemkan dan ditayangkan di Indonesia. Penulis buku ini, Hanum Salsabiela Rais merupakan anak kepada Muhammad Amien Rais yang pernah berkecimpung dalam politik Indonesia. Novel ini sarat dengan fakta sejarah dan bersifat catatan travelog Hanum Salsabiela Rais dan Rangga Almahendra di Austria-Perancis-Sepanyol-Turki-Mekah. 

Keseluruhan novel ini menarik namun bahagian yang cukup menarik bagi aku ialah mengenai 'pengIslaman' Napoleon Bonaparte (1769 – 1821). Sejarah mencatatkan Napoleon Bonaparte amat mengagumi Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. sekembalinya beliau dari melakukan serangan ketenteraan ke atas Mesir pada tahun 1798. Di Perancis, beliau telah melaksanakan sistem perundangan yang digelar Napoleonic Code senafas dengan syariah Islam. Selain itu, beliau telah membina Axe Historique merupakan garis imaginasi yang lurus membelah kota Paris mengarah ke Makkah. Beliau memerintahkan agar membangunkan dua monumen besar berbentuk pintu gerbang diberi nama Arc de Triomphe du Carrousel yang mengapit jalan Champs-Élysées.
Sukar awalnya menentukan arah muka dan belakang monumen ini (Arc de Triomphe du Carrousel) kerana bangunan pintu gerbang ini dibuat simetri - seperti depan dan belakang sama saja. Tapi kemudian mataku terpaku pada patung Quadriga yang diapit 2 malaikat emas di atas monumen itu.
... Patung Quadriga dan malaikat semua mengadap ke timur tenggara. Arah Makkah. 
Justeru, nama lain bagi Axe Historique ialah Voie Triomphale yang bermaksud "Jalan Kemenangan". Islam menunjukkan jalan kejayaan (kemenangan) di dunia dan akhirat. 

Hakikat yang jelas nyata ialah Jeneral Jacques-François Menou (The supreme command of the French Oriental Army) telah memeluk agama Islam setelah kembali dari Mesir pada tahun 1799 dan berkahwin dengan wanita Mesir bernama Zobeida El Bawab dari jurai keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Namun begitu, kebenaran 'pengIslaman' Napoleon Bonaparte tidak pernah dicatatkan dalam sejarah Eropah.
Kenyataan bahawa dia Muslim jelas akan mengurangi 'kebesaran' namanya dan mungkin jelas memupuskan kebanggaan warga Perancis pada bangsanya.
Walaupun Napoleon memang memeluk Islam, fakta ini tidak akan diungkapkan demi kepentingan nasional yang lebih besar. 

Selasa, 7 April 2015

Croissant Lambang Anti-Islam






















Croissant sejenis pastri dicipta sebagai lambang anti-Islam. Sejarah pastri ini bermula di Vienna, Austria pada 11 September 1683. Dalam tahun 1683, tentera Kerajaan Turki Uthmaniah yang dipimpin oleh Kara Mustafa telah mengepung dan menyerang Kota Vienna sebagai langkah untuk menguasai negara-negara di Eropah Barat. 

Pembuat roti bekerja sehingga lewat malam di bahagian dapur bawah tanah telah mendengar bahasa Turki di sebalik dinding kota yang bergegar. Para pengawal Kerajaan Vienna mendapati tentera Turki Uthmaniah telah menggali terowong bawah tanah dan meletakkan bahan letupan untuk meruntuhkan Kota Vienna. Tentera salib pakatan Jerman dan Poland telah mara dari bukit Kahlenberg mengalahkan tentera Turki Uthmaniah. 

Croissant dicipta berbentuk bulan sabit mengambil simbol yang terdapat pada bendera Turki untuk merayakan kekalahan Turki Uthmaniah. Vienna adalah kota terakhir yang menjadi tempat perjuangan Islam terhenti. Makan croissant melambangkan "makan bendera Turki" dan secara tidak langsung bermakna "makan Islam". Hal ini menyebabkan wujud golongan Islam fundamentalis yang melarang umat Islam makan croissant.

Kini, croissant lebih dikenali sebagai makanan khas negara Perancis. Google translate menterjemahkan croissant sebagai "a French crescent-shaped roll made of sweet flaky pastry, often eaten for breakfast." Perkahwinan puteri Kerajaan Austria, Marie Antoinette (1755-1793) dengan Louis Auguste de France (1754-1793) telah menyebabkan dalam setiap pesta yang dianjurkan oleh Kerajaan Perancis, pastri dari Vienna ini dihidangkan kepada para tetamu. Pastri dari Vienna ini yang berbentuk bulan sabit menyebabkan ia popular dipanggil croissant dalam bahasa Perancis.

Rabu, 25 Mac 2015

Peringatan


Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (An-Nahl: 70)
Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). Dan barangsiapa yang kami panjangkan umurnya nescaya kami kembalikan dia kepada kejadiannya (serba lemah). Maka apakah mereka tidak memikirkan? (Al-Ghaafir: 67) 
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yaasiin: 68) 
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Ruum: 54)